Sunday, April 19, 2020
'YouTubing' Kelangsungan Produk Pelancongan Marang -RM25,000 Peruntukan.
Terengganu Cadang Program 'YouTubing' Ganti Karnival Candat Sotong
MARANG, 18 April – Kerajaan Terengganu melalui Portfolio Pelancongan bercadang melaksanakan Program 'YouTubing' Produk Pelancongan Marang sebagai langkah menggantikan Karnival Candat Sotong yang terpaksa dibatalkan akibat penularan wabak COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, dengan peruntukan sebanyak RM25,000 alternatif itu dapat menjamin kelangsungan industri pelancongan di Marang selepas kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Antara konsep yang digunakan bagi mencapai matlamat program 'YouTubing' ini, penduduk setempat menceritakan pengalaman dan keunikan aktiviti harian seperti menangkap ikan dan mencandat sotong melalui rakaman video, dialog dan skrip untuk dimuatnaik di media sosial.
"Inisiatif ini dijangka akan melibatkan seramai 200 orang penggiat dan penduduk daerah Marang.
"Aktiviti ini akan mengambil kira garis panduan semasa dan nasihat pihak berwajib dalam tempoh PKP," katanya kepada media selepas program saringan COVID-19 terhadap pelancong asing di Pulau Kapas di sini hari ini.
Turut hadir adalah Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris dan Pegawai Kesihatan Daerah Marang, Dr Tan Sin Yew.
Menurutnya lagi, program diyakini itu dapat membantu meringankan sedikit beban para penggiat pelancongan Marang yang terjejas.
"Dengan keunikan yang ada di Marang ia boleh membantu sektor pelancongan yang terjejas seperti program menangkap ikan dan mencandat sotong manakala aktiviti darat pula seperti penjualan produk, persembahan seni dan budaya.
"Kita perlu berfikir ke depan untuk menjana idea yang boleh disesuaikan sepanjang tempoh ini bagi membantu para penggiat pelancongan dan penduduk setempat dengan ketetapan pematuhan semua arahan PKP.
"Ini jelas menunjukkan keperihatinan dan kecaknaan kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat dan para penggiat pelancongan di Marang terjaga," tambahnya lagi.
Sebagai rekod, Karnival Candat Sotong Terengganu dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 5 April lalu di berkenaan.
Namun ia terpaksa dibatalkan akibat wabak pandemik yang melanda seluruh negara termasuk Malaysia.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Terus gerakkan ekonomi segera, bangkit semula! Insya Allah!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment