Friday, May 22, 2020

Kesatuan politik Melayu enjin kestabilan negara

#AgongKita: Jangan cetus api perselisihan, runtuh keharmonian negara - YDP Agong
SEJAK Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu, dan membentuk Kerajaan Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan, politik Malaysia mula mencorakkan bentuk baru. 
Ianya banyak melibatkan kesedaran dan perubahan sikap pimpinan politik Melayu khususnya yang sedar dan akur akan kehendak rakyat serta perubahan yang perlu dicetuskan untuk mengembalikan kestabilan politik dalam negara.

Kestabilan politik suka tak suka banyak bergantung kepada kepuasan dan keselesaan kelompok rakyat terbesar dalam negara iaitu orang-orang Melayu. Mana sahaja parti politik atau blok yang mahu memerintah negara dan negeri-negeri perlu mengambil kira sentimen orang-orang Melayu selain kaum yang lain, itulah realiti politik di Malaysia sejak Merdeka.

DAP contohnya satu parti yang cukup faham akan kehendak ini. Setelah bergelut dalam politik negara sejak 1969, mereka sedar tanpa sokongan dan dukungan pengundi Melayu, mustahil mereka dapat merangkul kuasa di peringkat Persekutuan. Kerana itu DAP mengambil beberapa langkah antaranya menonjolkan calon-calon Melayu dan kemudiannya apabila ia kurang berjaya kecuali di kawasan campuran, mengusahakan pula pakatan politik dengan parti-parti lain khususnya yang punya pengaruh Melayu.
Ternyata PRU ke-14 lalu setelah menunggu hampir 50 tahun, formula DAP ini berjaya apabila Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan bersama PKR, BERSATU dan PAN berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN). DAP dengan pendekatan politik perkauman dan Cauvinis mereka telah berjaya menggembleng sokongan masyarakat bukan-Melayu hingga hampir 90 peratus, manakala dengan bantuan PKR, BERSATU dan PAN, mereka berjaya mengutip kira-kira satu pertiga sokongan pengundi Melayu, apabila BN-Umno dan PAS turut bertanding 3 penjuru menentang PH.
PH menyapu bersih kesemua kerusi majoriti bukan-Melayu, selain kerusi-kerusi campuran termasuklah beberapa kerusi majoriti Melayu.
Kemunculan Kerajaan baru PH ini pada awalnya rata-rata melegakan rakyat termasuklah orang-orang Melayu yang percayakan janji-janji lunak dan enak yang terkandung dalam Manifesto PH. Namun apabila PH mula mentadbir negara dan kebanyakan negeri-negeri, wajah DAP mula terserlah.
Kerajaan baru PH rupanya didominasi wakil-wakil bukan-Melayu dengan DAP memegang saham terbesar. Lalu dengan pengaruh itu rakyat mula melihat satu demi satu dasar dan program Kerajaan dibentuk dan dilaksana berdasarkan acuan perjuangan DAP iaitu ‘Malaysian Malaysia’ dan ‘Negara Sekular’.
Rakyat khususnya orang-orang Melayu termasuklah kakitangan Kerajaan dan orang awam mula merasa curiga dan kacau apabila DAP mula menerobos dan masuk campur dalam urusan yang selama ini dianggap sebagai lapangan eksklusif orang-orang Melayu. Tiada sudut yang tidak diusiknya termasuklah hal melibatkan kontrak sosial, bahasa, budaya termasuklah agama dan Raja-raja Melayu. Dalam pada itu janji-janji manifesto tidak ditepati.
Menyedari kesilapan dan kerugian ini, bangkit keinsafan bahawa tanpa kuasa politik nasib dan masa depan umat Melayu dan negara terancam dan tidak mustahil boleh tergadai.
Lantas dimulakanlah langkah segera, dua buah parti politik Melayu terbesar dalam negara iaitu PAS dan Umno telah memeterai Piagam Muafakat Nasional, menyatakan kesediaan untuk bersatu demi menghadapi ancaman ini.
Dan dari situ politik negara terus memasuki fasa baru, Pilihan Raya – pilihan raya Kecil bermula dari Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjong Piai dan terakhir di Kimanis, Sabah membuktikan rata-rata umat Melayu Bumiputera bersedia bangkit bersatu menolak PH dan mendukung usaha penyatuan ini.
Kemudian ditakdirkan PH berbalah sesama mereka sehingga Pengerusinya Tun Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri meletak jawatan, mengambil kesempatan dari peluang runtuhnya Kerajaan ini Presiden BERSATU melalui inisiatif politik berbagai pihak telah mendapatkan sokongan PAS, BN, GPS dan beberapa parti Borneo sehingga membentuk Kerajaan baru peringkat Persekutuan dikenali PN.
Kesedaran politik semakin membuak-buak selepas itu yang mendorong wakil-wakil rakyat Melayu Islam khasnya dari PKR dan BERSATU termasuklah DAP beralih-arah. Ternyata politik kesatuan ummah, iaitu penyatuan kuasa politik umat Melayu diingini rakyat kebanyakan dan ia apabila terjalin mampu membawa kestabilan politik dan rakyat Malaysia keseluruhannya boleh berasa lega dan tenteram.
Maka dari situ satu demi satu Kerajaan Negeri milik PH roboh. Bermula di Johor, bukan hanya ADUN Melayu Islam malah yang bukan-Melayu juga turut menyedari perlunya landskap politik baru dibentuk menggantikan PH. Johor menjadi pemangkin kepada kebangkitan baru diikuti Melaka, Perak dan terbaru di Kedah.
Terbukti kesatuan kuasa politik Melayu menjadi kunci kestabilan, bukan bermakna hak masyarakat bukan-Melayu dinafikan tetapi mematikan politik perkauman dan Cauvinis menjadi tuntutan. Masyarakat bukan-Melayu di Malaysia sejak dahulu telah mendapat limpahan keadilan dan kesejahteraan tanpa perlu hadir kuasa politik rasis dan Cauvinis untuk memperjuangkannya dengan melemahkan kuasa politik Melayu. Hatta di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan dan Terengganu nasib mereka terus terbela, tiada yang terpinggir apa lagi didiskriminasi.
Hakikatnya hari ini rakyat boleh terima dan tidak protes apabila Tan Sri Muhyiddin bangkit sebagai PM baru, demikian juga di Johor, Melaka dan Perak serta terbaru Kedah, perubahan ini dianggap sebagai satu langkah yang menyelamatkan masa depan mereka.
Semoga kesedaran ini terus dipupuk dan perubahan seluruh negara dapat dilaksanakan demi Malaysia yang lebih kukuh, sejahtera dan selamat.
Mungkinkah akan berlaku juga selepas ini perubahan di Negeri Sembilan, Sabah dan Selangor pula? Sama-sama kita tunggu dan doakan, ianya tidak mustahil.
Mungkinkah juga ramai lagi wakil rakyat dari PH di peringkat Parlimen yang akan akur dan bersama perubahan landskap politik yang diterajui PN dan MN ini?
Marilah kita meletakkan nasib dan kepentingan rakyat dan negara di hadapan. Politik peribadi, dinasti dan rasis serta Cauvinis perlulah dihapuskan. Malaysia perlukan pimpinan yang mewakili semua kaum dan yang dapat memberi jaminan keadilan dan kesejahteraan buat semua. Ini bukan masanya untuk berbalah dan berebut jawatan, tetapi pasca COVID-19 ini, ia masa untuk membina dan memperkasakan kembali politik, ekonomi dan masa depan negara.
Bersama kita membina Malaysia yang baru.
Selamat Hari Raya Eidul Fitri buat semua, maaf zahir dan batin.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 21/5/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails