Thursday, April 16, 2020

15 Pemuzik Orkestra RTM Beraksi Dari Rumah.

Seramai 15 pemuzik diketuai konduktor mempersembahkan lagu Bahtera Merdeka dalam rakaman yang dilakukan di rumah masing-masing. - Foto Datuk Mokhzani Ismail
Seramai 15 pemuzik diketuai konduktor mempersembahkan lagu Bahtera Merdeka dalam rakaman yang dilakukan di rumah masing-masing. - Foto Datuk Mokhzani Ismail
HALAMAN  HIBURAN


KUALA LUMPUR: Memilih lagu berunsur patriotik, Bahtera Merdeka, Orkestra RTM menghimpunkan seramai 15 pemuzik membuat rakaman persembahan dari rumah.
Orkestra RTM mencatat sejarah menjadi kumpulan pancaragam pertama di Malaysia membuat persembahan secara berasingan dalam usaha mengiktiraf sumbangan dan keringat petugas barisan hadapan.


Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail berkata, seramai 15 pemuzik diketuai konduktor mempersembahkan lagu ciptaan Allahyarham Kassim Masdor dari rumah masing-masing untuk dirakam, baru-baru ini.
“Idea tercetus selepas saya menonton persembahan serupa dibuat pemuzik di luar negara. Diakui bukan mudah dan cabaran sangat besar.
“Selain perlu menghimpunkan pemuzik dari rumah masing-masing, mereka kena pastikan lagu dialun mengikut tonasi dan tempo tepat. Pada masa sama, rakaman dibuat dan skor muzik perlu dilihat.
“Ini adalah persembahan dari rumah yang pertama dilakukan kumpulan orkestra di Malaysia. Kami akan berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR),” katanya kepada BH Online.
Rakaman persembahan virtual Orkestra RTM itu dimuat naik di YouTube pada Ahad lalu.
Mengulas pemilihan lagu Bahtera Merdeka, Mokhzani berkata, lirik berkonsepkan patriotik sesuai dengan apa yang dihadapi rakyat Malaysia yang diancam COVID-19, selain perlu akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Lagu Bahtera Merdeka adalah nyanyian asal Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan dinyanyikan semula Aishah. Liriknya yang mengandungi petikan ‘jiwa dan raga, buktikanlah pada nusa dan bangsa’. Bagi saya, ia sesuai dan tepat dengan keadaan semasa.
“Selain itu, lagu ini ditujukan kepada petugas barisan hadapan yang sedang berjuang untuk negara,” katanya.
Pada persembahan dijayakan Orkestra RTM, melodi lagu digubah semula oleh Khairul Aziem Rashidi dengan Luqman Aziz bertindak sebagai konduktor.
Enggan usaha terhenti begitu sahaja, Mokhzani membayangkan ada lagi persembahan serupa akan dibuat pada masa akan datang umpama konsert berskala besar. (BH)
Komen Weblog Ibnu HASYIM: Perlu diperluaskan atau dipandu kepada lagu-lagu patriotik bangkitkan semangat hidup dan perjuangan, serta patuh syariah.

No comments:

Post a Comment