'Duit saku RM100 tinggal sedikit'
EMPAT pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dari Sarawak terkandas di Kelantan, sejak sebulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kesemua mereka seorang pelajar lelaki dan tiga pelajar wanita adalah penuntut IKTBN Alor Gajah, Melaka datang ke Kelantan untuk bercuti mengikut seorang lagi rakan yang tinggal di Kampung Bator, Jelawat, di Bachok, 19 Mac lalu.
Pelajar, Siti Noraziera Ramlee berkata, dia dan rakan, Betty Bulan Amrose, Lika Doris Guang masing-masing 23 tahun dan Dally Angkang Joseph, 25 ke rumah seorang lagi rakan sekelas mereka, Siti Afifah Aina, 23, di Bachok, selepas kolej mereka ditutup kerana PKP.
Katanya, mereka tidak mampu membeli tiket balik ke kampung masing-masing di Sarawak kerana tidak cukup wang menyebabkan mereka mengambil keputusan menumpang di rumah rakan di Kelantan.
“Bagaimanapun, kami tak sangka PKP akan berlanjutan sehingga fasa ketiga dan segan apabila ibu rakan terpaksa menanggung makan minum kami selama empat minggu sedangkan dia juga mempunyai anak yang lain.
“Bagaimanapun, hasil usaha pihak IKTBN dan Alumni Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS), kami ditempatkan di rumah tamu IKTB Bachok, 11 pagi hari ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Noraziera berkata, mereka bagaimanapun turut berdepan kekangan kewangan dan keperluan makan minum apabila duit saku semakin berkurangan.
Betty Bulan berkata, duit saku RM100 yang dibawa hanya tinggal sedikit kerana dikeluarkan untuk belanja harian dan kos tambah nilai telefon bimbit bagi berhubung dengan ahli keluarga di Sarawak.
Katanya, kesemua mereka bukan datang dari keluarga yang senang dan tinggal di pedalaman.
“Keluarga kami sukar keluar rumah sejak PKP, macam keluarga saya sendiri untuk keluar ke bandar Miri mengirim duit, ibu bapa kena naik perahu dan ambil masa tiga jam, tapi masalahnya mereka tak dapat keluar sebab PKP,” katanya yang berasal dari Long Teran Tinjar, Baram, Sarawak.
Sementara itu, Presiden ILKBS Malaysia, Samsudin Oli Mohamed berkata, pelajar berkenaan memaklumkan kejadian menimpa mereka dan mereka ditempatkan sementara di dua unit rumah tamu IKTBN terdekat iaitu IKTBN Bachok di Tangok.
Katanya, mereka turut disediakan kelengkapan memasak seperti dapur untuk kemudahan mereka termasuk persiapan menghadapi Ramadan minggu depan.
“Mereka terkandas kerana tidak dibenarkan balik ke Sarawak atau Melaka kerana PKP atas faktor keselamatan bagi mengelak Covid-19.
“Jadi solusi yang boleh kita ambil ialah tempatkan mereka di IKTB Bachok, cuma kita harapkan ada bantuan disalurkan terutamanya bekalan makanan dan kewangan untuk mereka bertahan sebab kita tak tahu selama mana tempoh PKP berlangsung,” katanya.
Bagi yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi
Presiden Alumni ILKBS Malaysia Samsudin Oli Mohamed di talian 017-4729890.
Weblog ibnu Hasyim: Hanya perpanjangkan..
No comments:
Post a Comment