Thursday, May 28, 2020

MB Kedah Bina Normal Baru Hadapi 'Putaran Ganas Kemiskinan'?


Sikit Tazkirah Ekonomi:
Perspektif Sanusi dalam membangunkan Kedah

KUALA LUMPUR: Latar belakang kehidupan dari keluarga yang menempuh kemiskinan dan kesusahan telah membentuk karakter politik dirinya, demikian akui Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.


Iltizamnya, pengalaman telah dilalui itulah yang akan menjadi perhatiannya selaku Menteri Besar yakni ke arah menyelesaikan masalah kesempitan hidup, kemiskinan serta keciciran anak-anak dari persekolahan.
“Kerana apa yang telah saya lalui ini saya yakin dan sangat percaya bahawa pendidikanlah yang akan mengeluarkan kita daripada putaran ini. Putaran orang sebut putaran ganas kemiskinan. Tapi putaran ganas kemiskinan pada masa lampau itu bentuknya mungkin lain sikit.
“Tetapi pada waktu ini bentuknya telah berubah, formnya telah mengalami transformasi putaran ganas kemiskinan itu juga merempuh adik-adik kita, anak-anak kita yang terpengaruh dengan gaya hidup semasa.
“Dan gaya hidup semasa ini akan mengheret mereka masuk ke dalam putaran itu pada masa depan. Jadi saya fikir dasar-dasar kerajaan selepas daripada hari ini mesti melihat perkara-perkara ini untuk diberi perhatian di samping kita lihat pembentukan mentaliti,” ujarnya.
Lontaran tersebut dikemukakannya dalam satu temubual eksklusif bersama MalaysiaGazette di sebuah hotel di Ibu Negara, di sini baru-baru ini.
Tegasnya, beliau mahu mengubah mentaliti orang-orang miskin dan susah untuk menjadi ‘pejuang’ yang mengubah kehidupannya sendiri tanpa ada di fikiran untuk menjadi peminta sedekah.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menjadikan ayah dan ibunya serta seluruh adik-beradik abang dan kakaknya sebagai model kepada perjuangan diangkat beliau terhadap perkara tersebut.
“Kita keluar daripada kepungan kemiskinan, kepungan kesusahan itu dengan ilmu, dengan pendidikan, dengan susah payahlah, bukanlah senang-senang.
“Kalau kita stay untuk berharap Kerajaan buat sesuatu tanpa kita sendiri yang turut cuba mengubah, saya rasa ini, ini laluan yang sukar untuk kita capai matlamat kita,” ujarnya optimis.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah ini turut melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk mencurahkan baktinya dan berharap usaha dibawanya akan membuah hasil, difahami dan dirasai oleh rakyat negeri Jelapang Padi itu.
Malah, beliau berharap di masa depan akan datang tokoh-tokoh lebih baik dan hebat dalam visi untuk memimpin Kedah di mana beliau sangat bersedia menjadi pengikut demi membawa negeri tersebut keluar dari kemiskinan dan mencapai potensi ekonominya.
“Saya nak bina satu perspektif baru tentang pembangunan di Kedah. Mungkinlah walaupun Kedah tak kaya, tapi kita tinggi dengan kasih sayang, kita tinggi dengan happyness, dengan kegembiraan, dengan kebahagiaan. Saya rasa ini satu benda yang lain daripada yang lain, yang patut diberi nilai yang sewajarnya.
“Kalau pun kita tak dapat jana wang Ringgit, kawan saya kata Dinar dan Dirham, tapi kita dapat membawa kebahagiaan, membawa ketenangan, membawa kemakmuran, walaupun tak berlaku kemakmuran fizikal, tetapi berlaku kemakmuran dalam hati kita, dalam nurani kita.
“Bahawa kita telah ada apa sahaja yang kita perlukan di dunia ini, kita telah puas dan kita capai bahagia dengan tidak memiliki harta benda yang banyak. Saya rasa itu pun satu kemajuan yang patut diberi penghargaan, patut ada nilainya.
“Satu lagi kekeluargaan, kasih sayang, saya rasa dalam mengejar ekonomi kebendaan yang keterlaluan ini, kita dah tinggal banyak perkara-perkara yang patut diberi perhatian. Kita hilang kasih sayang, kita hilang hormat menghormati, kita percaya benda-benda palsu, kita suka burukkan orang, kita fitnah orang.
“Ini semua bala bencana yang datang bersama dengan kononnya kemajuan ekonomi. Saya rasa ini bukanlah satu kemajuan yang benar, yang betul, yang patut kita kejar. Walaupun kita tak capai pertumbuhan yang diangka-angkakan sebagai satu petunjuk kemajuan.
“Tapi kalau kita berjaya mengekang fitnah yang menular, mengekang hasad dengki yang berleluasa, kita berjaya mengekang anak-anak yang hilang hormat kepada ibu bapa, kita berjaya menghalang perkara-perkara buruk daripada merebak dalam masyarakat kita.
“Saya rasa ini pun satu perkara yang boleh dinamakan kemajuan dan pembangunan yang patut kita usahakan,” kemukanya bervisi. – HARAKAHDAILY 27/5/2020
Komen Weblog Ibnu Hasyim: “Saya nak bina satu perspektif baru tentang pembangunan di Kedah..." Kata MB Kedah baru. Bolehkah ianya disebut sebagai normal baru dalam mengharungi 'putaran ganas kemiskinan di Kedah'? Teruskan, kerana pancang-pancang Islam sudah ada..  Al-hamdulillah!

Lihat Sebelum ini..
E-Buku IH-128: Sikit Tazkirah Ekonomi..

E-Buku IH-128: Sikit Tazkirah Ekonomi..

No comments:

Post a Comment