Tuesday, April 07, 2020

COVID-19 Dan Masalah Yang Diizinkan Syarak -Presiden PAS

Maqasid Syariah dalam menangani wabak COVID-19

      ISLAM yang ditakrifkan daripada perkataan al-Din yang merupakan bahasa al-Quran, adalah petunjuk Allah S.W.T yang menyeluruh kesempurnaannya.

      Ajaran Islam membawa rahmat dan kebajikan kepada seluruh manusia bermasyarakat majmuk, walaupun pelbagai agama, bangsa dan taraf hidup di seluruh alam.

      Meskipun aqidah Islam tegas, tetapi tetap melaksanakan hak kemanusiaan yang berkeluarga besar berkonsepkan sejagat. Hikmah pelaksanaan ini untuk membuktikan bahawa ajaran Islam berwawasan luas dan tiada sempadan, jauhnya daripada dunia sehingga akhirat, terutama apabila merealisasikan rukun kehidupan manusia mengikut tertib Maqasid Syariah (tujuan atau hikmah).
      Firman Allah S.W.T:
      ﴿أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ ١١٥﴾
      (المؤمنون: 115)
      “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?.”
      (Surah al-Mu’minun: 115)
      Ayat di atas menegaskan bahawa penciptaan manusia itu mempunyai hikmah dan tujuannya sehingga tidak sia-sia sedikit pun dan berwawasan akhirat.

      Firman Allah S.W.T:
      ﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٞ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٖۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ١٨﴾
      (الحشر: 18)
      “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”
      (Surah al-Hasyr: 18)
      Maqasid Syariah ditetapkan mengikut rukun-rukun kehidupan manusia (ضروريات) yang wajib dijaga ialah agama, nyawa, akal, keturunan (maruah) dan harta.

      Maqasid Syariah itu adalah menegakkan maslahah bagi semua rukun kehidupan tersebut, laksana mata rantai yang bersambung setiap satunya dengan yang lain. Namun ditetapkan sempadan pelaksanaannya, agar menepati keperluan fitrah (naluri) kejadian manusia yang mempunyai jasad, nyawa, akal, kepentingan diri, berkeluarga dan bermasyarakat. Termasuk juga menggunakan harta keperluan daripada sumber alam ciptaan Allah, dengan istiqamah (konsisten) dan berwasatiyyah (bersederhana), tanpa cuai dan tidak melampau, berpandukan petunjuk agama yang menjadi rukun pertama.

      Rukun-rukun itu perlu dipelihara supaya mencapai tujuan yang ditetapkan agama serta mendapat kebaikan di dunia sehingga kebahagiaan di akhirat.

      Maqasid Syariah berkonsepkan maslahah yang diizinkan oleh syarak, sama ada mendatangkan manfaat atau mengambil faedah, dan menolak mudarat atau kemusnahan kepada rukun-rukun tersebut. Semuanya ditetapkan sempadan mengikut ketetapan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, yang menetapkan hukum halal dan haram.

      Pada masa yang sama, diletakkan ketetapan menunaikan kewajipan atau memilih yang terbaik dan meninggalkan larangan atau memilih yang kurang mudaratnya, apabila terpaksa membuat pilihan.

      Dalam agama Islam ada yang berpandukan nas, ada juga perkara yang dibiarkan dan bebas tanpa apa-apa hukum yang dinaskan, namun berpandukan nas yang sedia ada dan sama dari sudut sebab dan tujuannya. Bahkan, ada juga terpulang kepada kebijaksanaan kemampuan akal mengikut kajian dan pengalaman.

      Justeru itu, pelaksanaan Islam memerlukan usaha ber tafaqquh (kefahaman) mengikut feqah (fahaman yang betul) yang disenaraikan iaitu Feqah Aulawiyyat (keutamaan), Feqah Muwazanat (pertimbangaan), Feqah Waqi’e (realiti) dan lain-lain, berpandukan konsep Siasah Syar’iyyah (polisi pelaksanaan syariat dan mengurusnya) dengan  melaksanakan nas al-Quran dan Hadis dengan betul bagi mencapai tujuannya yang bijak dan adil. Termasuk juga perkara yang  tiada nas, maka diberi kuasa kepada pihak yang berkenaan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Khalifah Uthman bin Affan R.A:
      إنَّ اللهَ يَزِعُ بِالسُّلْطَانِ مَا لَا يَزِعُ بِالْقُرْآنِ
      “Allah memberi hak bertindak (bijaksana) kepada pihak yang berkuasa dalam perkara yang tidak disebut oleh al-Quran.”
      Menjaga agama adalah kedudukan pertama dalam tertib rukun kehidupan manusia, kerana agama menjadi petunjuk dalam semua perkara lain, apabila menghadapi segala cabaran kehidupan duniawi, yang menjadi pengkalan bekalan wawasan akhirat yang kekal abadi. Kemudian diikuti senarai keutamaan seterusnya mengikut tertib.

      Apabila keadaan memerlukan manusia untuk membuat pilihan selepas menjaga agama, maka diikuti dengan menjaga keselamatan nyawa supaya jasad yang berakal dan berilmu dapat menjalankan peranan sebagai hamba Allah S.W.T yang terus menjaga agama dengan beribadat (memperhambakan diri kepada Allah) dan berkhilafah memakmurkan bumi-Nya untuk dirinya sendiri bersama keluarga dan masyarakat yang bermaruah dengan menggunakan akal dan berbekalkan harta yang juga menjadi rukun kehidupan.
      Apabila seseorang dikurniakan umur panjang dengan nyawa dipelihara dan kesihatan baik, maka hayat hidup yang panjang dan amalan yang banyak untuk diri, keluarga dan harta itu adalah suatu perkara yang terbaik, kerana sabda Rasulullah S.A.W:
      خَيْرُ النَّاسِ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ.
      (رواه الترمذي وقال: حديث حسن وصححه الشيخ الألباني-رحمه الله)
      “Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umurnya dan banyak amalannya.”
      Selain rukun menjaga agama yang mesti diteruskan dalam semua keadaan, rukun-rukun lain juga hendaklah dijaga supaya dapat terus dilangsungkan amalan yang berterusan dengan istiqamah.

      Maka Allah S.W.T menetapkan semua perintah-Nya mengikut kemampuan diri manusia dan tidak membebankan melebihi daripada kadar kemampuannya supaya manusia dapat menunaikan amalan wajib, sunat dan harus yang tidak sia-sia, dan meninggalkan yang haram dan makruh (kurang baik walaupun tidak haram). Semua itu mengikut kadar kemampuan diri manusia.

      Firman Allah S.W.T:
      ﴿لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡهَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ…َ ٢٨٦﴾
      (البقرة: 286)
      “Allah tidak memberati tugas seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya…”
      (Surah al-Baqarah: 286)
      Firman Allah S.W.T:
      ﴿…هُوَ ٱجۡتَبَىٰكُمۡ وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ… ٧٨﴾
      (الحج: 78)
      “…Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…”
      (Surah al-Hajj: 78)
      Apabila berada dalam keadaan darurat (terdesak) yang tidak mampu melaksanakan sesuatu perkara dalam rukun hidup tersebut, maka Allah memberi petunjuk yang bersifat agama dalam menjaga rukun lain seperti menjaga nyawa berpandukan petunjuk agama. Natijahnya agama dan nyawa dapat diselamatkan.

      Firman Allah:
      ﴿إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَيۡتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحۡمَ ٱلۡخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيۡرِ ٱللَّهِۖ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ غَيۡرَ بَاغٖ وَلَا عَادٖ فَلَآ إِثۡمَ عَلَيۡهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٌ ١٧٣﴾
      (البقرة: 173)
      “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih bukan kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
      (Surah al-Baqarah: 173)
      Maka makanan haram diizinkan untuk dimakan bagi menjaga nyawa dan menyambung kehidupan dengan berpandukan perintah agama. Bahkan benda haram diizinkan untuk digunakan untuk tujuan perubatan bagi menyelamatkan nyawa apabila tiada benda yang halal.

      Ayat tersebut diulang beberapa kali di dalam al-Quran dan dihuraikan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis yang banyak melalui beberapa peristiwa, situasi dan sebab yang menjadi petunjuk.

      Di antaranya, dikisahkan peristiwa rombongan para sahabat yang bermusafir, tiba-tiba salah seorang daripadanya mendapat luka yang tidak boleh terkena air, maka hukum agama diizinkan bertayammum (menggunakan tanah) menggantikan wudhu’ dengan air, termasuk juga hukum mandi wajib apabila tidak boleh menggunakan air.

      Tiba-tiba rakan-rakannya memaksa menggunakan air untuk mandi dan berwudhu’ tanpa beramal dengan kemudahan bertayammum dengan menggunakan tanah yang diberikan kelonggaran oleh Allah S.W.T. Akhirnya sahabat yang cedera itu mati meninggal dunia.

      Apabila dilaporkan kepada Rasulullah S.A.W, lalu Baginda S.A.W bersabda:
      قَتَلُوْهُ، قتَلَهُمُ اللهُ، أَلَا سَأَلُوْا إِذْ لَمْ يَعْلَمُوْا؛ فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
      (رواه أبو داود)
      “Mereka telah membunuhnya. Mengapa tidak bertanya orang yang tahu kalau jahil?  Ubatnya ialah bertanya orang yang tahu!.”
      (Riwayat Abu Dawud)
      Hadis ini menunjukkan menjadi kesalahan kerana tidak beramal dengan keizinan yang diberikan oleh Allah S.W.T supaya bertayamum menggunakan tanah tanpa menggunakan air, dan dianggap seperti membunuh sahabat tersebut.

      Walaupun mereka yang jahil merasakan kononnya sangat kuat berpegang dengan agama kerana berwudhu’ sehingga menyebabkan kematian. Namun, kesalahan yang berlaku disebabkan tidak bertafaqquh dalam amalan agama.

      Maka berdasarkan hujah al-Quran dan Hadis tersebut, kita akan dapat memahami cara menghayati Maqasid al-Syariah mengikut hukum feqah (faham melaksanakan hukum) yang tepat dan istiqamah.

      Sepatutnya dapat dilaksanakan ajaran agama mengikut Feqah Aulawiyat (Feqah Keutamaan) bagi memelihara nyawa dan bertayammum tidak menggunakan air, Feqah Muwazanat (Feqah Pertimbangan) bagi memilih ber tayammum kerana tidak mampu menggunakan air dan Feqah Waqi’e (Feqah Realiti) dalam keadaan darurat yang membolehkan mengambil rukhsah (kemudahan atau kelonggaran), bukanlah bermakna meninggalkan perintah agama dengan bertayammum bagi menggantikan wudhu’.

      Bahkan ayat al-Quran menegaskan sehingga dibolehkan makan dan berubat dengan bahan yang haram kerana menjaga nyawa dengan perintah agama dalam keadaan darurat (Feqah Waqi’e).

      Darurat Wabak COVID-19

      Bahaya wabak COVID-19 telah disahkan oleh pakar secara mutawatir (pengakuan oleh ramai pakar sehingga  tidak boleh dinafikan kebenarannya). Maka hendaklah dibuktikan bahawa pelaksanaan Islam adalah petunjuk sepanjang zaman, berprinsipkan aqidah beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah S.A.W dengan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah secara bertafaqquh berkonsepkan Maqasid Syariah dan Siyasah Syar’iyyah. Ini membuktikan agama Islam adalah petunjuk sepanjang zaman.

      Dalam menghadapi isu COVID-19 hari ini, arahan tidak berkumpul secara ramai sehingga dibolehkan untuk meninggalkan pelaksanaan solat Jumaat yang wajib dan solat berjemaah, adalah bukti melaksanakan ajaran Islam dengan rukhsah tanpa meninggalkan solat di rumah serta berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar tanpa melampau. Ia juga sebagai tanda kewajipan menjaga nyawa, diri dan keluarga masing-masing serta seluruh anggota masyarakat berpandukan al-Quran yang haram membinasakan diri sendiri dan orang lain.

      Sebenarnya mereka yang tidak mengikut arahan itu adalah tidak mengikut perintah agama, walaupun dia bersembahyang Jumaat dan berjemaah, kerana kedegilannya tanpa mempedulikan firman Allah S.W.T:
      ﴿…وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ١٩٥﴾
      (البقرة: 195)
      “…Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan mengerjakan amal yang baik dengan segala usaha); kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
      (Surah al-Baqarah: 175)
      Walaupun sebab nuzul ayat ini kerana meninggalkan kewajipan menyumbang harta bagi menegakkan agama, tetapi menjadi iktibar dalam semua perkara apabila petunjuk agama ditinggalkan bermakna membinasakan agama, nyawa, keluarga, maruah dan harta.

      Para ulamak memerintahkan supaya meninggalkan solat Jumaat sekiranya diri, keluarga dan harta dalam keadaan bahaya, bukan sahaja perompak dan binatang buas, bahkan wabak yang merebak laksana api marak yang membakar seluruh dunia. Maka diwajibkan menjaga diri sendiri dan jangan dibiarkan berjangkit dengan orang lain.

      Pesanan Rasulullah S.A.W:
      لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
      (حديث حسن رواه ابن ماجه والدارقطني  ومالك وغيرهم)
      “Jangan memudaratkan diri sendiri dan jangan memudaratkan orang lain.”
      (Hadis Hasan riwayat Ibn Majah, al-Daraquthni, Malik dan lain-lain)
      Hadis ini menunjukkan wajib menjaga nyawa, keselamatan diri dan masyarakat. Maka haram membunuh diri dan menyakitkan orang lain atau menyebabkan kemudaratan kepada diri dan orang lain. Ia suatu perintah agama mengikut al-Quran, Hadis dan akal yang diberikan oleh Allah S.W.T.

      Khalifah Umar Al-Khattab R.A bertindak membatalkan lawatan ke Negeri Syam kerana wabak taun, walaupun lawatan itu bagi meraikan kemenangan Islam dan kemerdekaan umat di sana daripada penjajahan Rom Byzantin (Timur) yang bersejarah, namun wajib berpandukan sabda Rasulullah S.A.W:
      إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُوْنِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوْهَا، وَإِذَا وَقَعَ بأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوْا مِنْهَا
      “Apabila kamu mendengar berlakunya wabak taun di suatu negeri maka janganlah kamu memasukinya, dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya maka jangan kamu keluar.”
      (Muttafaqun ‘Alaih)
      Maksudnya ialah selamatkan diri kamu daripada penyakit. Sekiranya kamu ditimpa penyakit, maka janganlah membawanya menjangkiti orang lain.

      Tragedi wabak taun itu mewafatkan sebahagian besar para sahabat ulung yang terbilang. Namun selepas itu dapat di atasi dengan arahan kuarantin oleh ‘Amru bin al-‘Aas R.A yang menggantikan Abu Ubaidah R.A yang meninggal dunia disebabkan wabak tersebut.

      ‘Amru bin al-‘Aas R.A mengarahkan pemindahan sebahagian besar penduduk dengan dikeluarkan mereka dari kawasan wabak, sehingga sebahagiannya diarahkan berpindah dari bandar dan kampung supaya pergi ke bukit bukau dan lembah yang tiada penduduk. Tindakan beliau melaksanakan penempatan kuarantin dengan menggunakan kuasa pemerintah atas dasar maslahah umum, walaupun tiada nas secara khusus daripada al-Quran dan Hadis, tetapi tindakan itu mencapai Maqasid Syariah yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat.

      Perlu difahami juga berdasarkan Feqah Aulawiyyat, bahawa harta yang bersifat perbelanjaan yang besar demi menyelamatkan nyawa rakyat seperti peruntukan perubatan, makanan dan sebagainya adalah lebih penting daripada peruntukan lain walaupun ia menjejaskan ekonomi negara untuk sementara waktu.

      Nyawa rakyat yang diselamatkan adalah sumber diri manusia yang lebih didahulukan daripada sumber harta itu sendiri, kerana manusia yang diselamatkan dapat menjana harta selepas itu, dan harta pula tidak bermakna lagi tanpa manusia yang memakmurkannya.

      Allah S.W.T juga memberikan kelebihan akhirat kepada semua pihak yang berada dalam suasana menghadapi wabak dan bencana seperti ini. Mereka mendapat kelebihan bersabar menghadapi ujian kerana bertugas. Mereka yang sakit pula mendapat pahala bersabar dengan kesakitannya. Begitu juga fadilat ber tawakkal kepada Allah S.W.T setelah berusaha dan berikhtiar serta fadhilat bersyukur sekiranya berjaya mengharungi ujian yang dihadapi.

      Pada masa yang sama, mereka juga mendapat kelebihan jihad mengorbankan harta, diri dan segala tenaga, dan mendapat kelebihan syahid bagi mangsa yang meninggal dunia kerana bertugas atau menjadi mangsa wabak dan bencana. Semua kelebihan tersebut dikurniakan kepada orang yang beriman dan beramal dengan ikhlas.
      فعن عائشة رضي الله تعالى عنها، قالت: سَأَلْتُ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ عَنِ الطَّاعُونِ، فأخْبَرَنِي أنَّه عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ علَى مَن يَشَاءُ، وأنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، ليسَ مِن أحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ في بَلَدِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا، يَعْلَمُ أنَّه لا يُصِيبُهُ إلَّا ما كَتَبَ اللَّهُ له، إلَّا كانَ له مِثْلُ أجْرِ شَهِيدٍ.
      (رواه البخاري)
      “Daripada ‘Aisyah R.A berkata: “Aku bertanyakan Rasulullah S.A.W berkenaan wabak taun, lalu Baginda memberitahu kepadaku bahawa itu adalah azab Allah yang diutuskan kepada sesiapa yang dikehendaki dan Allah menjadikannya rahmat kepada orang-orang yang beriman. Tiadalah seseorang yang ditimpa bencana wabak ini, lalu dia tinggal dalam negerinya dengan sabar dan percaya kepada takdir Allah, tidaklah mengenainya melainkan mengikut ketentuan yang ditetapkan oleh Allah nescaya dia mendapat kelebihan syahid.”
      (Riwayat Al-Bukhari)
      ABDUL HADI AWANG
      Presiden PAS
      Bertarikh: 12 Sya’ban 1441 / 6 April 2020 –HARAKAHDAILY 6/4/2020

3 comments:

Anonymous said...

PH mati hidup balik tak sokong ruu355. Ada kuasa dulu pun asyik kena sekeh dengan dap. Dah tak berkuasa meghoyan tak tentu hujung pangkal. Melalak sana sini.

Anonymous said...

Tahniah. Selamat menjalankan tugas. Jangan dilayan sangat puak ph ni. Nanti tak kerja pulak melayan oghang meghoyan. Biarkan mereka meghoyan. Dah jadi darah daging mereka.

Anonymous said...

KENYATAAN MEDIA MAJLIS SETIAUSAHA PAKATAN HARAPAN

7 April 2020

KERAJAAN PERLU BERHENTI MENYALAHKAN PENJAWAT AWAM

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan melahirkan rasa kesal terhadap perkembangan mutakhir ini berkaitan pemecatan beberapa jawatan dalam agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Tindakan Kerajaan memecat jawatan-jawatan lantikan Kerajaan sebelum ini daripada golongan professional pada masa ini adalah tidak wajar dan bukan keutamaan.

. bla.. bla... blahhh..bole blahh..bla...

blaa..blahhh..bole blahhh...

YB DS Shamsul Iskandar Mohd Akin
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Liew Chin Tong
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Persoalan

Sejak bila DAP jadi champion dalam membela penjawat awam nih...!? mana pergi pakar formula@strategi DAP iaitu Tony Phua..!?

Bukan sewaktu awal-awal PH memerintah mereka lah yang nak beriya-iya nak buang penjawat awam ..LUPA DAH KEEEE? sekarang nak jadi JUARA pulak..ke masa buang penjawat awam dulu kena sakit HILANG INGATAN..sekarang dah SEMBUH terus MEROYAN tak tentu HALA ke? kalau lupa semak je kat GOOGLE kisah-kisah PH tamatkan jawatan Penjawat Awam kat situ kalau betul MP-MP PH dah kena sindrom penyakit PELUPA.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails