Monday, April 20, 2020

3 Hari, 3 Kuasa Besar Buat Aktiviti Tentera Kritikal. Ini..


China Tests Satellite Killer Missile Again? | Coast to Coast AM


IBARAT mimpi, tiga kuasa besar dunia dilapor melakukan aktiviti ketenteraan yang kritikal dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Pada 15 April Rusia melancarkan ujian peluru berpandu ‘pembunuh satelit’ (satellite killer) yang dikenali sebagai PL-19 Nudol.

Pada 16 April pula China dilapor melakukan ujian peluru berpandu nuklear rahsia bawah tanah di tapak Lop Nur – hari yang sama juga kapal China dilapor menceroboh perairan Malaysia.

Pada 17 April Amerika Syarikat melalui ‘US Space Force’ mengisytiharkan bahawa mereka sedang membina model baru sistem senjata penghalang komunikasi satelit selepas 16 unit ‘Counter Communications System Block 10.2’ sah dibangunkan.
Menariknya, ketiga-tiga perkembangan ini berlangsung berturut-turut kurang 48 jam selepas ‘perang harga minyak’ tamat antara Rusia dengan proksi Amerika, iaitu Arab Saudi.
Untuk rekod, tindakan Rusia melancarkan ujian peluru berpandu ‘pembunuh satelit’ PL-19 Nudol pada 15 April hadir kurang sebulan selepas Amerika Syarikat melancarkan satelit kalis perang nuklear, iaitu Advanced Extremely High Frequency (AEHF-6) pada 27 Mac 2020.
Ujian peluru berpandu ‘pembunuh satelit’ oleh Rusia ini dilancarkan dari Plesetsk Cosmodrome dan terbang sejauh 3,000 km sebelum terhempas di Laut Laptev.
‘Pembunuh satelit’ PL-19 Nudol Rusia ini dihasilkan oleh kontraktor pertahanan Rusia Almaz Antey, yang sememangnya mengkhusus dalam peluru berpandu jarak jauh – bahkan Nudol dibangun berasaskan sistem anti-peluru berpandu balistik A-235.
China pula, meski pun menandatangani Comprehensive Test Ban Treaty (CTBT), namun ia tidak meratifikasinya sekali gus menjadikan perjanjian yang membolehkan pemantauan ke atas tapak ujian nuklear di negara itu tidak terpakai.
Tindakan China menjalankan ujian nuklear rahsia bawah tanah ini dalam keadaan ia enggan untuk menyertai Perjanjian START (Strategic Arms Reduction Treaty) yang diusulkan oleh Presiden Amerika Donald Trump – kononnya atas alasan senjata nuklear China dibangunkan bagi tujuan defensif dan tidak mendatangkan ancaman – kini semakin mengundang rasa sangsi kuasa besar yang lain.
Hakikatnya, China dianggarkan memiliki 300 senjata nuklear dan tindakan agresif mereka di Laut China Selatan – terbaru laporan kapal mereka menceroboh perairan Malaysia hadir pada hari yang sama apabila Jabatan Negara Amerika mendedahkan ujian nuklear bawah tanah di tapak Lop Nur – menafikan secara tidak langsung dakwaan bahawa China bersikap ‘defensif’.
Amerika pula, di sebalik usahanya untuk memperbaharui Perjanjian START dengan Moscow yang bakal tamat pada Februari ini, bertanggungjawab untuk memarakkan ‘perlumbaan senjata ke arah perang angkasa’ dengan Rusia dan China.
Jika Perjanjian START bertujuan untuk mengurangkan senjata strategik seperti peluru berpandu nuklear jarak jauh, Rusia telah mengusulkan satu perjanjian yang hampir serupa dalam konteks mencegah ‘perlumbaan senjata di angkasa lepas’ tetapi ditolak Amerika.
Sebaliknya, tidak cukup dengan melancarkan satelit Advanced Extremely High Frequency (AEHF-6) yang mencetus tindak balas Rusia pada 15 April, Amerika pada 17 April mendedahkan bahawa mereka sedang membina model baru sistem senjata penghalang komunikasi satelit yang dikenali sebagai ‘Meadowland’.
Leftenan Kolonel Stephen Brogan dari US Space Force dilaporkan Bloomberg mendedahkan bahawa empat unit model baru Meadoland akan disiapkan pada Oktober 2022 di mana ia lebih ofensif dengan keupayaan untuk menghalang lebih banyak frekuensi dan juga lebih ringan.
Ternyata, dalam keadaan seluruh dunia dibelenggu krisis pandemik COVID-19 yang masih tidak kunjung reda, tiga kuasa besar dunia ini tidak sama sekali mengendurkan persaingan kuasa antara mereka.
Oleh: ABDUL MUEIN ABADI
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 20/4/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails