Solat Jumaat tidak boleh didirikan secara bersendirian atau mengikut imam secara dalam talian termasuk rakaman secara langsung disiar aplikasi media sosial sepanjang pelaksanaan PKP. - Foto BERNAMA
Tak boleh solat Jumaat dalam talian - Mufti Perlis
KANGAR: Solat Jumaat tidak boleh didirikan secara bersendirian atau mengikut imam secara dalam talian termasuk rakaman secara langsung disiar aplikasi media sosial sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata perkara itu dilihat tidak munasabah, sekali gus tidak menzahirkan sifat solat Jumaat itu sendiri.
Katanya, isu ini mula timbul apabila ia dicadang dilakukan beberapa pihak di Eropah sehingga majlis fatwa negara berkaitan terpaksa mengeluarkan fatwa melarang ia dilaksana atas beberapa faktor.
“Terdapat ayat di dalam al-Quran menerangkan solat Jumaat memerlukan individu membuat persediaan dengan bergerak ke masjid awal dan lain-lain untuk menunaikannya.
“Jika seseorang menunaikannya berseorangan di rumah, maka ia seakan tiada makna dan tidak menepati tuntutan al-Quran dalam mendirikan solat Jumaat.
“Ulama juga berpendapat bahawa keutamaan asal bersolat adalah mendirikan solat Zohor dan empat waktu lain, manakala solat Jumaat dikhususkan pada hari Jumaat,” katanya ketika menyampaikan kuliahnya di sini, semalam.
Mohd Asri berkata, sekiranya ada pihak menggunakan alasan darurat bagi melaksanakan solat Jumaat berjemaah secara dalam talian, dikhuatiri orang tidak lagi ke masjid.
“Akhirnya nanti orang tidak berjemaah di masjid atas alasan boleh berjemaah dari rumah sahaja melalui siaran langsung dalam talian.
“Ahli fiqh meletakkan syarat bahawa solat berjemaah terlaksana apabila imam dan makmum berhimpun pada satu tempat dan masa yang sama selain makmum boleh melihat pergerakan imam yang tidak terhalang dinding besar mahupun sungai.
“Maka apabila timbul masalah atau situasi seperti ketika ini, maka kembali kepada hukum yang asal iaitu mendirikan solat Zohor,” katanya. (BH)
No comments:
Post a Comment