Friday, February 28, 2020

Rejab: Rindu Umat Islam Pada Ramadhan.

Hasil carian imej untuk pemandangan malam
Ramadhan dan sejarah kegelojohan umat Islam

TIDAK memahami keutamaan (الأولاويات)

(1) 1 Rejab 1441 bermula beberapa hari lagi, iaitu Isnin, 24 Februari 2020. Tarikh yang sepatutnya menimbulkan rindu umat Islam terhadap Ramadhan.

Boleh jadi ia adalah Ramadhan yang terakhir sebelum Umat Islam berhadapan dengan situasi yang lebih getir dengan kemunculan Dajal. WaLlahuaklam.

(2) Namun, hari ini sudah berlonggok-longgok promosi baju-baju raya. Seolah-olah Umat Islam hari ini sedang diheret ke arah mengabaikan Sunnah Nabi S.A.W.


Seolah-olah syaitan itu sedang membuat persiapan untuk berhadapan dengan penjara Ramadhan yang tersedia buat mereka sepertimana Sabda Nabi S.A.W;
إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار، وصفدت الشياطين
“Apabila datang bulan ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu para syaitan.”
(Shahih Bukhari)

(3) Kalau syaitan itu membuat persediaan, bagaimanakah Umat Islam boleh leka dan melupakan Ramadhan? Terhegeh-hegeh mempersiapkan Syawal.
Menggambarkan kejahilan Umat Islam akhir zaman yang semakin butakan keutamaan (الأولاويات). Umat Islam sepatutnya merasa sesuatu apabila hampirnya Ramadhan.
Mengejar pengampunan Allah S.W.T
(1) Nabi S.A.W bersabda;
مَنْ صامَ رمضانَ إيمانًا واحتسابًا، غُفِر له ما تقدَّمَ من ذنبه، ومَنْ قامَ ليلةَ القَدْر إيمانًا واحتسابًا، غُفِرَ له ما تقدَّم من ذنبه

“Barangsiapa yang berpuasa (di Bulan) Ramadhan (dalam kondisi) keimanan dan mengharapkan (pahala), maka dia akan diampuni dosa-dosa yang telah lalu”.

Apabila ditanya mengapa para Salafussoleh terdahulu rindukan Ramadhan, kerana Ramadhan adalah bulan pengampunan dosa. Maka mereka menantikan saat dosa diampunkan.
(2) Ibn al Jauzi menyatakan;
تالله لو قيل لأهل القبور تمنوا لتمنوا يوماً من رمضان
“Demi Allah, sekiranya ditanya kepada ahli kubur, sudah pasti mereka pasti akan mengharapkan satu hari daripada bulan Ramadhan.”

Menggambarkan orang yang sudah mati sangat mengharapkan Ramadhan kerana ia adalah bulan pengampunan. Benar-benar menagih keampunan Allah S.W.T.
Namun hakikatnya mereka itu tidak mungkin dapat merasai lagi Ramadhan setelah mana pergi meninggalkan dunia ini. Orang yang masih hidup, pasti tidak mengertikan hal ini.
(3) Ahli gerakan Islam lebih patut untuk mengejar pengampunan Allah S.W.T. Itulah yang diharapkan sepatutnya. Kadang kala berpolitik kosong itu melekakan.
Maka, isikan ia dengan pengampunan Allah S.W.T di bulan Ramadhan. Menjadikan Ramadhan sebagai bulan jihad, bukannya menjadikannya masa untuk meninggalkan jihad.
Ramadhan bulan jihad
(1) Antara sirah Nabi Muhammad S.A.W yang terjadi dalam bulan Ramadhan ialah;
  • (a) Perang pertama dalam sejarah Islam ialah Perang Badar, berlaku pada bulan Ramadhan tahun 2 Hijrah.
  • (b) Persediaan Perang Uhud yang menyaksikan susunan strategi perang berlaku pada Ramadhan 3 Hijrah.
  • (c) Penggalian parit sebagai persiapan Perang Khandaq (Ahzab) dibuat pada bulan Ramadhan tahun 5 Hijrah.
  • (d) Pembukaan kota Makkah yang merupakan hari kemenangan Islam berlaku pada Ramadhan tahun 8 Hijrah.

(2) Hari ini, apabila masuknya bulan Ramadhan, biasanya Amerika Israel akan menyerang Umat Islam khususnya di Palestin dan di tempat-tempat lain juga.
Seolah-olah mencabar Umat Islam seluruh dunia untuk bangkit. Namun, kita sendiri sedar bahawa negara-negara Umat Islam yang berhampiran, sudah pun berbaik dengan Amerika Israel.
(3) Umat Islam hari ini tidak memikirkan hal negara jirannya dalam bab penindasan ini. Tidak menghiraukan bagaimana Ramadhan mereka yang ditindas itu.
Mereka tidak mampu untuk bersahur apatah lagi berbuka. Situasi yang terabai ini menjadi gambaran hilangnya nilai kesatuan Islam. Nilai kesatuan sudah berkubur di sempadan.
Antara kesabaran dan kegopohan
(1) Apabila berbicara mengenai Ramadhan, ia sangat berkaitan dengan sabar. Iaitu menahan diri daripada melakukan sesuatu yang dibenci oleh Allah S.W.T.
Banyak sikap-sikap yang mengundang kebencian Allah S.W.T, antaranya adalah kegelojohan. Nabi S.A.W bersabda;
التأنِّي من الله والعجلةُ من الشيطان
“Cermat itu daripada Allah S.W.T, manakala kegelojohan itu daripada syaitan.”

(2) Sikap kegelojohan atau kegopohan ini berlawanan dengan cermat. Syaitan biasanya mendorong manusia untuk bertindak melulu tanpa berfikir panjang.
Sebab itulah kita lihat, ada dalam sejarah Umat Islam yang bertindak seperti ini. Antaranya dalam fasa kejatuhan Uthmaniah yang perlu diambil iktibar.
(3) Umum mengetahui Uthmaniah pada asalnya tiada kena mengena dengan Perang Dunia Pertama yang bermula Jun 1914. Asalnya pertembungan antara Kuasa Pusat dan Tentera Bersekutu.
Kuasa Pusat yang dianggotai oleh Jerman, Hungary dan Itali manakala Tentera Bersekutu yang dianggotai oleh British, Perancis dan Rusia.
(4) Geng Pasha dalam Uthmaniah pula sememangnya sejak awal lagi sudah cenderung ke arah Jerman. Itali menarik diri dari kancah tersebut pada 1 Ogos 1914.
Keesokan harinya tanpa berfikir panjang, geng Pasha telah membuat perjanjian ‘belakang tabir’ untuk menyertai Kuasa Pusat berhadapan Tentera Bersekutu menggambarkan tindakan tidak cermat yang mengundang bahaya.
Kegelojohan yang merugikan
(1) Tindakan semberono ini bermula daripada kecenderungan geng-geng Pasha itu tidak memikirkan maslahah Umat Islam seluruh dunia. Tidak cermat dalam membuat keputusan.
Tindakan gelojoh seakan-akan beriya-iya nak menggantikan tempat Itali dalam Kuasa Pusat, tanpa memikirkan nasib Umat Islam seluruh dunia yang tidak ada kepentingan pun dalam perang itu.
(2) Jerman yang mengintai peluang itu, mula menawarkan dedak kepada Uthmaniah sebagai tanda rasmi penglibatan Uthmaniah dalam Kuasa Pusat pada Oktober 1914.
Sekali lagi tindakan semberono dan tak cermat dilakukan oleh Uthmaniah. Selang beberapa hari, tanpa diduga, geng Pasha yang sudah menikmati dedak, mula mengeluarkan arahan ‘mencari pasal’ terhadap Tentera Bersekutu.
Iaitu dengan menyerang Kapal Perang Rusia yang merupakan geng Tentera Bersekutu tanpa berfikir panjang. Sejurus serangan itu, Rusia isytihar perang kepada Uthmaniah.
(3) Perang meletus. Khalifah tiada pilihan, terpaksa menyeru Ummat Islam seluruh dunia bangkit menentang Tentera Bersekutu di seluruh dunia.
Kebangkitan demi kebangkitan, akhirnya mengorbankan 250 000 Tentera Uthmaniah. Rekod pemerintahan Khilafah Islamiah tercalar dalam isu ini.
Bayangkan disebabkan kegelojohan segelintir pimpinan Umat Islam, merugikan Umat Islam di seluruh dunia. Ambillah iktibar ini sempena kehadiran Ramadhan tak lama lagi.
Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 24/2/2020


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails