Thursday, April 02, 2020

Artis, Jom Jenguk, Golongn Miskin Bandar, KL.

Senarai Apartment Murah di Kuala Lumpur Yang Cukup Selesa
HALAMAN HIBURAN
Wahai artis, jemput jenguk flat di Kuala Lumpur

COVID-19 telah menghambat setiap pelusuk dunia. Di sini, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak ini telah memasuki fasa kedua.

Fasa pertama berjaya diharungi namun demi kemaslahatan bersama maka telah disambung selama 14 hari lagi. 

Tidak dapat dinafikan bahawa ujian daripada Tuhan ini telah memberi kesan baik dari segi material, kewangan, ekonomi, gaya hidup, kesihatan mental, spiritual dan lain-lain. 

Si anak kehilangan ayahanda tersayang kerana jangkitan wabak ini. Pegawai kesihatan ada yang terpisah dengan keluarga dan tidak pulang ke rumah kerana bertugas untuk orang awam.

Si ibu dengan perasaan yang berat hiba hanya mampu melihat anak beliau daripada luar bilik kuarantin yang entah bila-bila masa sahaja boleh dijemput Ilahi.  

Golongan miskin bandar mengikat perut anak beranak kerana si ayah tidak lagi boleh berniaga goreng pisang di pasar malam. Mahasiswa di kampus runsing memikirkan keadaan keluarga di kampung halaman.

Hakikat dan bahasa mudahnya, kita semua berada dalam situasi susah, ketakutan, kelaparan, kekurangan dan krisis. Semua orang berada dalam keadaan genting. 

Namun ada beberapa golongan yang mementingkan diri dan memperlekeh orang-orang miskin dan susah ini. Akhir-akhir ini tersebar berita mengenai beberapa golongan artis Malaysia yang berkata hidup mereka susah dan mahukan bantuan khusus daripada pihak kerajaan.

Malah ada sesetengah itu tanpa segan silu dan kemanusiaan telah menghina orang miskin (golongan B40). Penulis yakin bahawa artis ini hidup dalam ‘elite bubble’ (lingkaran elit) mereka sendiri.

Mereka tidak pernah ambil tahu dan sedar betapa di Kuala Lumpur ini terlalu banyak golongan miskin bandar dan B40.  Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) pada tahun 2017 menunjukkan bahawa purata pendapatan bulanan di Kuala Lumpur adalah sebanyak RM 1,994.40 dan lebih teruk hanya 65.8% ketua isi rumah di Flat PPR seluruh negara berpendapatan bawah RM 2,000. 

Dalam 3 hari lepas penulis sendiri telah melihat slot Bersamamu di TV3 yang mengisahkan mengenai sebuah keluarga di Flat PPR Desa Rejang, Setapak. Seorang ibu yang menderita kanser usus telah menjadi ketua keluarga setelah ayah anak-anak ini tiada. 

Ibu yang cekal ini menjaga kesemua anaknya 9 orang itu dengan yang paling kecil berumur 5 tahun. Lebih menyedihkan ada dalam kalangan anak ini yang tidak bersekolah kerana tiada wang mahu dihantar ke sekolah. 

Bolehkah artis-artis Malaysia bayangkan hidup di rumah flat kecil yang ada hanya 2 atau 3 bilik sahaja seramai sepuluh orang isi rumah?  Kisah ini ada kisah nyata yang masih berlangsung sehingga ke hari ini. Keluarga susah sebegini masih wujud ketika artis-artis Malaysia bising kononnya merekalah yang paling susah kini.

Tidak jauh dari rumah penulis di Flat Sri Penara, Cheras ada keluarga yang menderita kesusahan. Si ayah perlu menjalani dialisis kerana mengalami masalah buah pinggang. Si ibu tidak bekerja kerana mengurusi hal rumahtangga.

Anak yang sulung terbaring kerana kemalangan dan mengalami kecederaan di kepala dan masih ada anak-anak kecil yang lain perlu mereka tanggung. Penulis pasti keluarga miskin bandar dan golongan B40 seperti mereka ini tidak pernah menaiki gondola di pesisir sungai Milan atau Venice seperti artis-artis Malaysia.

Apalagi menikmati makan malam di hotel lima bintang atau memakai beg jenama Channel, Gucci dan lain-lain seperti artis-artis Malaysia.  Keluarga ini jika punya motor sudah bersyukur sangat jika nak dibandingkan dengan tayangan kereta Ferrari, BMW, Mercedes di Instagram artis ini.

Penulis berharap agar ketika waktu-waktu susah sebegini kita menginsafi dan muhasabah kembali segala perbuatan kita. Banyak membantu mereka yang memerlukan dan bukannya memperlekeh orang-orang miskin ini. 

Banyakkan bertaubat, mengingati Tuhan, belajar hidup sederhana seadanya, merendah diri, berdoa pada Tuhan dan bersabar dengan ujian wabak ini.  Allah SWT berfirman dalam al-Quran: 

Dan sesungguhnya akan Kami memberi ujian kepadamu dengan sedikit rasa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan hasil tanaman. Dan berikanlah berita gembira buat mereka yang bersabar”. (Al-Baqarah, ayat 155).

Memperlekeh orang miskin pada waktu kesusahan ini bukanlah tindakan yang bijak. Menikmati kehidupan mewah ketika orang ramai melarat kesusahan adalah kezaliman. Kata Ali Syariati: “Jika kau derita maka kau hidup. Jika kau merasai penderitaan orang lain maka kau manusia.” – 1 April, 2020.

* Hilal Azman, penyelidik sosial di Kuala Lumpur, pembaca The Malaysian Insight * Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Kisah Uji Rashid dapat rumah

Isnin, 19 March 2018 | 6:23pm

UJI dan cucunya, Rindu Norfitrah bergambar di hadapan pangsapuri PPR di Subang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
UJI dan cucunya, Rindu Norfitrah bergambar di hadapan pangsapuri PPR di Subang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

PETALING JAYA: Selepas dibebani masalah kewangan hingga hampir diusir dari rumah sewa, bintang veteran, Uji Rashid lega apabila menerima kunci pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Subang, di sini, sebentar tadi.
Kesempitan hidup pelakon dan penyanyi era 1970-an itu yang viral selepas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkongsi status di Facebook (FB) mengenai pertemuan mereka, akhirnya mendapat perhatian apabila Uji dibenarkan menghuni pangsapuri terbabit pada kadar sewa RM255.
Mahu menghentikan 'cakap-cakap' orang mengenai kesukaran hidup dan status dikongsi Noh kononnya dia dihalau dari rumah sewa, Uji menjelaskan, apa yang diceritakan adalah realiti yang dihadapinya.
"Saya terdesak, jadi saya bertemu Noh meminta bantuan. Kenyataan saya dihalau dari rumah itu dimuat naik dalam laman FB Noh, tetapi ia ditulis oleh kakitangan beliau.
"Noh secara peribadi memohon maaf kepada saya. Bagi saya, itu bukan kesilapan Noh... Beliau tidak sepatutnya memohon maaf.
"Siapa tidak malu besar apabila dikatakan dihalau dari rumah sewa. Tetapi saya terima, itu takdir hidup saya yang memang dalam
kesusahan... Saya luahkan kepada Noh," katanya ketika ditemui selepas menerima kunci pangsapuri daripada Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, N Jayaselan yang mewakili Noh, di sini.
Sejak minggu lalu, kisah Uji yang dikatakan diarah mengosongkan rumah di Taman Dagang, Ampang, selepas gagal membayar sewa, tular.
Isu itu menjadi topik hangat netizen apabila Noh berkongsi status di FB mengenai pertemuannya dengan Uji yang ditemani anaknya, Cico Harahap dan cucunya, Rindu Norfitrah, bagi meminta bantuan rumah PPR.
Uji mengaku tidak suka mendengar dakwaan netizen kononnya Noh tidak bercakap benar mengenai keadaan menimpa dirinya.
"Saya bukannya orang politik, jadi saya tidak selesa apabila penderitaan hidup saya dipolitikkan.
"Saya berterima kasih pada Noh dan pegawai kementerian yang membantu saya mendapatkan kediaman selesa tiga bilik ini," katanya.
Uji berkata, dia akan menghuni rumah PPR itu pada kadar sewa RM255 dengan bayaran penyelenggaraan RM50 setiap bulan.
"Saya harus menjelaskan bayaran sewa bulan pertama, cagaran sewa bagi tempoh dua bulan, bekalan air dan elektrik serta dokumen perjanjian sebanyak RM650. Setakat ini, saya belum bayar lagi.
"Insya-Allah, saya akan segera berpindah. Ini kerana tidak mahu dibebankan lagi dengan sewa rumah lama sebanyak RM1,500," katanya.

Mula aktif sejak era 1970-an, Uji dikenali sebagai artis versatil dengan bakat lakonan dan suara merdu. Uji banyak merakamkan lagu duet bersama Hail Amir dan Datuk DJ Dave. Filem lakonannya seperti Permintaan Terakhir, Menanti Hari Esok, Langit Tidak Selalu Cerah dan Yassin masih dikenang sebagai antara karya terbaik Uji. (BH)
Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails