Monday, April 20, 2020
Rakyat AS Demontrasi Protes Perintah Kuarantin Di Rumah..
PENDUDUK di beberapa negeri Amerika Syarikat (AS) mengadakan tunjuk perasaan memprotes terhadap perintah kuarantin diri di rumah yang dikeluarkan oleh pemerintah bagi mengekan penularan pandemik COVID-19 di negara itu.
Antara negeri yang terlibat seperti Michigan, Ohio, Kentucky, Minnesota, North Carolina dan Utah (negeri yang diketuai oleh gabenor Republikan dan Demokratik) semuanya telah mengadakan tunjuk perasaan dalam beberapa hari belakangan ini kerana orang ramai semakin bimbang dengan kejatuhan ekonomi akibat wabak koronavirus.
“Beberapa daerah kecil di negeri ini memprotes dan itu hak mereka,” kata gabenor Michigan, Gretchen Whitmer kepada CNN.
Kata Whitmer, ramai penduduk menjadi ‘gila’ kuarantin di rumah kerana bimbang untuk membayar bil utiliti. Namun, jika semakin ramai keluar, besar kemungkinan mereka turut menyebarkan virus COVID-19 dan akan mengambil masa yang lebih lama untuk keadaan kembali pulih.
Rata-rata penunjuk perasaan ini adalah daripada golongan pekerja yang disekat untuk menjalankan perkhidmatan atas arahan pemerintah. Mereka beramai-ramai menyekat jalan raya dengan menuntut untuk membuka semula sekatan pergerakan di negeri itu.
“Saya sedar betapa pentingnya virus ini, tetapi sekarang banyak perkhidmatan ditutup,” kata penunjuk perasaan Tom Hughey, yang mengatakan dia mempunyai perniagaan kecil dan bekerja untuk Syarikat Ford Motor.
Whitmer telah menganjak lagi perintah kuarantin hingga 30 April. Ini termasuk sekatan seperti melarang orang ramai menziarahi orang lain kecuali mereka yang perlu menghantar anak ke pusat jagaan.
Terdapat 27,000 kes COVID-19 di Michigan yang mana lebih daripada 1,700 telah mati akibat virus tersebut.Manakala penunjuk perasaan di Kentucky melaungkan,
“Open Up Kentucky! You’re not a king, we won’t kiss your ring” di hadapan pejabat gabenor negeri itu.
“Saya tidak rasa udara segar di luar ini membahayakan sesiapa pun. Saya rasa gabenor yang membahayakan penduduk dengan tidak membiarkan kami keluar bekerja.”
Sejak kes positif COVID-19 meningkat di AS, kes pengangguran dicatatkan dengan 5.2 juta individu dilaporkan hilang pekerjaan dan tampil menuntut manfaat pengangguran minggu lalu.
COVID-19 menjadi penyebab utama pengangguran di setiap negeri dengan angka terbesar dicatatkan dari sektor perhotelan, perkhidmatan makanan, runcit, pembinaan dan perlombongan.
Sumber: CNN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment