Thursday, February 27, 2020

Aci-aci Buka Pintu... Kisah Si Mahat(hir)?


Aci-aci buka pintu, Nana balik pukul 1

MAHAT mempunyai rumah yang disewa dan diamanahkan untuk beliau menjaganya dengan baik oleh tuan asalnya. Mahat boleh berbuat sesuka hati dengan rumah itu tetapi mesti memastikannya ia sentiasa dalam keadaan baik dan selamat. Segala kerosakan dan apa-apa yang melibatkan perbelanjaan kerugian kerana salah Mahat, maka beliau mesti membayarnya. Begitulah antara syaratnya.
Mahat mengajak beberapa orang rakannya untuk tinggal bersama. Ianya sebagai satu bentuk kerjasama bagi meringankan beban pembayaran sewa bulanan rumah itu. Rakan-rakannya dari berbagai bangsa dan agama berjanji akan mematuhi syarat-syarat yang sediakan sepanjang masa mereka menyewa. Maka tinggallah mereka hidup bersama walaupun tidak semua saling mengenali sesama sendiri.
Masa berlalu, rakan-rakan Mahat mulai menunjukkan perangai mereka yang sebenarnya. Ada yang membawa rakan mereka dari luar yang kaki mabuk masuk ke dalam rumah. Ada yang bermesra dengan pondan, ada yang membawa orang kafir yang tidak tahu menghormati orang Islam lain di dalam rumah itu.
Paling sukar diterima ialah sewa bulanan semakin banyak kerana mereka tidak membayarnya kepada Mahat. Tetapi jika Mahat meminjam wang mereka, setiap hari menyalak meminta dilunaskan hutang mereka. Bil-bil utiliti rumah juga semakin meningkat kerana tidak mahu memberikan kerjasama membayarnya.
Yang diulang-ulang ialah bil-bil ni semua bil penyewa dulu yang tak bayar. Mahat sakit hati kerana janji-janji mereka itu semuanya palsu. Sehinggakan ada seorang rakannya telah dihambat keluar kerana sentiasa sibuk memakai kasut hitam di dalam rumah sewanya.
Maka Mahat mencari idea, bagaimana mahu menghambat mereka semua keluar rumah dengan perjanjian sewaan yang masih ada itu. Mahat mengambil keputusan untuk menutup pintu pagar utama rumah yang menghadap jalan besar dengan menjadikannya pagar, sebagai langkah permulaan. Maka pada hari itu, apabila rakan-rakan Mahat pulang, mereka tidak boleh masuk ke rumah melalui pintu depan.
Mereka marahkan Mahat kerana dengan tindakan itu, mereka rasakan mereka tidak diberikan hak untuk terus mendiami rumah itu. Mahat pula meminta pertolongan rakannya yang lain untuk membuka pintu pagar belakang dengan lebih luas, agar menjadi pintu pagar utama menggantikan pintu pagar depan yang telah ditutup untuk dibuat pagar itu.
Rakan-rakan lama Mahat menuduh rakan-rakan baru Mahat, cuba bermain jahat dengan berpakat dengan Mahat masuk ke rumah melalui pintu belakang. Tetapi mereka lupa yang Mahat sudah menutup pagar depan. Dan dengan membuka dengan luas pintu pagar belakang, bermakna pintu belakang sekarang telah menjadi pintu hadapan baharu bagi rumah itu.
Langsung mereka berterusan menuduh ini adalah tidak betul kerana menjadikan pintu belakang sebagai pintu depan sebab ianya akan melalui ruang dapur dahulu. Tetapi tiada pula peruntukan mana-mana undang-undang yang mengatakan bahawa adalah salah bagi menjadikan pintu dapur itu sebagai pintu depan. Mahat memang pandai memanipulasikan undang-undang.
Ia terserah kepada Mahat bagaimana mahu membuat renovasi terhadap rumah sewanya itu kerana tuan rumahnya tidak membantah. Sekarang Mahat cuba nak buang rakan sewanya yang culas membayar sewa dan bil. Mahat bagitahu kepada semua, dia mahu keluar.
Kawan-kawan dia gelabah, pujuk Mahat sebab dia orang tahu kalau Mahat keluar, mana dia orang nak tinggal. Mahat cakap tak kira, aku nak keluar jugak, ni kunci aku nak serahkan kepada tuan rumah. Maka bergerak keluarlah semua mereka dari rumah.
Mahat serah kunci kepada tuan rumah, tapi tuan rumah kata, Mahat, kau jagalah dulu rumah ni sementara, jangan keluar lagi dan tak perlu bayar sewa sampai aku bagi tahu. Aku tahu kawan kau buat masalah, aku percayakan kau. Mahat gembira, sebab Mahat bagi tahu kawan-kawan dia yang dia dah keluar, tetapi sekarang dia boleh masuk balik rumah itu duduk free.
Sekarang Mahat sedang fikir bagaimana cara tidak mahu bayar upah renovasi pagar oleh kawan barunya. Mahat ajak kawannya tinggal bersama dan sewa ditolak atas upah itu. Rakan barunya setuju. Kemudian Mahat panggil seorang rakan lamanya yang kaki botol untuk duduk bersama.
Rakan baru Mahat marah, tak setuju. Kemudian dia keluar rumah dengan marah walau baru sehari duduk. Mahat pula segera batalkan ajakannya kepada kaki botol itu. Selamat Mahat tak perlu bayar upah renovasi pagar itu. Mahat sekarang sedang fikir, bagaimana nak sewakan rumah itu untuk dapat duit. Manakala rakan-rakannya yang lain juga sibuk berfikir bagaimana nak kenakan balik si Mahat.
MOHD NASIR ABDULLAH
27 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 27/2/2020

Video: Aci-Aci Buka Pintu SJK C Jelapang [Malam Kebudayaan 2011]

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails