Sunday, April 19, 2020

Video muzik Zombie catat 1 bilion tontonan

Lagu Zombie ciptaan Dolores O’Riordan sebagai lagu protes bagi membantah pengeboman yang menyaksikan pembunuhan dua kanak-kanak dan mencederakan 56 mangsa lain pada 1993. - Foto Newsweek.com
Lagu Zombie ciptaan Dolores O’Riordan sebagai lagu protes bagi membantah pengeboman yang menyaksikan pembunuhan dua kanak-kanak dan mencederakan 56 mangsa lain pada 1993. - Foto Newsweek.com
HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Video muzik Zombie dendangan kumpulan rock alternatif dari Ireland, The Cranberries mencatatkan jumlah tonton 1 bilion di laman YouTube, Sabtu lalu.
Ia sekali gus melakar sejarah buat The Cranberries apabila Zombie menjadi lagu keenam mencatat rekod 1 bilion pada abad ke-20. Ini juga video muzik pertama kumpulan Ireland yang mencapai rekod berkenaan. Zombie menjadi hits menerusi album No Need To Argue pada 1994.

Lima video muzik lain dari abad ke-20 yang mencatat rekod tontonan 1 bilion ialah Bohemian Rhapso dari Queen pada 1975, Take On Me, A-ha (1985), Sweet Child O’ Mine, Guns N’ Roses (1987), Smells Like Teen Spirit, Nirvana (1991) dan November Rain, Guns N’ Roses (1992).
Menerusi laporan Newsweek.com, pemain dram, Fergal Lawler mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong The Cranberries menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook.
The Cranberries dan peminat mengadakan kempen untuk mencapai rekod itu, sejak beberapa bulan lalu.
“Kami teruja apabila lagu Zombie mencapai 1 bilion tontonan di YouTube.
“Terima kasih kepada peminat di seluruh dunia kerana masih menyokong kami selama bertahun-tahun. Semoga anda selamat dan sihat dalam masa waktu getir ini. Harapnya berjaya menemukan harapan dan positif dalam muzik kami.
“Kami yakin Dolores O’Riordan tersenyum lebar dan bangga dengan pencapaian ini,” tulisnya.
Penyanyi utama kumpulan itu, Dolores O’Riordan meninggal dunia secara mengejut di London pada Januari 2018.
Zombie ditulis Dolores sebagai lagu protes bagi membantah pengeboman yang dilaksanakan oleh Tentera Republik Ireland Utara (IRA) di Warrington, England pada Februari 1993 yang menyaksikan pembunuhan dua kanak-kanak dan mencederakan 56 mangsa lain.
Dolores mendedikasi lagu Zombie untuk dua kanak-kanak, Johnathan Ball, 3, dan Tim Parry, 12, yang terbunuh akibat ledakan bom yang diletakkan dalam tempat sampah besi di Jalan High, Warrington.
Menulis dalam keadaan marah dan kecewa kerana kanak-kanak menjadi korban kekerasan, Dolores dipetik berkata, lagu Zombie paling agresif yang pernah ditulis. Berbeza lagu The Cranberries yang lain, lagu Zombie ditulis sepenuhnya oleh Dolores ketika berada apartmen.
Video muzik Zombie yang dilancarkan pada 1994 pernah diharamkan BBC kerana memaparkan imej kanak-kanak memegang senjata.
Awal tahun ini, album studio terakhir The Cranberries berjudul In The End dicalonkan sebagai Album Rock Terbaik menerusi Anugerah Grammy 2020. - AGENSI
Video muzik The Cranberries 'Zombie' capai 1 bilion tontonan di YouTube

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails