Sunday, June 14, 2020

'Jangan cakap banyak - Khabib'. Bagaimana Gusti Dalam Islam?


SUKAN

Jangan cakap banyak - Khabib


LONDON: Khabib Nurmagomedov akhirnya bersuara selepas musuhnya, Conor McGregor mengumumkan persaraan daripada MMA buat kali ketiga.
McGregor membuatkan peminatnya pening kepala minggu lalu apabila mengumumkan dia bersara kerana 'sukan itu tidak lagi mengujakan saya'.

Khabib, yang mendominasi McGregor sebelum menang pada pusingan keempat ketika mempertahankan gelaran lightweight pada 2018, sebelum ini tidak memberi komen terhadap keputusan seteru utamanya itu tetapi mula memberi kenyataan di media sosial terhadap atlet Ireland itu.
Permusuhan peribadi mereka berlanjutan pada UFC 229 yang bertukar buruk membabitkan pasukan masing-masing selepas pertarungan.
Khabib menerusi Instagram semalam berkongsi detik penting pertarungan berkenaan dengan kapsyen: 'Jika anda tidak tahu… Jangan cakap terlalu banyak. Orang akan buat atau hanya bercakap. Dan lebih baik menjadi mereka yang melakukannya.'
McGregor, 31, tidak mempunyai lawan selepas Justin Gaethje menewaskan Tony Ferguson untuk Kejuaraan UFC Interim Lightweight seterusnya menempah pertarungan dengan Khabib yang dijangka berlangsung pada musim luruh.
Atlet sukan mempertahankan diri dari Dublin itu mengumumkan persaraan pagi Ahad lalu dan kemudian berkata 'perlu menunggu sesuatu yang tidak disukai dan kerana 'tiada apa yang berlaku, sukan itu tidak lagi mengujakannya'. - Agensi
Bersukan bukan untuk berseronok sahaja sebaliknya sebagai satu daripada cara untuk bermasyarakat. - Foto hiasan Bersukan bukan untuk berseronok sahaja sebaliknya sebagai satu daripada cara untuk bermasyarakat. - Foto hiasan
Komen Weblog Ibnu HasyimSukan atau riadah, bukan sahaja baik untuk kesihatan, bahkan boleh jadi medan untuk dakwah dan dapat menyatukan masyarakat.
Melhat dalam sejarah Islam, Rasulullah SAW sendiri bukan sahaja menyarankan umat Islam bersukan, bahkan Baginda sendiri memiliki kecergasan dan kekuatan hebat. Di zaman beliau, ada seorang  pemimpin Arab yang juga ahli gusti terkenal, bernama Rukanah ibnu Abdu Yazid RA. Rukainah  memeluk Islam selepas dikalahkan dalam pertandingan gusti dengan Rasulullah SAW.
Tokoh Quraisy itu memiliki badan tegap dan sasa yang hebat bergusti hingga mengalahkan mana-mana juara gusti di Tanah Arab pada zamannya. Bagaimanapun, berhadapan dengan Rasulullah SAW, ternyata menjadi pengalaman mengejutkan kerana Baginda Rasul berjaya memegang badan Rukanah, lalu membantingkannya ke tanah.
Malah perlawanan itu diulang sebanyak tiga kali atas permintaan Rukanah tetapi ketiga-tiga perlawanan itu menyaksikan Rasulullah SAW berjaya mengalahkannya hingga akhirnya akur dan mengalah.
Rukanah berkata: “Wahai Muhammad, tiada siapa pernah dapat membaringkan aku hingga jatuh terlentang dalam pertarungan selain daripadamu! Sebelum ini, engkaulah paling aku benci tetapi sekarang, aku menyaksikan tiada Tuhan yang lebih benar yang berhak disembah melainkan Allah SAW dan Nabi Muhammad SAW itu Rasul-Nya.” (HR Abu Daud dan Tirmizi)
Juara Lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC), Khabib Nurmagomedov di atas, pernah mengucapkan takbir semasa menang perlawanannya.
Rasulullah SAW bersabda: Orang beriman yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang beriman lemah. Dan masing-masing ada kebaikannya. (HR Ibnu Majah)
Sirah juga mencatatkan Rasulullah SAW berlumba lari dengan isteri Baginda, Saidatina Aishah RA, sekali gus membuktikan sukan merapatkan hubungan kekeluargaan. Kali pertama Nabi SAW kalah, manakala perlumbaan kali kedua pula menyaksikan Baginda menang.
Boleh sahaja jika Baginda sentiasa menang tetapi sengaja kalah untuk melihat Aishah seronok. Banyak unsur kekeluargaan boleh diterapkan dalam sukan seperti kasih-sayang, tolak-ansur dan kegembiraan ahli keluarga.
Jadi, tidak hairanlah Saidina Umar al-Khattab RA juga menyarankan anak-anak diajar memanah, menunggang kuda dan berenang. Masjid boleh menjadi medan menyuburkan sukan sebagai landasan berdakwah dengan menyediakan gelanggang atau aktiviti riadah bersesuaian.
Masjid Nabawi pernah dijadikan gelanggang sukan melontar lembing oleh orang Habsyah dan Rasulullah SAW tidak menghalang aktiviti berkenaan. Kini sudah banyak masjid membina gelanggang futsal dan kemudahan riadah yang lain di kawasan rumah Allah itu.
Imam al-Ghazali berkata, sesiapa yang menghalang anak bermain dan bersukan, dia menghalang daripada kecerdikan.
Sukan Menurut Syariat.  
• Memelihara bahagian tubuh atau aurat menurut hukum Islam, iaitu antara pusat hingga lutut bagi lelaki, manakala aurat wanita ialah seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan.
• Memastikan jurulatih dan atlet daripada jantina sama. Sekiranya berbeza, batas pergaulan perlu dijaga selaras tuntutan syarak seperti jurulatih lelaki tidak boleh menyentuh ahli sukan wanita, begitu juga sebaliknya.
• Pakaian sukan perlu memenuhi etika berpakaian ditetapkan syarak seperti menutup aurat, sopan dan bersesuaian dengan sukan diceburi, manakala pakaian wanita perlu longgar dan tidak menampakkan susuk badan.
• Percampuran bebas antara lelaki dan wanita semasa bersukan dilarang. Tempat bersukan seperti gimnasium dan kolam renang perlu disediakan berasingan atau melaksanakan jadual masa penggunaan berlainan.
• Tidak boleh bersukan hingga melalaikan kewajipan agama seperti solat.
• Tidak mempedulikan kepentingan orang lain seperti bermain di jalan raya hingga mengganggu lalu lintas, membuat bising atau menyebabkan kecederaan kepada pihak lawan kecuali kemalangan atau tidak sengaja.
• Sokongan keterlaluan khususnya penyokong fanatik hingga mencetuskan pergaduhan atau mengeluarkan kata-kata kesat, bercanggah dengan Islam yang menyeru kepada perpaduan dan kasih sayang.
• Islam melarang jenis sukan terlalu ekstrim, berisiko tinggi dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada fizikal, mental serta spiritual umpamanya pertandingan makan makanan eksotik seperti kala jengking dan labah-labah, haram, najis, kotor serta menjijikkan.
• Wanita Muslim dilarang menyertai sukan yang bercanggah dengan fitrah kewanitaan dan bertentangan adab, adat serta tatasusila
Sekian. Wassalam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails