Sunday, March 29, 2020

Di waktu genting, terlihatlah hikmah seruan



APABILA wabak ini bermula, dunia dan WHO berbelah bagi bagaimana untuk mengawalnya. Semua saranan dan pilihan pencegahan berdasarkan kepada teori moden dan meletakkan implikasi ekonomi dan hak asasi manusia sebagai asas kepada tindakan yang diambil.

Pada hari ini dunia dan WHO telah gagal dengan teori-teori mereka. Kegagalan mereka mengambil kira faktor kecepatan manusia bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain sebagai faktor utama perebakan telah dibayar dengan begitu mahal oleh dunia. Bukan sekadar isu ekonomi tetapi juga isu nyawa manusia.

Pada hari ini, hampir semua aktiviti ekonomi telah lumpuh di seluruh dunia. Perkara yang mereka takuti telah berlaku juga dan malah lebih besar daripada yang mereka jangkakan. Bayangkan, sekiranya seluruh dunia menutup semua pintu masuk mereka daripada negara-negara lain apabila wabak ini bermula, apa kemungkinan yang akan berlaku. Ekonomi domestik akan berkembang. Tiada Perintah Kawalan Pergerakan. Semua akan menjalani kehidupan seperti sedia kala.
Yang akan terkesan ialah sektor penerbangan, perhotelan, import eksport dan industri yang bergantung kepada bahan mentah luar negara. Namun kemasukan barang import masih boleh dilakukan dengan perintah kawalan tambahan kepada barang-barang tersebut. Yang lain boleh terus bekerja.
Cuba bandingkan apa yang berlaku sekarang. Nampakkah bezanya? Itulah kebaikan sekiranya kita mengambil sikap proaktif untuk menutup seluruh pintu negara dari awal. Bukan sekadar Malaysia tetapi seluruh dunia. Akhirnya ini memberi keyakinan kepada kita bahawa apa yang dianjurkan oleh Islam melalui perkataan Nabi S.A.W itu merupakan ramuan mujarab kepada dunia moden di dalam mengekang sesuatu wabak. Walaupun saranan itu sudah berusia lebih 1400 tahun, namun ia masih terus relevan sehingga hari ini dan kita yakin ia akan terus relevan sehingga ke akhir usia dunia.
Maka ingatlah akan Hadis ini:
“Sabda Rasulullah S.A.W: Apabila kamu mendengar berlakunya wabak Taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Apabila berlaku dalam negeri yang kamu berada di dalamnya, maka jangan kamu keluar.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
DR MOHD MAZRI YAHYA – HARAKAHDAILY 27/3/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails