Wednesday, May 20, 2020

PM Sedang Selesaikan Masalah Teknikal Dalam Partinya..

dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: TS Muhyiddin - Apakah 1MDB ...
Shahbudindotcom mengulas..
Muhyiddin akan hapus jawatan Pengerusi BERSATU?


SETELAH berjaya menjadi Pemangku Pengerusi Bersatu dengan bantuan RoS, kemudian dijangka memecat Tun Mahathir Mohamad dan selepas itu menjalankan proses pemilihan parti, apa seterusnya yang akan dilakukan oleh Muhyiddin Yassin?
Dalam keadaan semua dalam kawalannya, mungkin juga diikuti dengan pemberian jawatan-jawatan dalam GLC kepada pimpinan Bersatu di peringkat pusat, negeri dan bahagian, kalau pun Mukhriz Mahathir tidak turut dipecat bersama bapanya, Muhyiddin dijangka tidak lagi berdepan masalah mengekalkan jawatan Presiden Bersatu yang disandangnya sekarang.
Tetapi, adalah dijangkakan Mukhriz yang baru-baru ini kehilangan jawatan Menteri Besar Kedah, hampir pasti akan turut dipecat keahliannya daripada Bersatu.
Dengan yang demikian, Muhyiddin pasti akan menang percuma untuk mengekalkan jawatannya dalam pemilihan nanti.
Makna kata, sebagaimana jawatan Perdana Menteri diperolehinya melalui tebuk atap, jawatan Pemangku Pengerusi Bersatu melalui tingkap, mengekalkan jawatan Presiden pula bakal diraihnya dengan cara menutup pintu cabaran lawan secara rapat dan ketat.
Maka, selepas pemilihan Bersatu nanti, berjayalah Muhyiddin menguasi Bersatu sepenuhnya, walaupun mungkin keahlian parti selepas itu tidak lagi seramai mana.
Jawatan Pengerusi Bersatu yang sepatutnya diisi oleh Tun Mahathir kerana telah menang tanpa bertanding, namun disebabkan beliau dijangka akan dipecat sebelum pemilihan diadakan, ia dipercayai akan dibiarkan kosong buat beberapa ketika sebelum kemudiannya jawatan itu akan dimansuhkan sama sekali.
Tanpa wujud lagi jawatan pengerusi, bermakna Muhyiddin selaku Presidenlah yang paling berkuasa dalam Bersatu selepas ini.
Mengimbas kembali proses awal penubuhan parti itu, seseorang yang rapat dengan Muhyiddin pernah memberitahu, Ahli Parlimen Pagoh itu sejak awal tidak berapa setuju dengan adanya jawatan pengerusi dalam Bersatu.
Muhyiddin sebaliknya mencadangkan jawatan pengerusi itu lebih sesuai digantikan dengan jawatan penasihat saja.
Beliau berhujah jawatan pengerusi itu, lebih-lebih lagi kerana ia disandang oleh Tun Mahathir, seolah-olah membayangi kedudukannya sebagai presiden parti.
Namun, seseorang yang rapat dengan Muhyiddin tadi berserta beberapa yang lain akhirnya berjaya meyakinkan Presiden Bersatu itu agar bersetuju dengan kewujudan jawatan pengerusi itu.
Alasan yang diberikan ialah supaya Tun Mahathir dengan jawatan Pengerusi lebih menampakkan peranannya yang sebenar untuk menarik sokongan rakyat kepada parti itu berbanding jika hanya berjawatan sebagai Penasihat Bersatu.
Lagi pula, pengaruh dan aura Tun Mahathir lebih diperlukan untuk memperlihatkan Bersatu sebagai pengganti kepada UMNO.
Yang kedua, Muhyiddin juga diyakinkan bahawa oleh kerana ketika penubuhan Bersatu pada 2016 itu Tun Mahathir sudah berusia 91 tahun, bekas Perdana Menteri dipercayai tidak mungkin hidup lama lagi di dunia ini.
Hanya setelah diyakinkan demikian, difahamkan barulah Muhyiddin kemudiannya mengalah dan sedia menerima wujudnya jawatan pengerusi dalam Bersatu.
Sekarang, setelah menjadi Perdana Menteri, berbalah pula dengan Tun Mahathir dan seterusnya dapat menerobos tingkap untuk duduk sebagai Pemangku Pengerusi Bersatu, adalah mustahil jika Muhyiddin tidak berbuat apa-apa, apa lagi sanggup membiarkan bekas Perdana Menteri itu kembali sebagai Pengerusi Bersatu yang bermakna akan terus wujud gangguan terhadapnya dalam menguasai parti.
Memecat Tun Mahathir serta menjadikan kemenangannya tanpa bertanding jawatan Pengerusi sebagai sesuatu yang sia-sia dan seterusnya menghapuskan jawatan pengerusi adalah rangkuman pilihan paling logik buat Muhyiddin, bukan saja untuk memastikan Bersatu secara mutlak berada dalam kawalannya, tetapi juga untuk menunaikan perasaan terpendam dan tidak selesanya selama ini dengan kewujudan jawatan yang disandang oleh bekas Perdana Menteri itu. (Shahbudindotcom 20/05/2020)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apa yang penting, kerajaan sekarang bukan kerajaan pintu belakang, seperti yang disebut awal-awal lagi oleh Presiden PAS iaitu pada 
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebarang proses demokrasi mestilah mengikut lunas undang-undang. Pas pada masa yang sama juga bersedia untuk membentuk muafakat bersama parti lain.
“Muafakat ini luas, sebut muafakat ini kena ramai, dengan sebab itu kita ajak sesiapa hendak muafakat kita persilakan.
“Saya rasa dalam demokrasi, proses demokrasi ini macam-macam. Masuk Parlimen boleh masuk mana-mana pintu, mesti ikut proses undang-undang yang betul. Insya-Allah kita masuk 'pintu depan' tidak boleh ‘pintu belakang’ cuma kita tahu ada hendak jadi ‘perdana menteri pintu belakang.” 
Katanya di sidang media selepas Majlis Syarahan Perdana sempena tiga dekad pentadbiran Pas Kelantan ketika itu. Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan wujud muafakat antara Pas, Umno dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membentuk kerajaan baharu.
Dalam membuat perubahan terhadap satu-satu kerajaan, tiada istilah pintu depan mahupun pintu belakang, asalkan perubahan itu dilakukan mengikut sistem demokrasi, undang-undang dan perlembagaan. PAS menganggap perubahan itu sebagai sah, meskipun ia dilakukan menerusi 'tingkap'.
PM kita Muhyiddin sekarang sedang mnyelesaikan masalah-masalah teknik dalam partinya, semoga berjaya Insya Allah!

2 comments:

Anonymous said...

Hoi mamak tongkang, rakyat kenal lu sapa..

Anonymous said...

Dah terima semula masih tak sah?...

Pakai undang2 mana?..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails