Orang ramai yang beratur panjang di luar bangunan Kenanga Wholesale City bukanlah pelanggan, sebaliknya, mereka merupakan pekerja yang sedang menunggu giliran untuk masuk ke dalam bangunan dan memulakan kerja. - Gambar media sosial
Apa orang ramai buat di Kenanga Wholesale City? Ini cerita sebenar yang berlaku...
KUALA LUMPUR: Hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masyarakat dikejutkan dengan penularan gambar orang ramai beratur panjang untuk memasuki sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Ramai yang bingung, sebilangan besar pula tergamam kenapa warga kota terlalu ghairah berkunjung ke pusat berkenaan sedangkan ketika ini wabak COVID-19 masih lagi belum reda sepenuhnya.
Dan apakah orang ramai sebetulnya mengambil kesempatan di atas kelonggaran yang diberikan kerajaan dengan sengaja keluar beramai-ramai untuk 'makan angin'?
Bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai situasi di pusat beli-belah yang menjadi bahan perdebatan netizen itu, Astro AWANI bergegas ke Kompleks Kenanga Wholesale City yang terletak di Pudu yang kedudukannya tidak jauh dari kawasan perniagaan strategik segi tiga emas, Bukit Bintang.
Dalam kunujungan pada pagi Isnin, suasana yang dilihat tidak seperti yang kelihatan dalam gambar yang tular di media sosial.
Pusat beli-belah fesyen jualan pukal itu cukup lengang, tidak seramai seperti yang dilihat dalam gambar.
Didorong oleh keinginan untuk mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku pada awal pagi sehingga menyebabkan orang ramai berkunjung ke situ, Astro AWANI berpeluang mewawancara Penolong Pengurus Pengiklanan dan Promosi, Perbadanan Pengurusan Kompleks Kenanga Wholesale City, Wendy Lam.
Menurut Wendy, orang ramai yang beratur panjang di luar bangunan pusat beli-belah itu bukanlah pelanggan yang mahu berbelanja di situ.
Sebaliknya, kata beliau, mereka merupakan pekerja-pekerja di premis perniagaan di dalam kompleks berkenaan.
Memandangkan kerajaan sudah memberi kelonggaran untuk beberapa sektor ekonomi beroperasi, maka kedai-kedai di dalam kompleks berkenaan mengambil keputusan untuk membuka perniagaan mereka.
Bagaimanapun, Wendy berkata, pekerja-pekerja di gedung itu harus melalui pemeriksaan suhu badan masing-masing selain beberapa langkah pencegahan lain sebelum membenarkan mereka masuk ke dalam gedung tersebut.
Oleh kerana proses memeriksa suhu badan dan langkah pencegahan dibuat, menyebabkan kesemua pekerja berkenaan terpaksa beratur panjang di luar bangunan sekali gus mengundang salah faham khalayak.
"Apa yang berlaku pada pagi ini, pekerja-pekerja dan penyewa premis ingin masuk ke dalam kompleks ini dan kami perlu membuat pengesanan suhu badan dan beberapa langkah pencegahan yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Oleh sebab itu, terdapat kelewatan untuk kami berikan kesemua pekerja ini masuk demi memastikan keselamatan setiap pelanggan yang datang ke kompleks ini," jelas Wendy kepada Astro AWANI mengenai salah faham yang mengundang perdebatan dalam kalangan netizen.
Pengurusan pusat beli-belah itu juga, kata Wendy, memastikan segala prosedur standard operasi (SOP) yag dikeluarkan pihak berwajib dipatuhi termasuk memastikan terdapat penjarakan sosial dalam kalangan pekerja dan pengunjung.
Dalam kes ini, apa yang tular di media sosial tidak sama dengan realiti yang berlaku.
Namun, seperkara yang boleh dipuji ialah masyarakat semakin peka dengan keadaan sekeliling terutama ketika PKPB dilaksanakan dalam usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19.
Dalam masa sama, apa yang diharapkan ialah setiap rakyat bertanggungjawab dalam memastikan tidak menyebarkan berita palsu.
No comments:
Post a Comment