Tuesday, January 07, 2020

Teguran Buat Ahli Sufi. Tersimpang Matlamat.. -Sa’id Hawwa

Hasil carian imej untuk cahay merah dari langit
Hasil carian imej untuk TERSIMPANG matlamat
Tesimpang Matlamat

(1)     Imam Said Hawwa ada mencatatkan catatan yang menarik untuk diteladani buat para penyelusur jalan-jalan kesufian. Antaranya dalam kitab Tarbiyyatuna ar Ruhiyyah.

Dalam kitab ini ada mengulas tentang mimpi, kasyaf, ilham dan karamah mengikut perspektif Islam serta pelbagai salah faham yang ada di sekitarnya.

(2)     Antara yang dinyatakan oleh beliau, seorang  yang berjalan menuju Allah S.W.T mungkin boleh alami mimpi yang benar, khasyaf, karamah dan ilham.

Akan tetapi semua itu bukanlah tunjuan bertasawwuf. Hanya sekadar petanda dia diterima oleh Allah SWT atau ‘bisyarah’ kepadanya menyebabkan dirinya merasa bahagia.

(3)     Kita perlu jelas matlamat bagi mereka yang mencari Allah, ialah keredhaan Allah S.W.T itu sendiri. Bukan bermatlamatkan kasyaf ilham mimpi dan karamah.

Pada masa yang sama, kita juga perlu faham tentang penyakit-penyakit yang menimpa para ahli sufi, iaitu tersimpangnya matlamat. Pada mulanya ingin mencari Allah, tiba-tiba terkejar-kejar kasyaf

(4)     Lantas apabila kasyaf yang diharapkan itu tidak dapat, dia akan meninggalkan amalan tersebut. Atas alasan tidak memberi apa apa faedah.

Lalu Imam Sa’id Hawwa R.A mengemukakan beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa konsep mimpi ilham kasyaf dan karamah berlaku pada zaman Sahabat R.A.

Menunjukkan bahawa perkara-perkara ini benar-benar ada, tetapi ia tidak sepatutnya dijadikan tujuan bagi seorang yang ingin menyucikan dirinya.

Kefahaman dan ketegasan

(1)     Bahasa mudahnya kesilapan orang bertasawuf ialah bukan untuk Allah S.W.T ataupun menyucikan diri, tapi semata-mata nak mengejar karomah, kasyaf dan kelebihan-kelebihan pelik.

Imam Said Hawwa R.A mendatangkan ayat al-Quran yang menggambarkan bentuk larangan penyimpangan matlamat;

وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِینَ یَدۡعُونَ رَبَّهُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِیِّ یُرِیدُونَ وَجۡهَهُۥۖ وَلَا تَعۡدُ عَیۡنَاكَ عَنۡهُمۡ تُرِیدُ زِینَةَ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُۥ فُرُطࣰا

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
(al-Kahfi: 28)
(2)     Imam Said Hawwa turut menceritakan lagi bahawa Ibnu Taimiyah mengatakan bahawa karamah Syeikh Abdul Qadir al-Jilani diriwayatkan secara mutawatir.

Ibnu Taimiyah juga memuji Syeikh Abdul Qadir Jailani dengan pujian yang jarang dilakukan oleh orang lain. Menggambarkan bahawa beliau tidak menolak konsep ini.

Ini juga menunjukkan bahawa Ibnu Taimiyah hakikatnya tidaklah bercanggah ataupun melabelkan tasawuf itu sebagai ‘ayat acaq’ atau yang sewaktu dengannya.

(3)     Kita faham bagaimana pendekatan Ibnu Taimiyah yang agak tegas dalam meneliti periwayatan dan menolak khurafat yang melanda umat Islam ketika itu

Antaranya yang dibawa oleh anak-anak murid Ibnu Arabi yang membawa tasawuf filosof sehingga menyebabkan kejatuhan Khilafah Abbasiyah.

Beberapa salah faham

(1)     Sepertimana yang saya nyatakan, Imam Sa’id Hawa mendatangkan banyak contoh dan riwayat yang jelas tentang peristiwa-peristiwa kasyaf yang berlaku pada zaman Sahabat serta amalan-amalan yang mereka lakukan.

Antaranya beliau menyatakan bahawa dalam kehidupan para Sahabat kita banyak temui nas yang membicarakan tentang beberapa Sahabat R.A yang pernah melihat jin.

Alam jin ini merupakan sebahagian daripada alam ghaib. Ini menunjukkan bahawa kasyaf itu benar-benar terjadi. Tetapi para Sahabat R.A tidaklah pula beramal semata mata nak mengejar kasyaf.

(2)     Beliau menyatakan lagi sekiranya kita temui seorang yang melalui jalan sufi dengan kebenaran hingga ke penghujungnya, lalu dikurniakan karamah, itu tidaklah menjadi masalah

Yang masalahnya ialah, apabila seseorang yang terang terang mengikuti jalan yang sesat, tiba tiba mendakwa mempunyai karamah sebagai bukti kebenaran seruannya.

(3)     Di dalam bahagian yang lain, Imam Said Hawa menyatakan bahawa di dalam perbincangan mengenai kasyaf kami mengatakan bahawa etika seseorang yang menyelusuri jalan menuju Allah supaya tidak mengisytiharkan kasyafnya.

Dalam hal ini Ibnu Athaillah as-Sakandari menyatakan:
تشوقك إلى ما بطن فيك من العيوب خير من تشوقك إلى ما حجب عنك من الغيوب

“Kamu melihat kepada kejelekan yang tersembunyi dalam hatimu itu lebih baik daripada kamu melihat kepada perkara-perkara lain yang menghalangimu”
Sebagai gambaran, kesufian itu perlu memahami aulawiyat (keutamaan) dan tuntutan supaya meluruskan niat dalam bertasawwuf.

Timbangan
(1)     Seterusnya Imam Sa’id Hawwa ada menyenaraikan beberapa kesilapan-kesilapan sebahagian ahli sufi dalam permasalahan kasyaf.

a-     Sebahagian dari kalangan mereka menganggap kasyaf adalah sebagai dalil tambahan bagi al-Quran dan Hadis. Seolah-olah dengan kasyaf itu, menjadi huraian tambahan bagi al-Quran dan Hadis.
.
Ada pula yang menganggap bahawa semua yang diungkapkan oleh seseorang ahli sufi yang ‘berkasyaf’ itu wajib dibenarkan seolah-olah merupakan nabi yang baru.

Atau seakan-akan ada orang selain daripada Nabi S.A.W yang maksum ataupun seseorang yang bebas daripada kesalahan. Dalam hal ini nampak adanya sikap yang melampaui batas.

b-     Sebahagian sufi memperakui beberapa perkara atas alasan kasyaf menimbang dari sudut neraca syara’. Kesannya pada pengikut pengikut.

Imam Sa’id Hawwa mengatakan bahawa beliau pernah menemui pengikut-pengikut Syeikh yang mentaati apa pun yang dikatakan oleh syeikhnya.

Seakan-akan syeikhnya itu seorang yang maksum. Perlu ingat, ada juga kasyaf yang diberikan kepada seseorang sebagai istidraj yang kemudiannya diakhiri dengan keburukan.

Contohnya dalam kisah Bal’am yang diceritakan dalam beberapa ayat Surah al-A’raf sepertimana penafsiran ahli tafsir dan riwayat-riwayat israiliyyat ada keterangan tentang istidraj ini.

Teguran Imam Sa’id Hawwa

(1)     Selain daripada 2 bentuk kesilapan ahli sufi, beliau turut menyatakan lagi ada sebahagian ahli sufi yang terlajak kesufian sehingga meninggalkan kewajipan.

Mereka beranggapan bahawa apabila sudah mencapai tahap kasyaf, maka terlucutlah segala kewajipan-kewajipan syar’ie ke atasnya.

Seolah-olah kasyaf itu adalah satu kedudukan maqam. Apabila seseorang itu mencapai tahap tersebut, mereka tidak perlu lagi menunaikan kewajipan-kewajipan.

(2)     Antara yang disebut oleh Imam Said Hawwa kasyaf tidak menyebabkan lahirnya akidah yang baru tidak pula sebagai tambahan nas-nas yang sudah pun ada

Bukan pula sesuatu yang menjadi ‘sembahan’ umat dan umat ini tidak diwajibkan pun untuk membenarkan mana-mana kasyaf.

Namun tidak ada masalah untuk membenarkan kasyaf yang dialami oleh mana-mana orang yang dapat dipercayai, sekiranya sesuai dan selari dengan Nas al-Quran dan Sunnah.

(3)     Imam Said Hawwa menguatkan lagi kata-katanya, mengatakan bahawa umat ini tidak diwajibkan pun untuk membenarkan kasyaf yang dialami oleh ahli-ahli Sufi sekalipun mereka itu adalah orang yang jujur.

Ini kerana mereka bukan dari kalangan orang yang maksum terhadap perkara ghaib dan berkemungkinan adanya unsur ‘waham’ ataupun sangkaan semata-mata.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
– HARAKAHDAILY 7/1/2020



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails