Monday, March 30, 2020

Gesa Wanita Miliki 6 Anak Demi 'kebaikan negara'.

MADURO gesa wanita di Venezuela melahirkan enam anak. FOTO Agensi

CARACAS: Presiden Venezuela, Nicolás Maduro menggesa wanita memiliki enam anak demi 'kebaikan negara'.
Lapor BBC News dalam penampilannya di televisyen ketika mempromosikan pelan penjagaan kesihatan wanita nasional, Maduro menggalakkan wanita melahirkan anak lebih ramai.
“Setiap wanita perlu melahirkan enam anak demi kebaikan negara.
“Semoga Tuhan merahmati kamu dengan menganugerahkan enam anak lelaki dan perempuan,” katanya.
Negara terbabit berdepan krisis ekonomi dengan kekurangan beberapa makanan dan perubatan.
Sebuah badan amal mendakwa, peningkatan 70 peratus bilangan bayi ditinggalkan di jalanan dan di pintu masuk bangunan awam pada 2018.
Berdasarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kanak-kanak di Venezuela kekurangan nutrisi sejak 2013 hingga 2018.
Kajian Program Makanan Dunia PBB mendedahkan, satu dalam tiga rakyat Venezuela berdepan kesukaran untuk mendapatkan makanan berkhasiat sekurang-kurangya mencapai tahap minimum kadar keperluan nutrisi.
Pertelagahan kuasa antara kerajaan dan pembangkang memburukkan lagi pelbagai usaha negara.
Ketua pembangkang, Juan Guaido dianggap sebagai pemimpin Venezuela yang sah oleh lebih 50 negara.
Namun, Maduro yang juga pemimpin sayap kiri negara kekal berkuasa selepas meraih sokongan tentera Venezuela.
Penyokong Guaido, Manuela Bolivar memberikan reaksi berang di Twitter. Agensi

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً
Al-Rum:21
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
Agama kita amat menggalakkan setiap umatnya agar berkahwin berdasarkan hadith-hadith yang sahih. Namun di sana terdapat beberapa ciri-ciri yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada kita sebagai panduan sebelum mendirikan rumahtangga.
Terdapat sebuah hadith daripada Ma’qil bin Yasar berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata:
إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ، وَإِنَّهَا لَا تَلِدُ، أَفَأَتَزَوَّجُهَا، قَالَ: "لَا." ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ، فَقَالَ: "تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ."
Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik tetapi dia seorang yang tidak boleh melahirkan anak. Maka, apakah aku boleh menikahinya? Rasulullah SAW menjawab: “Jangan.” 
Kemudian lelaki itu datang buat kali yang kedua maka Baginda SAW juga melarangnya. Lalu lelaki itu datang buat kali yang ketiga, maka Nabi SAW bersabda: “Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.” [Riwayat Abu Daud (1050)] [Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith adalah kuat]
Hadith ini menunjukkan bahawa anjuran Nabi SAW agar lelaki ini berkahwin dengan wanita yang penyayang supaya dia (isteri) dapat menyayangi suaminya dan yang subur pula adalah yang boleh melahirkan ramai anak. 
Hadith ini diikat dengan dua ciri ini kerana jika seorang wanita itu tidak bersifat dengan penyayang maka ia akan menjadikan tarikan suami kepadanya berkurangan. Jika wanita itu tidak bersifat subur maka ia tidak mencapai salah satu tuntutan iaitu meramaikan umat dengan melahirkan ramai anak. 
Selain itu, kedua ciri ini kebiasaannya terdapat pada wanita yang masih dara. Tambahan pula, hadith ini juga menunjukkan isyarat agar kekal dengan perkahwinan yang mana terdapat padanya (pada isteri) dua ciri atau sifat tersebut. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 33-34/6]
Justeru itu, hadith ini merupakan salah satu petunjuk atau hadyu nabawi dalam memilih pasangan hidup. Tuntutan ini bukanlah bersifat wajib, bahkan ia merupakan satu galakan kerana Nabi SAW berbangga melihat umatnya ramai di akhirat kelak. 
Seperkara lagi, anak merupakan rezeki daripada Allah SWT dan Allah SWT berhak untuk memberikan rezeki tersebut kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Untuk itu, janganlah kita bersedih jika Allah SWT belum lagi mengurniakan kita cahaya mata atau Allah SWT tidak mengurniakan kita cahaya mata. 
Tugas kita sebagai seorang hamba adalah sentiasa berdoa serta berusaha dengan bersungguh-sungguh dan selebihnya kita serah kepada Allah SWT.
Itu pandangan dari sudut Islam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails