Tuesday, May 12, 2020

Barang Bundle Luar Negara Dicemari Covid-19?

KEBIMBANGAN masyarakat untuk terus membeli pakaian bundle menyebabkan defisit pendapatan yang teruk kepada peniaga.
KHABAR angin yang mendakwa pakaian terpakai atau bundle dari luar negara dicemari virus khususnya Covid-19 ternyata memberi tamparan hebat kepada pengusaha.
Ini kerana kebimbangan masyarakat untuk terus membeli pakaian bundle menyebabkan defisit pendapatan yang teruk kepada peniaga yang sudah tentu terkesan sejak penularan pandemik maut itu.
Menangkis dakwaan berkenaan, pengusaha pakaian terpakai, Nor Izati Hamsah, 33, berkata, aspek kebersihan sudah menjadi sebati sejak menjalankan perniagaan itu pada 2016.
Katanya, beliau memastikan pakaian dari Jepun, Australia dan Korea yang dibeli dari pengedar itu dibersihkan dengan cecair pencuci khas untuk memastikan pakaian tidak dicemari virus dan selamat dipakai pelanggan.
"Saya menjual pakaian bundle bayi dan kanak-kanak dan stok diterima mesti dicuci dan diseterika terlebih dulu sebelum dijual kepada pelanggan.
"Saya tidak akan berkompromi dengan kebersihan dan pakaian yang dijual sudah dijamin bersih dan selamat untuk dipakai. Pakaian dijual pula untuk dipakai bayi dan kanak-kanak jadi sudah pasti kebersihan jadi keutamaan," katanya yang menjalankan perniagaan Butik Ibu Ezqandar di Taman Pelangi Semenyih.
Beliau berkata, dakwaan pakaian bundle dicemari masih tidak dapat dibuktikan namun penularan berita dalam kalangan warga maya ternyata memberi impak kepada pendapatan yang sudah terkesan akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Nada sama turut disuarakan peniaga bundle atas talian dari Wakaf Bharu, Kelantan, Nadila Enche Mud, 29, yang berkata, pakaian dibeli daripada pengedar tidak terus dijual.
Katanya, mungkin ramai yang tidak tahu setiap pakaian terpakai dibawa masuk ke negara ini perlu disembur pembasmi kuman bagi mengelak ia dicemari ketika proses pengimportan dari negara pembekal.
"Kami bertanggungjawab untuk menjual pakaian yang bersih dan bebas kuman kepada pelanggan kerana tidak mahu masalah di kemudian hari.
"Tambahan pula sekarang musim Covid-19 dan sudah pasti aspek kebersihan pakaian akan dipertingkatkan jadi pelanggan tidak perlu bimbang," katanya yang menjalankan perniagaan menerusi laman Owl Eye's Bundle di platform Facebook sejak empat tahun lalu.
Nadila berkata, penularan berita tidak benar itu hanya menyebabkan persepsi negatif masyarakat terhadap pakaian terpakai sekali gus mengundang kerugian besar kepada peniaga sepertinya.
Katanya, perniagaan pakaian terpakai ini adalah alternatif kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli pakaian berkualiti dan berjenama pada harga mampu milik.
IBU BAPA membawa anak mereka ke pusat membeli-belah di sekitar Kuala Lumpur ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam. - Gambar NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
IBU BAPA membawa anak mereka ke pusat membeli-belah di sekitar Kuala Lumpur ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam. - Gambar NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Pakaian dijual dijamin kebersihan
Dakwaan pakaian terpakai atau bundle dicemari virus Covid-19 dianggap mahu menabur pasir dalam periuk nasi peniaga yang majoritinya Bumiputera.
Presiden Persatuan Peniaga Bundle Malaysia, Sharin Darus berkata, dakwaan itu tidak masuk akal kerana setiap pakaian yang dijual sudah dijamin kebersihannya.
Menurutnya, setiap ahli persatuan diingatkan untuk menitik beratkan aspek kebersihan pakaian bundle yang dijual kepada pengguna sama ada secara langsung atau platform atas talian.
"Isu ini sengaja ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab yang hanya akan menyebabkan persepsi masyarakat kepada pakaian bundle bertukar negatif.
"Industri ini sudah bertapak di Malaysia sejak lebih 30 tahun lalu dan tidak sekali pun timbul isu pakaian dijual dicemari virus," katanya ketika dihubungi.
Sharin berkata, tambahan pula pakaian yang diimport bukan dari China lokasi bermulanya penularan wabak Covid-19, tetapi dibeli dari pembekal di Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.
Katanya, dakwaan jahat itu hanya bertujuan menutup periuk nasi rata-ratanya peniaga Melayu Bumiputera yang kini sudah dibebani dengan penutupan kedai dan kelembapan pasaran setempat.
"Kami tidak berkompromi dengan kebersihan dan jangan meremehkan industri ini yang menjadi mata pencarian kepada lebih 100,000 peniaga bundle seluruh negara.
"Jika tidak mahu membeli tidak mengapa tapi jangan tabur fitnah yang menjejaskan rezeki kami yang kini terpaksa menanggung rugi akibat Covid-19," katanya. (IH)

2 comments:

Anonymous said...

Wartawan veteran dan bekas penasihat media perdana menteri, A Kadir Jasin, berkata pengkhianat Pakatan Harapan (PH) kini mengulang gembar-gembur dimulakan Umno kononnya DAP menguasai gabungan berkenaan.

Mengulas catatan blog Dr Mahathir Mohamad petang tadi, Kadir berkata dakwaan berkenaan dimulakan oleh Umno selepas parti terbabit dikalahkan PH dalam pilihan raya umum 2018.

"Sekarang mitos ini digembar-gemburkan pula oleh pengkhianat PH yang bersekongkol dengan Umno dan Pas.

"Mereka ini menang atas tiket PH - yang termasuk di dalamnya DAP - tetapi kerana gilakan kuasa dan dendam kesumat, sanggup berpakat dengan musuh," katanya melalui hantaran di media sosial malam ini

Anonymous said...

Kalo ada virus pon 2 minggu dlm perjalanan virus dah mati..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails