Friday, April 10, 2020

Semasa PKP: Farha Ajar Mengaji Quran Online Percuma -432,000 Pengikut.

GUNAKAN media sosial untuk tarik minat terhadap al-Quran sepanjang PKP. FOTO Ihsan Nor Farhatul Fairuzah Panut
JOM KREATIF
Ajar mengaji online


PADA tahun lalu, remaja perempuan berusia 19 tahun ini mengejutkan negara dan dunia apabila dinobatkan sebagai johan qariah dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Kemenangan Nor Farhatul Faizurah Panut itu membuka mata banyak pihak di dalam mahupun di luar negara bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang mengecapi kejayaan yang secara tidak langsung ramai golongan muda mula tertarik untuk mendekati al-Quran.
Bagaimanapun, kemenangan yang diperoleh bukan tiket untuk membuatnya duduk diam dan berpuas hati dengan apa yang dikecapi. Dia kini menggunakan ‘title’ itu untuk menarik lebih ramai mendalami al-Quran.
Sesuai dengan usianya yang tidak boleh lari daripada media sosial, dia memanfaatkan platform itu untuk berkongsi ilmu yang dimiliki di laman sosial seperti Instagram, Facebook dan YouTube.

Selain menguasai al-Quran, pada usianya yang cukup muda, dia mempunyai kebolehan luar biasa apabila mampu menguasai semua ketujuh-tujuh bacaan taranum.
Dia yang mesra disapa Farha itu mengakui, kejayaan yang dikecapi itu bukan sesuatu untuk dibanggakan, malah melihatnya sebagai amanah dan tanggungjawab untuk memartabatkan al-Quran sebagai panduan.
TURUT mendapat penyertaan daripada luar negara. FOTO Ihsan Nor Farhatul Fairuzah Panut
TURUT mendapat penyertaan daripada luar negara. FOTO Ihsan Nor Farhatul Fairuzah Panut

Farha berkata, menjadi johan tilawah al-Quran bukan semudah yang disangka.
“Jika dibandingkan dahulu dan sekarang, kini tanggungjawab saya lebih besar.
“Saya perlu mainkan peranan untuk menarik lebih ramai masyarakat di dalam negara ini terutama golongan muda untuk mencintai al-Quran.
“Insya-Allah, saya akan cuba sedaya upaya untuk menjadi contoh yang baik kepada anak muda,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Anak bongsu daripada lima beradik ini berkata, dia bersyukur kemenangannya pada tahun lalu menarik lebih ramai anak muda untuk mula meminati al-Quran.
“Alhamdulillah kini lebih ramai anak muda mengenali saya dan ini sekali gus mengajak mereka untuk mengenali ilmu taranum dan seni al-Quran.
“Kebanyakan pengikut saya di Instagram adalah daripada golongan muda yang sentiasa mencuba untuk mempelajari ilmu al-Quran dan taranum,” katanya.
Lebih menarik, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, Farha menggunakan Instagramnya yang memiliki 432,000 pengikut untuk mengadakan kelas bertaranum dan mengaji al-Quran percuma yang diadakan secara langsung.
BERSAMA keluarga yang banyak menyokong. FOTO Ihsan Nor Farhatul Fairuzah Panut
BERSAMA keluarga yang banyak menyokong. FOTO Ihsan Nor Farhatul Fairuzah Panut

Setiap kali kelas dijalankan, dia mendapat 10,000 tontonan dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, pelaksanaan PKP ini sekiranya dilihat daripada sudut positif ia adalah hikmah untuk mendekatkan diri dengan Allah.
“Pada ketika ini, saya lihat ramai menggunakan media sosial dan saya mula terfikir, ini adalah medium terbaik untuk berkongsi ilmu yang ada. Jadi, saya cuba buat #tarannumchallenge melalui media sosial serta mengajar mereka mengenai ilmu al-Quran secara langsung di Instagram supaya ilmu ini didedahkan dengan lebih luas.
“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan golongan muda sangat memberangsangkan yang mana ada juga antara mereka yang tidak pernah mengaji dan jarang sekali mengaji, namun sekarang sudah berjinak-jinak dan mahu belajar al-Quran.
“Sejak dijalankan, ramai masyarakat dari dalam dan luar negara seperti Indonesia, Palestin, Iraq, Uzbekistan dan Turki yang terdiri daripada semua lapisan umur daripada kanak-kanak sehingga dewasa cukup bersemangat untuk belajar al-Quran,” katanya.
Mengulas lanjut, kebiasaannya program berjalan selepas Isyak dengan dimulakan bacaan surah pendek menggunakan taranum berbeza.
“Kemudian saya akan kongsikan ilmu tajwid dan mendengar sesiapa sahaja yang ingin memperdengarkan bacaan mereka seterusnya sekiranya ada kesilapan saya akan bantu perbetulkan.
“Insya-Allah, sekiranya tiada halangan dan masa, saya akan teruskannya biarpun selepas tamat tempoh PKP,” katanya.
Diminta berkongsi tip untuk menguasai al-Quran dan menjaga suara, Farha berkata, sejak kecil dia sering mendengar bacaan qari muktabar dan sentiasa bertalaqi dengan guru antarabangsa.
“Biasanya latihan saya lakukan lima kali sehari iaitu selepas solat fardu dan berlatih dengan ibu serta keluarga di rumah. Pada hujung minggu, kami akan mencari guru al-Quran berpengalaman untuk meluaskan ilmu.
“Untuk menjaga kemerduan suara ia memerlukan sedikit masa dengan sentiasa istiqamah berlatih membaca al-Quran dan menjaga pemakanan seperti elakkan minum air berais dan makanan berminyak,” katanya.
Berkongsi aktiviti lain sepanjang PKP ini, Farha berkata, dia banyak mengisi masa lapang dengan membantu ibunya memasak, menanam bunga dan membaca buku.
“Nasihat saya sepanjang PKP ini, gunakan peluang ini untuk lakukan pelbagai perkara bermanfaat termasuk mengikuti media sosial yang menyediakan aktiviti yang banyak input dan ilmu berfaedah,” katanya.
Farha berkata, dia bercita-cita mempunyai kelas al-Quran sendiri untuk menyemai minat dalam kalangan golongan muda di negara ini.
“Selain itu saya mahu keluar ke serata negara unutk menyebarkan ilmu al-Quran dan memiliki Quran digital sendiri,” katanya. (MyMetro)
KETIKA bercuti di Korea. FOTO Ihsan Nor Farhatul Fairuzah Panut
KETIKA bercuti di Korea. FOTO Ihsan Nor Farhatul Fairuzah Panut

Lihat sebelum ini..
Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik: 1 Hingga 4
Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik:  1 Hingga 3 E-Buku IH-10: Siri 1
Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik: 1 Hingga 3 E-Buku IH-53: Siri 2
Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik: 1 Hingga 3 E-Buku IH-68: Siri 3
E-Buku IH-123: Kisah-kisah Jom Kreatif (4)E-Buku IH-103: Kisah-kisah Jom Kreatif (4) 




No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails