Friday, March 06, 2020

Perlu Segera Lakukan Penggabungan Bank.


LAJNAH Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat berpandang bahawa dalam suasana kecairan sistem kewangan negara yang amat ketat sekarang, penggabungan bank-bank adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, malah ianya satu keperluan. Justeru itu pihak industri harus memikirkan dengan serius dan bertindak sekarang.
Saraan kami ini adalah susulan daripada tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Asas Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, kadar terendah dalam tempoh sepuluh tahun. Langkah terbaharu BNM ini adalah siri kawalan kewangan yang telah dilakukan, termasuk penurunan kadar Keperluan Simpanan Berkanun (SRR) kepada 3.00 peratus.
Rata-rata penganalisa mengjangkakan situasi terbaharu ini bakal memberi kesan kepada margin bersih kadar faedah (net interest margin) dan juga keuntungan (earning) sektor perbankan. Ulasan daripada Nomura Asset Management Malaysia Sdn Bhd menyatakan dalam situasi sekarang margin sektor perbankan akan menyusut antara 2 peratus hingga 3 peratus, yang akhirnya akan menurunkan keuntungan antara 1 peratus hingga 2 peratus.
Dalam suasana kadar faedah yang rendah iaitu 2.50 peratus untuk OPR sekarang, kos pinjaman kepada pengguna akan lebih murah. Namun ini telah memberikan impak teknikal yang lain terutama kepada kadar pertumbuhan deposit yang makin menurun. Pada bulan Januari 2019 nisbah pinjaman deposit (LDR) untuk bank di Malaysia adalah lebih 87.6 peratus. Akibatnya bank-bank akan terpaksa bersaing dengan lebih sengit untuk menarik deposit yang akhirnya akan menjejaskan kadar keuntungan mereka.
Jesteru dalam keadaan aliran tunai yang semakin ketat, langkah penggabungan adalah paling optimum demi untuk menyelamatkan industri perbankan dan seterusnya melindungi pengguna. Dengan saiz yang lebih besar bank akan mempunyai skala ekonomi yang lebih optimum untuk terus kekal berdaya saing.
Pihak kerajaan harus menjadi pemudah cara dengan bertindak mencetuskan perbincangan antara bank-bank, mengesyorkan padanan perniagaan (business matching) dan seterusnya menyediakan insentif-insentif yang sepatutnya. Kawal selia juga adalah amat penting kerana dalam mana-mana integrasi dan penggabungan perniagaan pun, seliaan yang ketat adalah faktor kejayaan yang utama.
Kami juga berpandangan langkah penggabungan juga boleh mengurangkan risiko kadar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) dan boleh dikawal pada kadar yang optimum, disebabkan saiz aset bank yang diperbesarkan.
Kami juga menyarankan langkah pembesaran ke peringkatan serantau yang telah dipelopori oleh bank-bank utama Malaysia iaitu Maybank, CIMB dan Public Bank harus dicontohi oleh bank-bank lain. Dengan operasi serantau bank akan boleh mengambil peluang daripada saiz pasaran yang lebih besar, yang seterusnya mampu memulihkan aliran tunai ke tahap yang lebih baik. Pun begitu, untuk memastikan kekuatan optimum, pembesaran ke peringkat serantau hanya mampu dibuat setelah penggabungan selesai.
MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat
10 Rejab 1441H | 5 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 5/3/2020


PERHATIAN klik di sini..
Presiden PAS Paling Layak Dilantik Timbalan PM.

1 comment:

Anonymous said...

Dalam pada menguruskan penggabungan, tiba masanya fikirkan kaedah islamic menggantikan "faedah" yg haram hukumnya. Tujuan hindar syubhah dan beroleh keberkatan. Ada pakar yg boleh mencadangkan untuk kepentingan penyimpan dan peminjam dan sistem kewangan islam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails