Friday, March 06, 2020

Ini, Agenda Pemulihan Ekonomi Pasca-Kabinet PH

Hasil carian imej untuk wang ringgit

TIDAK dapat dinafikan antara perkara penting yang menjadi perhatian awam ialah agenda pemulihan ekonomi negara pasca kabinet Pakatan Harapan.

Keadaan semasa menunjukkan pemulihan harus bertitik tolak kepada dua cabaran utama. 

  • Pertama, pemulihan daripada kedudukan pertumbuhan ekonomi negara pada paras terendah (3.6 peratus) Suku Keempat 2019 ekoran daripada kejatuhan eksport dan kelembapan pelaburan awam. 
  • Kedua, pemulihan daripada wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada sektor peruncitan, pelancongan dan penginapan. 

Tindakan terakhir yang sedang direncana oleh bekas Kabinet PH adalah pakej rangsangan ekonomi yang dianggarkan sekitar RM19 bilion. Pakej rangsangan yang dijangka akan diumumkan pada 27 Februari ini masih belum pasti sehingga kabinet baharu dibentuk sepenuhnya dalam masa terdekat. 
Negara berhadapan dengan cabaran sukar dalam tempoh dua bulan terawal 2020. Namun, tindakan perlu segera diambil agar kelembapan ekonomi negara tidak diheret terlalu jauh dan menyukarkan pelan mitigasi risiko.
Selain itu, antara kelemahan utama yang dihadapi oleh bekas kabinet PH adalah ketidaktentuan polisi ekonomi. Hala tuju ekonomi yang kurang jelas tidak mampu menggamit keyakinan pelabur dalam pasaran modal. Pasaran saham menjunam daripada 1850 mata kepada 1490 mata (-20 peratus) dalam tempoh 20 bulan. 
Meski tidak menolak faktor pasaran global, namun kelemahan bekas kabinet PH untuk mengukuhkan kembali pasaran saham domestik menjadi persoalan utama. Hal itu menyebabkan banyak ekuiti yang dilanggan oleh tabungan awam seperti TH, KWSP, KWAP dan PNB turut terjejas teruk.
Kerajaan baharu akan berdepan dilema menetapkan kelangsungan SST. Regim percukaian perlu diperhalusi dan tidak mustahil akan berlaku perubahan besar terutama untuk mengelakkan ketirisan dan pengabaian. 
Sementara itu, paras hutang yang kini mencecah RM793 bilion berbanding RM725 bilion pada Suku Kedua 2018 mesti dikawal di samping memastikan aspek perbelanjaan fiskal dilakukan secara berhemah. Banyak program subsidi rakyat yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya seperti Program Subsidi Petrol dan MySalam.
Kabinet pasca PH juga perlu mengukuhkan kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) setelah mencatatkan liabiliti bersih lebih tinggi RM47.3 bilion pada Suku Keempat 2019 berbanding RM13 bilion pada Suku Ketiga 2019. 
Walaupun begitu Pelaburan Langsung Asing mencatatkan nilai lebih tinggi RM691.6 bilion berbanding RM678.3 bilion dalam tempoh yang sama. Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia juga menurun daripada RM431.2 bilion (Sept 2019) kepada RM424.1 bilion (Dis 2019).
Kedudukan ekonomi negara perlu dipacu dengan lebih laju. Pelbagai golongan mengharapkan ‘magik’ pemulihan sekiranya kabinet baharu diumumkan kelak. Tiga agenda utama sedang menanti. 
  • Pertama, sidang kemuncak APEC 2020. 
  • Kedua, penggubalan Rancangan Malaysia Ke-12 dan 
  • ketiga, permulaan era Wawasan Kemakmuran Bersama. 
Sekiranya kabinet baharu dibentuk pasca PH maka ini adalah cabaran besar yang akan dilalui. Semoga perjalanan urus tadbir negara lancar di bawah pemerintahan pasca PH.
MIOR ISFANDI MIOR AZIZAN – HARAKAHDAILY 25/2/2020

PERHATIAN klik di sini..
Presiden PAS Paling Layak Dilantik Timbalan PM.

1 comment:

  1. Imej pemimpin juga beri kesan. Jika pemimpin beria-ia dalam ucapan, tapi imejnya ada calar, pendengar buat endah tak endah. Begitu juga pelabur asing. Imej pemimpin penting. Kejatuhan ekonomi malaysia bermula di era tahun tahun akhir pm mahathir. Dasar penswastaan yg tidak telus, pindahmilik ke individu tertentu, adalah agihan yg janggal yg tidak menepati matlamat wawasan 2020. Gagalnya pemimpin itu adalah imej buruk. Terlantiknya semula, tidak memadamkan imej itu. Makin merudum ekonomi.

    Mahathir perlu buat pengorbanan. Tidak perlu lagi berpolitik. Ketidakterlibatannya lebih bermanafaat berbanding keterlibatannya. Beri sokongan penuh kepada kepimpinan baru. Tidak perlu flip flop. Lagi pun imejnya dalam society adalah figura pemecah belah.

    Pada masa sama pakej ransangan ekonomi ambil kira pengangguran disebabkan pembuangan kerja era ph. Selain itu keseimbangan ekonomi berasaskan kaum, yg berat sebelah di bawah menteri kewangan ph yg rasis, jadikan agenda utama. BMF adalah pemacu setelah peniaga muslim jadi bahan sabotaj peniaga cina. Market muslim besar tapi dipelopori oleh produk non muslim. Bantuan seperti ini sangat diperlukan. Kesedaran pengguna ditingkatkan kerana mereka ini marketnya.

    ReplyDelete