JELI: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairudin Aman Razali melahirkan harapan dan yakin dengan pembangunan industri pati minyak gaharu di negeri Kelantan khasnya dan negara amnya.
Harapan itu diluahkan semasa lawatan kerja ke kilang pemprosesan Pati Minyak Gaharu (PMG) di sini hari ini.
Lawatan itu adalah yang kali pertama sejak Dr. Mohd Khairuddin dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bertujuan untuk melihat pembangunan perusahaan pembuatan PMG negara.
Selain itu, beliau menyaksikan sendiri penglibatan penduduk luar bandar dan masyarakat di dalam sektor industri gaharu.
Melihat sendiri proses minyak gaharu di Jeli. – Foto: ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI
Ia bermula dengan fasa perladangan, proses inokulasi pada pokok karas, pemprosesan gaharu (blok dan serpih), pemprosesan PMG dan pemasaran produk di pasaran tempatan serta antarabangsa yang dilaksanakan oleh syarikat Oud Agarwood Sdn Bhd di Kuala Balah, Jeli.
Katanya, industri penanaman karas terus berkembang pesat dengan bertambahnya bilangan ladang pokok itu di Malaysia.
Tambahnya sehingga Disember 2019, sebanyak 217 syarikat/individu telah berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sebagai penanam karas berkeluasan 2,398 hektar dengan jumlah pokok sebanyak 2.3 juta.
Menurut beliau, jumlah pengeksport serta pengimport gaharu yang berdaftar dengan MTIB adalah sebanyak 13 syarikat bahkan sebanyak 22 syarikat dan individu adalah pengilang PMG.
Manakala tambahnya lebih 50 syarikat pengusaha produk gaharu dikenal pasti di seluruh Malaysia.
Dr Khairudin turut mengadakan pertemuan dengan pemain industri gaharu untuk mendengar pandangan mereka dalam usaha memperluaskan lagi potensi industri tersebut sehingga ke peringkat hiliran seperti usahawan wangian berasaskan gaharu dan lain-lain.- HARAKAHDAILY 21/6/2020
No comments:
Post a Comment