Faridah Salleh tidak menyangka perniagaan keluarganya mendapat perhatian perdana menteri. -Foto Facebook
Terkejut nama Restoran Haji Salleh disebut PM - Pemilik
KUCHING: Apabila nama restoran ayahnya disebut Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, ia menjadi kejutan yang menggembirakan bagi Faridah Salleh, 46, yang tidak menyangka perniagaan keluarganya mendapat perhatian perdana menteri.
Faridah mengambil alih operasi Restoran Mi Kolok Haji Salleh di sini bersama-sama dua adiknya sejak ayah mereka, Salleh Reduan, 72, tidak lagi mampu mengendalikan perniagaan itu berikutan faktor umur.
"Saya memang terkejut sampai menggeletar tadi (selepas mendengar perniagaan kami menjadi salah satu contoh) yang disebut perdana menteri dalam perutusan khas petang ini," katanya semasa dihubungi Bernama.
Restoran Mi Kolok Haji Salleh menjadi contoh kedua yang diberikan oleh perdana menteri bagi menjelaskan inisiatif-inisiatif di bawah Langkah Tambahan Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkannya dalam perutusan itu.
Faridah tetap merendah diri biarpun Muhyiddin mengambil contoh restoran ayahnya dan menganggap ia sebagai pengiktirafan dan keprihatinan perdana menteri terhadap kegigihan semua usahawan di negeri ini.
Menceritakan pengalamannya sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas, Faridah berkata perniagaan mereka amat terjejas tapi mereka adik-beradik tetap gigih untuk meneruskannya dalam keadaan yang terbatas.
"Banyak kesannya (PKP kepada perniagaan) tetapi terpaksa bertahanlah. Untung tak adalah dan hasil jualan digunakan untuk membayar gaji pekerja, membayar sewa kedai dan bil elektrik. Ini yang penting," katanya.
Menurutnya hasil jualan juga digunakan untuk membayar pembekal bahan mentah mereka kerana ayahnya begitu tegas mengajar mereka agar tidak berhutang dengan pembekal dalam perniagaan mereka.
Selain menyatakan penghargaannya dengan inisiatif-inisiatif bantuan yang diumumkan Muhyiddin itu, beliau turut berharap satu hari kelak perdana menteri akan dapat bertandang ke restoran yang terkenal dengan Mi Kolok dan Mi Sapi ini.
"Satu lagi kejutan yang saya harapkan adalah sekiranya perdana menteri tiba-tiba datang menjamu selera di sini satu hari kelak," katanya
Faridah berkata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri sebelumnya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem merupakan antara pelanggan tetap Restoran Mi Kolok Haji Salleh.
-- BERNAMA
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Inilah PM mesra rakyat, bukan mesra kapitalis penindas rakyat..
PENUH] Perutusan Khas Pakej Prihatin PKS (Tambahan) oleh PM | 6 April 2020
PENUH] Perutusan Khas Pakej Prihatin PKS (Tambahan) oleh PM | 6 April 2020
No comments:
Post a Comment