Tuesday, June 23, 2020

Pembunuh Adib tetap akan didakwa – Takiyuddin


KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan bagi mengesan pelaku yang terlibat dalam kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti dua atau lebih individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan.



“Kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim hanya dapat diteruskan selepas pihak polis berjaya mengenal pasti dan menahan pembunuhnya untuk didakwa.
“Oleh sebab itu, pihak polis perlu menjalankan siasatan dan perkara ini sudah dibentangkan dalam Kabinet.
“Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya hasil daripada siasatan pihak polis, kita tunggulah,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Tujong, Kota Bharu semalam.
Menurutnya, tempoh mendapatkan hasil siasatan ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi tetapi dalam kes jenayah tidak ada tempoh masa yang khusus.
Allahyarham Muhammad Adib, meninggal dunia di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.
Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.
Sementara itu, berhubung cadangan pindaan undang-undang mengenai pemandu mabuk (Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Takiyuddin berkata, perkara itu kini berada di peringkat akhir dan akan dibawa ke kabinet selewat-lewatnya dua minggu lagi.
“Akta ini di bawah Kementerian Pengangkutan dan kita turut terlibat untuk memberi input bagi mencari suatu pendekatan yang berkesan bagi mengatasi kemalangan maut akibat pemandu mabuk.
“Pindaan ini juga ke arah membendung kesalahan memandu ketika mabuk walaupun tidak melibatkan kemalangan. Perkara ini akan diberi penekanan sebagai langkah pencegahan kerana membendung pemanduan ketika mabuk itu boleh mengelakkan kemalangan maut,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 22/6/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails