Sunday, April 26, 2020

Sikit Tazkirah Ekonomi: Tugas K'jaan Bantu Poket Rakyat, Tapi..


Sikit Tazkirah Ekonomi: 
Kerajaan dan aliran tunai wang rakyat

BULAN lepas Kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat Prihatin (PRERP). Lalu tularlah nama Makcik Kiah dan manfaat yang keluarga Makcik Kiah dapat. Waktu itu saya teruja untuk menulis sesuatu. Namun saya tangguhkan kerana saya fikir saya perlu mulakan dengan ‘Akaun Bajet’ dan aliran tunai.

Dalam tulisan-tulisan terdahulu, saya telah memberi penerangan mudah mengenai aliran tunai. Aliran tunai saya ibaratkan seperti aliran darah. Saya juga terangkan cara membuat bajet agar aliran tunai tetap dalam kawalan anda.

Dalam tulisan kali ini, saya akan kaitkan insentif-insentif Kerajaan dalam PRERP itu dengan aliran tunai. Fokus saya ialah pada aliran tunai individu. Bukan aliran tunai syarikat atau negara. Saya mula dengan formula yang telah saya sebut dahulu iaitu A (duit masuk) – B (duit keluar) = C (baki duit tunai).
Duit masuk
Bagi individu yang masih berstatus pekerja, anda sama ada dibayar gaji penuh atau kurang. Bagi pekerja yang diberhentikan, sudah pasti duit masuk anda terhenti. Bagi individu yang memang tidak bekerja (suri rumah atau pelajar atau anak kecil atau orang tua atau OKU atau penganggur), duit masuk ialah daripada pihak lain. Ini senario yang berlaku kini.
Merujuk kepada PRERP, berikut ialah rangkuman insentif yang memberi kesan kepada duit masuk individu:
  • (i) Gaji (dibayar secara langsung) oleh Kerajaan kepada pekerja kontraktor di sektor perkhidmatan dalam agensi Kerajaan.
  • (ii) Elaun khas (berkala atau ‘one-off’) kepada kakitangan kesihatan, anggota keselamatan, penjawat awam, pemandu e-hailing, M40, B40, orang bujang dan juga pelajar IPT.
  • (iii) Elaun kesihatan MySalam kepada rakyat yang dirawat akibat COVID-19.
  • (iv) Pengeluaran Wang KWSP oleh pekerja yang pernah mencarum.
Bagaimana Duit Tunai Diberi Kerajaan Boleh Merancakkan Ekonomi ...
Berbalik kepada cerita Makcik Kiah tadi, saya nasihatkan anda tidak tersilau dengan angka yang Makcik Kiah dapat. Ukur baju di badan sendiri. Jumlah bantuan yang anda dapat mungkin kurang berbanding jumlah Makcik Kiah dapat.
Nasihat kedua, bezakan antara bantuan ‘one-off’ dengan bantuan berkala. Kalau anda lihat pada duit tunai yang Makcik Kiah dapat, ia merangkumi duit ‘one-off’ dan duit berkala untuk tempoh 6 bulan. Walhal, bajet individu biasanya dibuat secara bulanan. Bukan 6 bulan sekali.
Nasihat ketiga, faedah tunai yang Makcik Kiah terima telah dirangkum sekali dengan faedah tunai yang diterima oleh suami dan anaknya. Walhal, dalam bab duit masing-masing ada keluar masuk duitnya sendiri. Kalau pun berkongsi Akaun Bajet, ia antara suami dengan isteri. Anak bujang atau anak yang bekerja biasanya tidak berkongsi Akaun Bajet dengan keluarga.
Kesimpulannya ialah jika anda buat bajet, anda akan tahu jumlah duit masuk bulanan anda sekarang. Cukup atau tidak?
Duit keluar
Untuk tahu cukup atau tidak, pendapatan perlu digandingkan dengan perbelanjaan. Selagi anda hidup, pasti akan ada perbelanjaan pada bahagian duit keluar. Itu sudah pasti.
Berikut saya rangkumkan insentif- insentif daripada Kerajaan Pusat yang memberi kesan kepada duit keluar individu:
  • (i) Bayaran ansuran rumah, kereta, pinjaman peribadi, sewa rumah Kerajaan, PTPTN, PTPK dan takaful keluarga (insurans) diberhentikan selama 6 bulan.
  • (ii) Bayaran bil elektrik dan telekomunikasi diberi pengurangan (diskaun).
  • (iii) Belanja makan, tempat kediaman kepada warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, OKU di pusat bantuan, gelandangan dan orang asal diberi percuma.
Semua ini hanya fokus kepada insentif PRERP dari Kerajaan Pusat. Jika anda terima contohnya bantuan makanan daripada NGO, ia sebenarnya mengurangkan lagi duit keluar anda. Anda sudah tak perlu berbelanja untuk membeli makanan.
Ingat sekali lagi. Jangan samakan kira-kira anda dengan Makcik Kiah. Kedua, sila buat kira-kira individu secara bulanan. Ketiga, biar apa pun jenis bantuan yang anda terima, pastikan anda tahu kesan bantuan itu kepada aliran tunai anda. Bahagian duit masuk bertambah atau bahagian duit keluar berkurang.
Baki duit tunai
Anda hanya akan tahu bahagian ini kalau anda buat Bahagian A dan B. Mungkin anda tak buat kira-kira duit masuk dan duit keluar tetapi anda ‘tahu’ jumlah baki duit tunai anda. Namun ‘tahu’ yang begini biasanya tak ke mana. Saya risau anda akan terperosok dengan satu lagi jenis ‘tahu’. Tahu-tahu duit dah habis.
Sesuai dengan tajuk tulisan pada kali ini, pujian harus diberikan kepada Kerajaan atas PRERP era melawan COVID-19 ketika ini. Setahu saya, tidak pernah ada dalam sejarah Malaysia bajet sebegini besar yang mengakar serta menyentuh keseluruhan segmen rakyat Malaysia.
Namun harus diingat, tugas Kerajaan ialah membantu poket rakyat. Bukan mengubah masa depan poket rakyat. Jika ingin berubah, anda sendiri yang perlu mengubah masa depan poket anda. Biar apa pun situasi politik di luar sana, anda sendiri yang patut ‘memandu’ bajet anda. Bukan Kerajaan.
Ini hanya permulaan. Ceritanya panjang lagi. Saya tinggalkan anda dengan pesanan daripada Allah:
لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ
“Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya secara bergiliran di depan dan di belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.”
(Al-Ra’d: 11)
*Penulis ialah bekas pensyarah di bidang Muamalat dan Pengajian Islam. Kini berkecimpung sepenuh masa sebagai usahawan. Ikuti pandangan beliau berkaitan pengurusan kewangan di http://www.facebook.com/abambajett
Oleh: HASNAN AB – HARAKAHDAILY 26/4/2020
Bersambung..
Muestras De La Mano Puño Del Sacador Aislado En Blanco Foto de ... Terus gerakkan ekonomi segera, bangkit semula! Insya Allah!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails