Wednesday, April 15, 2020

Saranan supaya Kerajaan Teknokrat direalisasikan


DALAM memastikan kebajikan rakyat Malaysia terjamin selepas pasca Kerajaan Pakatan Harapan, selaku Kerajaan yang diberikan mandat serta harapan daripada rakyat, sewajarnya untuk merealisasikan idea pembentukan Kerajaan Teknokrat.

Ya, waktu ini percambahan idea daripada golongan yang berkemahiran, sama ada seorang jurutera, doktor, asatizah dan golongan yang lain perlu digembleng untuk memastikan kestabilan negara ke arah yang lebih baik. Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kelemahan Kerajaan yang lepas, terutamanya apabila jawatan penting diberikan kepada kalangan yang bukan daripada bidangnya

Pengajaran daripada sirah junjungan Nabi Muhammad S.A.W dalam kehidupan Baginda, bagaimana Nabi Muhammad sebagai ketua pemerintah memposisikan para Sahabat pada bidang yang sepatutnya agar kemahiran dan kebaikan dapat dirasai oleh seluruh umat Islam khususnya dan rakyat yang berlindung di bawah pemerintahan Islam amnya.

Dalam saat genting ini Rasulullah S.A.W mengajar pada kita untuk lebih bertanggungjawab, dalam erti kata lain, kalau rakyat merasa lapar dan susah, para pemimpin mesti merasa lebih lapar dan susah. Ini qudwah Rasulullah S.A.W, wajar dicontohi bahkan diterapkan dalam kehidupan para pimpinan.

Kena sentiasalah beringat, setiap apa yang kita lakukan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, walau sebesar zarah. Sebab itu, amanah ini bukan untuk kemasyhuran tetapi adalah atas dasar tanggungjawab serta fadhu kifayah dalam menegakkan agama Islam di negara tercinta.

Seharusnya dalam waktu ini juga, jawatan-jawatan penting Kerajaan diserahkan kepada mereka yang kompeten bahkan memberi manfaat kepada seluruh rakyat. Jauhkan sentimen yang boleh menyebabkan banyak hentaman, cemuhan dan sisi pandang negatif kepada kita. Buka ruang perbincangan, mudahkan jalan setiap cadangan agar kemajuan dan kejayaan yang diperolehi kelak lebih banyak serta berkesan.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang mengharapkan Kerajaan kini, terus efektif dan maju dalam memperjuangkan hak rakyat serta melestarikan gagasan Kerajaan ini dengan gabungan pelbagai latar belakang kemahiran.

Praktikkan kata-kata yang pernah diucapkan pada awal-awal pembentukan Kabinet yang baru (termasuk dalam pengurusan GLC), calon yang memimpin di dalam sektor Kerajaan mestilah bebas dari terpalit sebarang salah laku undang-undang.

SOLIHUDIN MOHAMAD JAHAR
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang – HARAKAHDAILY 14/4/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails