Saturday, March 07, 2020

Kabinet Tampilkan Muka Lama Dan Baharu. PAS: T/Presiden, S/U, AP Pasir Mas..


Gambar fail, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu merangkap Menteri Dalam Negeri hadir ke persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Oktober tahun lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Senarai Kabinet di peringkat akhir?


KUALA LUMPUR: Senarai nama ahli jemaah Kabinet kini dalam peringkat akhir sebelum dimuktamadkan bagi membolehkan majlis angkat sumpah diadakan minggu hadapan.
Sumber dalaman parti memberitahu semua ketua parti dalam Perikatan Nasional (PN) sudah mengemukakan cadangan nama mewakili parti masing-masing dan difahamkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sedang menelitinya.
Katanya, Perdana Menteri sudah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan Presiden parti dalam PN bagi membincangkan senarai berkenaan.
“Saya difahamkan kini Perdana Menteri sedang menimbangkan senarai berkenaan sebelum mempersembahkan untuk diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya kepada BH, hari ini.
Ditanya lanjut mengenai nama dalam senarai berkenaan, sumber itu menjelaskan barisan Kabinet itu dijangka menampilkan muka lama dan baharu, yang berpengalaman dan pertama kali dalam kerajaan membabitkan wakil setiap parti dalam komponen berkenaan.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khaled berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tidak membincangkan senarai nama yang dicadangkan untuk barisan Kabinet.
Katanya, perkara itu adalah kebijaksanaan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beliau percaya calon yang ditampilkan mereka yang berwibawa dan berpengalaman serta mempunyai latar belakang yang luas dalam bidang masing-masing.
“Saya difahamkan sudah ada pertemuan ketua parti dalam PN dengan Perdana Menteri. Kita tunggu saja, beri sedikit masa kepada ketua parti dan Perdana Menteri,” katanya.
Ditanya sama ada nama beliau turut tersenarai, katanya beliau tidak tahu mengenai perkara itu kerana tidak terbabit dalam menyediakan senarai dan perkara itu terpulang kepada Presiden yang memilih.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, perkara berkaitan barisan Kabinet itu sudah pun dibincangkan barisan kepemimpinan dalam PN.
“Perbincangan sedang dibuat dan kini semuanya terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri,” katanya enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.
“Perbincangan sedang dibuat oleh kepimpinan tertinggi dan semua diserahkan kepada kebijaksanaan PM berdasarkan beberapa spekulasi sebelum ini, iaitu beberapa bekas menteri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dinamakan semula dalam barisan Kabinet itu.
Antara nama yang disebut ialah Mahdzir; Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar) dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.
Ahli Parlimen PAS pula yang disebut-sebut dalam senarai Kabinet adalah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari.
Turut disebut-sebut, wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Datuk Seri Fadillah Yusof dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. (BH)

No comments:

Post a Comment