Abd Gani menerima bantuan makanan daripada Ketua Pemuda Umno Baling, Mohamad Sahabudin Besher Mohamad, (dua kanan) di rumah kongsi projek perumahan Batu 42, berdekatan Kompleks Rakan Muda, Pulai.FOTO/NSTP/SAFURI KAMARUDIN.
AKIBAT kehabisan makanan sekumpulan 13 warga asing terpaksa makan umbut pisang dan pucuk kayu bagi mengalas perut ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mereka terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh yang bekerja sebagai buruh dilapor terputus bekalan barangan makanan untuk dimasak.
Warga Indonesia, Yusnizar Hutabarat, 57, berkata, dia bekerja sebagai buruh di projek perumahan kedai Batu 42, berdekatan Kompleks Rakan Muda sejak tiga tahun lalu.
Katanya, ekoran PKP mereka yang dibayar gaji hari kehabisan wang dan terpaksa mengutip pucuk kayu untuk dimakan selepas kehabisan bekalan mentah.
Katanya, ekoran PKP mereka yang dibayar gaji hari kehabisan wang dan terpaksa mengutip pucuk kayu untuk dimakan selepas kehabisan bekalan mentah.
“Kami tidak ada pilihan lagi apabila terputus makan dan mengutip apa saja bahan makanan (pucuk kayu) untuk mengalas perut.
“Umbut pisang, buah betik, bunga betik serta daun kayu direbus dan dijadikan makanan supaya kami tidak lapar,” katanya ketika di temui di rumah kongsi di kawasan selepas mendapat bantuan makanan daripada Ketua Pemuda Umno Bahagian Baling, Mohamad Sahabudin Besher Mohamad, hari ini.
Rakannya, warga Myanmar Abdul Ghani, 40, pula berkata, mereka hanya memakan nasi berlauk telur, ikan bilis dan ikan kering sejak PKP.
Katanya, selepas bekalan makanan terputus sejak seminggu lalu dia makan apa yang ada termasuk makan nasi bercampur garam sahaja.
“Apabila tidak ada makanan lagi saya mengutip batang pisang, buah betik dan bunganya.
“Lagi pun kami dibayar ikut hari bekerja, kalau tidak bekerja tidak ada wang. Duit sudah habis dan tidak boleh beli beras lagi,” katanya.
Menurutnya, mereka terharu apabila pemimpin tempatan sanggup mengunjungi mereka selain memberikan bekalan makanan asas diperlukan.
Sementara itu, Mohamad Sahabudin berkata, dia terpanggil untuk membantu demi kemanusiaan walaupun mereka warga asing.
Katanya, warga asing itu juga manusia yang perlu perlindungan dan makanan ketika PKP.
“Sebagai manusia kita juga ada sifat kemanusiaan apabila saudara kita di dalam kesusahan kita wajib membantu,” katanya. (Ahad, 12 April 2020)
No comments:
Post a Comment