Saturday, April 04, 2020

Gelandangan Di KL Ditempatkan Di Sini..

Dewan Serbaguna di Sentul Perdana menyaksikan barisan tilam tersusun dengan jarak satu meter. — Foto oleh Yusof Mat Isa
Dewan Serbaguna di Sentul Perdana menyaksikan barisan tilam tersusun dengan jarak satu meter. — Foto oleh Yusof Mat Isa
Gelandangan KL lebih selesa, diberi tilam, jarak sosial satu meter


KUALA LUMPUR, 4 April — Dewan Serbaguna di Sentul Perdana, di sini menyaksikan barisan tilam tersusun jarak satu meter yang kebiasaan dikhususkan untuk permainan atau majlis perkahwinan,
Pada setiap tilam, golongan lelaki dilihat bersantai di sekitar, kebanyakan memerhati sekeliling atau hanya berbual dengan jiran di tilam sebelah mereka.
Kesemua mereka memakai penutup hidung dan mulut, tetapi ada yang tidak memakai baju kerana kepanasan sepanjang hari itu.
Jarak satu meter adalah langkah penjarakan sosial yang ditetapkan untuk memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19 tetapi sesetengah mereka duduk di pinggir laluan antara satu sama lain kerana mereka ingin keselesaan untuk berbual.
Terdapat juga wanita diletakkan dalam keadaan sama di lantai tingkat atas namun bilangan mereka sedikit.
Mereka merupakan golongan tiada tempat tinggal seramai lebih 500 orang yang dibawa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan diberi penginapan selama dua minggu di empat tempat perlindungan sekitar ibu negara memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April.
Amran Abdullah, salah seorang lelaki yang dilantik sebagai 'penghulu' atau ketua kumpulan ini berkata mereka datang dari banyak tempat - dari Pasar Seni dan Bukit Bintang ke Chow Kit dan Brickfields sejak Isnin sebelum dipisahkan mengikut tahap kesihatan dan warganegara.
Menurutnya, ini ialah satu langkah yang baik.
“Ia lebih baik daripada tidur di jalanan. Apa lagi yang boleh mereka minta? Kami mendapat makanan, tempat tinggal dan masih boleh berbual dengan rakan-rakan di sini,” katanya kepada Malay Mail ketika ditemui di pusat tersebut.
Amran mengaku bahawa jika ada sesuatu yang mereka ingin minta maka ia pastinya pakaian. Kebanyakan mereka hanya mempunyai satu pakaian sahaja.
“Jika sesiapa boleh mendapatkan lebih seluar dan baju, itu lebih baik. Kami boleh memakai sesuatu sambil membasuh pakaian yang kita ada,” katanya.
Selain Pusat Komuniti Sentul Perdana, tiga lagi pusat ialah Dewan Serbaguna Ampang Hilir, Pusat Komuniti Setiawangsa dan Dewan Serbaguna Alam Damai yang kesemuanya milik DBKL dan dibantu pegawai serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Penyelia Pusat Komuniti Sentul Perdana, Nur Hafizah memberitahu Malay Mail jumlah pada masa ini 167 orang termasuk 16 wanita ditempatkan di situ.
“Kami menyediakan mereka dengan tilam, bantal dan makanan sekurang-kurangnya empat kali sehari.
“NGO (badan bukan kerajaan) juga membantu menyediakan makanan dan keperluan lain,” kata Hafizah.
Media tidak dibenarkan memasuki pusat di Setiawangsa dan Alam Damai tetapi seorang pegawai kesihatan memberitahu Malay Mail kira-kira 100 orang kehilangan tempat tinggal dibawa ke Setiawangsa dan sedang dipantau oleh kakitangan Hospital dan Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur.
“Kebanyakan orang di sini adalah orang tua dan yang sakit. Ada di antaranya mempunyai hipertensi, diabetes dan lain-lain kecederaan dan masalah kesihatan.
“Bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik atau simptom Covid-19, mereka akan dibawa terus ke Hospital Kuala Lumpur,” kata pegawai itu yang enggan dinamakan.
Sementara itu di Ampang Hilir, sejumlah 78 orang terdiri daripada 69 lelaki dan 10 wanita ditempatkan di sana.
Seorang pegawai DBKL memberitahu Malay Mail, pihak mereka menyediakan kemudahan sabun dan detergen untuk membersihkan diri dan mencuci pakaian.
“Jika mana-mana daripada mereka melaporkan keresahan, kami akan menghubungi Hospital Kuala Lumpur dengan segera untuk mendapatkan bantuan perubatan,” kata pegawai DBKL itu.
Semasa lawatan Malay Mail, organisasi Da'i Kuala Lumpur dilihat mengagih pakaian yang disumbangkan orang ramai untuk diedarkan kepada mereka yang tiada tempat tinggal.
Pihak itu juga berkata mereka merancang untuk menjemput organisasi yang berorientasikan agama untuk memberikan bimbingan rohani kepada mereka yang ditempatkan di dewan komuniti dan juga memberi perkhidmatan yang baik untuk mereka yang terpinggir.
Pada Khamis, DBKL menyatakan kira-kira 510 orang kehilangan tempat tinggal ditempatkan di dua transit dan empat pusat komuniti di sekitar ibu kota di bawah misi DBKL untuk menjejaki mereka. Setakat semalam, jumlah itu seramai 541 orang.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata mereka telah menjalani ujian Covid-19 dan setakat ini tiada yang didapati positif, sebelum diletakkan berdasarkan tiga kategori: sihat, mereka yang mempunyai penyakit berjangkit, penyakit mental dan isu penyalahgunaan dadah, termasuk bukan warganegara.

3 comments:

Anonymous said...

Aku harap bila pas dah ada kussa tiada lagi gelandangan..

Anonymous said...

Sejak 22bulan yg lalu byk wargakota menjadi gelandangan...
Harap moyiddin perbaiki keadaan ini.

Anonymous said...

Gelandangan ni yg datang dari luar kl...bukan warga kota asal...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails