Friday, February 07, 2020

PH Abai Kebajikan Pekerja. Perketat Dialisis..

Perketat kelayakan dialisis: PERKESO abai kebajikan

TINDAKAN PERKESO memperketatkan syarat kelayakan untuk menerima rawatan percuma bagi pesakit buah pinggang tahap akhir adalah suatu pengabaian terhadap kebajikan dan kesihatan sejumlah besar pekerja di negara ini.

Berdasarkan statistik, pada 2016 sahaja terdapat seramai 14,023 penerima kemudahan rawatan dialisis yang disediakan oleh PERKESO iaitu mewakili 35 peratus daripada 39,711 orang yang mengalami kegagalan buah pinggang dan menerima rawatan dialisis di seluruh negara.

Jika syarat ini diperketatkan, pasti akan mengurangkan jumlah penerima sedangkan pada tahun ini dijangkakan jumlah pesakit buah pinggang ini adalah melebihi 50,000 orang dan mencecah 106,000 orang pada 2040 yang sebahagian besarnya sudah pastilah adalah pekerja-pekerja yang berkhidmat untuk produktiviti isi rumah masing-masing dan negara.

Ditambah pula, 64 peratus penerima rawatan dialisis ini juga menghidapi penyakit kencing manis atau diabetis. Sekiranya golongan pekerja ini tidak diberikan bantuan rawatan, mereka pasti terjejas dengan beban kewangan yang lebih besar.

Justeru, saya menggesa supaya Menteri Sumber Manusia memberikan maklum balas segera dan memainkan peranan sewajarnya supaya PERKESO menarik semula keputusan tersebut. Sikap Menteri yang masih berdiam diri mengenai perkara ini adalah sangat mengecewakan.
Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 5/2/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails