Tuesday, June 09, 2020

Persiapan seorang wanita -– T/Menteri Pembangunan Wanita..


Wanita adalah ‘Suri Ummah’ – Siti Zailah

APABILA berbicara menggenai peranan wanita, sesungguhnya mereka sangat penting. Malah, jika dilihat terutama di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), betapa besarnya peranan ibu dalam memastikan kesihatan, dan kebajikan untuk anak-anak dan keluarga di rumah. Besarnya pengorbanan ibu, pengorbanan isteri dalam membantu untuk melahirkan keluarga yang sejahtera.

Tetapi peranan wanita tidak cukup semata-mata untuk diri dan keluarga sendiri saja. Wanita ada tanggungjawab yang lebih besar, sesuai Allah S.W.T menciptakan wanita dengan sebaik-baik kejadian. Allah S.W.T menciptakan sama ada lelaki dan wanita adalah sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Sudah tentulah peranan ini sangat luas, sangat besar, bukan sekadar sebagai isteri, sebagai ibu, malah juga memainkan peranan dalam memastikan pembangunan negara terutama dari sudut pembangunan insan, dan pembangunan material untuk memastikan kejayaan, kecemerlangan, dapat dikecapi dunia dan akhirat.

Dalam mendepani tanggungjawab terutama sebagai ibu, sebagai isteri dan bagi yang ada ibu bapa, jangan lupa santuni ibu bapa sebaik mungkin, jadilah anak yang soleh dan solehah yang sentiasa berbakti kepada ibu dan ayah.

Begitu juga mesti tunjukkan kecaknaan kepada jiran-jiran, kaum kerabat dan kepada masyarakat seluruhnya. Inilah besarnya peranan sebagai seorang wanita. Untuk mencapai hasrat ini, wanita sudah tentulah perlukan persiapan.


Persiapan seorang wanita

Di antara persiapan yang penting ada pada diri seorang wanita ialah persiapan ilmu. Persiapan ilmu inilah yang menjadi teras kekuatan untuk mencapai kecemerlangan dalam melaksanakan tugas sama ada dalam keluarga ataupun dalam masyarakat.

Oleh itu kepada seluruh wanita-wanita terutama ibu-ibu dan kepada anak-anak kita, mari sama-sama isikan dada, jadikan diri ini menjadi orang yang sentiasa cinta kepada ilmu mengisi minda kita dengan ilmu yang bermanfaat di dunia dan akhirat.

Sudah tentulah dalam mendepani untuk kita mencapai kecemerlangan daripada dalam ilmu ini kita perlu kepada kesabaran. Kadang-kadang ada di kalangan kita yang terpaksa belajar menggunakan sistem online, ada yang belajar menggunakan media yang ada hari ini. Apa jua ruang yang ada, kita manfaatkanlah insyaAllah, semoga ilmu sentiasa bertambah dalam dada kita, dan sentiasa kita berpegang dengan perintah yang diperintahkan oleh Allah S.W.T supaya kita sentiasa menjadi insan yang sentiasa takut kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T berfirman:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ قُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِیكُمۡ نَارࣰ
(At-Tahrim: 6)
“Wahai orang yang beriman, jagalah diri kamu, jagalah ahli keluarga kamu daripada api neraka.”



Tanggungjawab sebagai ibu bapa, sebagai pendidik, bukan semata-mata untuk mendidik anak, berjaya dalam akademik semata-mata. Tetapi peranan kita ialah bagaimana untuk menyelamatkan keluarga supaya cemerlang di dunia dan akhirat, supaya selamat daripada api neraka.
Dan inilah perlu ada dalam setiap ibu dan ayah untuk meletakkan hala tuju yang jelas ke mana keluarga yang mereka nak bawa.
Jadi dalam mendepani arus perdana pada hari ini, wanita yang menjadi suri dalam rumah tangga, dan dia juga menjadi suri kepada ummah yang menjadi ibu kepada ummah ini, mestilah memainkan peranan yang penting.
Tanggungjawab kita mencegah amar makruf nahi munkar, bermula daripada nahi munkar dalam diri kita, nahi munkar dalam keluarga kita, nahi munkar kepada jiran-jiran kita, kita juga berperanan menjadi untuk kita mengajak masyarakat supaya jauh daripada kemungkaran, di dalam keseluruhan masyarakat di sekeliling kita.
Jadi itulah besarnya peranan kita. Dalam melaksanakan tugas ini, sudah tentulah kita tidak boleh keseorangan. Kita mesti bersama dengan jamaah, kita mesti bersama-sama bina kekuatan ini. Allah S.W.T berfirman dalam al-Quran:
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةࣱ یَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَیۡرِ وَیَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
(Ali-Imran: 104)
“Hendaklah ada di kalangan kamu suatu ummah yang menyeru kepada makruf, dan mencegah daripada munkar, dan mereka inilah orang-orang yang beruntung.”
Inilah hebatnya orang beriman, masyaAllah.


Bina ketakwaan diri
Kalau kita kembali kepada Ramadan yang baru saja kita meninggalkan bulan Ramadan, Allah S.W.T menyebutkan, Allah:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
(Al-Baqarah: 183)
“Wahai orang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan kepada umat-umat yang sebelum daripada kamu.”
لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
(Al-Baqarah: 183)

Apa maksudnya?
Allah menggunakan kalimah ‘tattaqun’, bermakna takwa ini mesti berterusan, dia bukan semata-mata hanya takwa di bulan Ramadan, tetapi amalan takwa yang kita amalkan di bulan Ramadan ini mesti diteruskan sepanjang tahun, sepanjang hidup kita, di mana kita berada.
Sama ada di pejabat, sama ada di rumah, sama ada di tempat perniagaan, tempat mencari rezeki, kita mesti menjaga nilai takwa. Jadi sebab itulah seorang wanita yang berjaya ialah mampu memelihara dirinya di mana sahaja dia berada.

Kalau dia sebagai pegawai di pejabat, dia mampu menjaga diri dia, tidak terlibat dengan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah. Apalagi terlibat dengan rasuah, apalagi dengan berpakaian menjolok mata, apalagi perbuatan-perbuatan yang  boleh mengundang fitnah sehingga berlakunya gangguan seksual dan sebagainya, hubungan antara pekerja lelaki dan pekerja wanita, batas-batas pergaulan mesti dijaga, tutur kata dan akhlak mesti dijaga.
Jadi, wanita mukmin yang sebenar bukan semata-mata dia menjaga batasan akhlaknya di dalam rumah tangga, tetapi di mana saja mereka berada, mereka menjaga ketinggian akhlak, mereka menjaga syariah Islam.
MasyaAllah, inilah sebenarnya yang kualiti yang tidak ada kepada wanita yang tidak beriman. Sebab itulah saya sangat mengharapkan terutama di bawah Kementerian Wanita untuk membangunkan wanita Malaysia, wanita yang mempunyai keperibadian tinggi, wanita yang bermaruah, wanita yang mempunyai akhlak yang mulia, wanita yang bukan semata-mata meletakkan agenda kebendaan dalam hati mereka. Malah cinta kepada Allah, mencari keredhaan Allah adalah di antara perkara yang paling penting di dalam hidupnya.

Sebab wanita yang beriman yang bertakwa, walaupun sehebat mana, walaupun setinggi mana mereka kenal diri dia siapa, apa tujuan hidup dia di muka dunia, maka dia tidak akan sombong, dia tidak ada perkara-perkara yang bercanggah dengan perintah Allah. Sebab dia takut akan dihisab oleh Allah S.W.T.
Ini yang kita nak lahirkan, yang nak mencorakkan sebuah masyarakat yang membangun, sebuah masyarakat yang cemerlang, sebuah masyarakat yang hebat. Kita nak lahirkan dalam wanita dalam negara kita wanita yang mempunyai minda, intelektual, dan intelektual yang tinggi, mempunyai peribadi yang tinggi. Dan mempunyai wawasan yang tinggi.
Dan di samping itu, jauh sekali daripada melakukan perkara-perkara yang tidak diredhai oleh Allah. Amat malang kalau ada dalam negara kita masyarakat yang masih memandang sepi kepada golongan-golongan yang menutup aurat. Ada lagi golongan-golongan yang masih merasakan kebebasan mereka yang berkiblat kepada Barat.
Ini ada satu perkara yang malang, sehingga mereka sanggup melakukan perkara songsang, LGBT dan sebagainya. Ini adalah satu sangat yang bercanggah dengan kehidupan kita sebagai insan yang diciptakan oleh Allah. Kita sebagai hamba Allah S.W.T.

Masyarakat yang mahu dilahirkan
Kita nak lahirkan dalam masyarakat kita dalam ummah kita masyarakat, seorang wanita yang boleh membangunkan ummah. Wanita yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ummah, wanita yang boleh mencorak masa depan ummah, wanita yang boleh meletakkan masa depan negara kepada kedudukan untuk kita membawa negara kepada ke arah keredhaan Allah S.W.T.
Apabila saya membaca statistik yang berkaitan dengan keruntuhan institusi keluarga dalam negara kita, saya sangat bimbang. Saya sangat bimbang, saya sangat terasa masyaAllah bagaimana untuk kita menyelamatkan ummah.
Bayangkan statistik kadar penceraian dalam negara kita sangat-sangat membimbangkan. Dalam masa satu jam, 4 kes penceraian berlaku. Bermakna dalam setiap 15 minit purata ada satu kes penceraian berlaku.
Dan purata penceraian berlaku dalam tempoh perkahwinan seawal 5 tahun, dan purata kebanyakan mereka yang bercerai adalah pasangan yang berumur 30-an, bawah daripada 35 tahun. Bermakna mereka masih lagi mempunyai anak-anak yang kecil, keluarga yang masih lagi jauh lagi perjalanan. Tetapi mereka sudah terkandas dalam membina bahtera keluarga.
Kenapa berlaku demikian? Mungkin kerana kejahilan, mungkin kerana ilmu. Jadi sebab itulah untuk menyelamatkan masyarakat ummah kita, kena bina ibu-ibu yang mempunyai ilmu yang mantap, ayah yang mempunyai ilmu yang mantap.
Ibu yang tahu tanggungjawab, ayah yang tahu tanggungjawab. Sebab daripada ilmu dan kefahaman dan daripada iman dan takwa inilah yang akan menyelamatkan keluarga. Sebab kita ada tanggungjawab dengan Allah. Bukan semata-mata kita bina keluarga antara kita dengan pasangan kita, suami, tetapi sebenarnya kita akan disoal oleh Allah S.W.T.
Jadi sebab itulah saya mengharapkan kepada wanita-wanita yang di luar sana, marilah sama-sama kita berbakti kepada negara kita, kepada bangsa kita, dan kita contohilah Ummul Mukminin Saidatina Aisyah, kita mencontohi Ummul Mukminin Saidatina Khadijah, dan isteri-isteri Rasulullah S.A.W dan para Sahabiyah yang mempunyai berbagai keistimewaan yang sarat dengan idola, untuk kita jadikan qudwah hasanah contoh dalam kehidupan kita.
Jadi kita jadikanlah qudwah kita golongan, wanita-wanita hebat yang menjadi penyambung kepada perjuangan risalah Nabi S.A.W.
InsyaAllah dalam suasana negara kita hari ini, kita memahami dalam keadaan kita berdepan lagi dengan pandemik COVID-19, ramai di kalangan kita yang terpaksa berhenti kerja, ada yang terpaksa dibuang kerja, ada yang berdepan dengan tekanan ekonomi, ada yang mereka yang berniaga dah mungkin tak boleh berniaga lagi, saya sangat memahami dan merasai kesusahan tekanan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat dan masyarakat kita di luar sana.
Tetapi kita harus bersabar, rezeki daripada Allah S.W.T. Jangan kita putus asa, jangan kita kecewa, kita kena sabar dalam berumah tangga, kita kena saling bantu membantu, dan kita saling tolong menolong dan kita jangan bebankan pasangan kita perkara-perkara yang pasangan kita tidak mampu.
Satu perkara yang saya nak ingatkan, isteri jangan beban suami dengan perkara yang suami tidak mampu. Begitu juga suami jangan biarkan isteri terbeban sehingga kita, isteri rasa amat tertekan dengan kepenatan, keletihan. Hargailah pengorbanan ahli keluarga kita.
Kita nak lahirkan dalam masyarakat kita keluarga yang sentiasa prihatin, yang sentiasa mengambil berat, yang sentiasa mengambil cakna, yang sentiasa dekat dengan ahli keluarga, terutama kerabat yang terdekat.
Di musim hari raya ini, ambillah kesempatan, hubungilah silaturahim. Kalau sekarang kita tidak boleh menziarahi kerana atas arahan PKP COVID-19 sekarang, kita boleh hubungi mereka dengan kita menghubungi menggunakan media baru, video call, ataupun telefon, tanya khabar, mak saudara kita, tanya khabar sepupu kita, tanya khabar anak cucu kita, tanya khabar ibu bapa kita. Kalau mereka memerlukan kewangan, kita bank in saja sumbangan, dalam sebab kita memahami dalam suasana hari raya ada yang tertekan kerana mereka tak dapat keluar bekerja, putus kewangan.
Bagi keluarga yang mampu, bantulah keluarga terdekat. Inilah ruang sebenarnya unntuk kita menambah pahala insyaAllah, supaya pahala kita berterusan.
Dan ingat, apabila kita buat baik kepada keluarga, kita buat baik kepada kaum kerabat, keberkatan, keberkatan daripada Allah S.W.T, Allah akan ganti setiap rezeki yang kita sedekahkan, yang kita hadiahkan kepada keluarga yang terdekat, yang memerlukan Allah ganti dengan rezeki yang lebih baik. insyaAllah.
Jadi sebab itulah apabila kita berpegang dengan Islam, insyaAllah di mana jua kita akan berada, dalam keadaan apa jua kita akan rasa tenang. Jadi sebab itulah teruskanlah amalan baik kita yang kita telah lakukan sebulan di bulan Ramadan, qiamullail kita, baca Quran kita, zikrullah kita, sedekah kita, kita teruskan sepanjang hidup kita insyaAllah.
Dan manfaatkanlah dalam musim pandemik COVID-19 ini, tambahkan ilmu dengan pelbagai cara, pendekatan yang ada di samping kita mengisi program-program yang baik kepada anak-anak kita di rumah kita insyaAllah supaya jadual mereka teratur, mereka mendapat pengisian yang penuh, kehidupan yang sangat bererti dengan kasih sayang insyaAllah.

Nasihat untuk anak muda
Jadi apabila kita berbincang tentang COVID-19 ini, saya ingin nasihat sedikitlah terutama kepada anak-anak muda hari ini yang berdepan dengan pelbagai cabaran. Kadang-kadang, anak-anak muda lepas graduan, mereka memilih kerja.
Nasihat saya kepada mahasiswa-mahasiswi kita, terimalah seadanya, jangan memilih sangat. Kita cari pengalaman dulu, walaupun mungkin gaji tak seberapa, tak apa. Inilah ruang untuk kita menimba pengalaman insyaAllah. Kita tengok bagaimana bapa-bapa kita, ibu-ibu kita dulu, mereka memelihara anak-anak mereka hanya kerja menoreh getah, hanya kerja hanya buat kuih saja, tetapi dia mampu menyara hidup anak-anak berbelas-belas orang anak, berjaya sampai ke peringkat universiti hanya kerja sebagai petani, hanya kerja sebagai pekebun.
Jadi bukan nilaian kedudukan jawatan itu menjamin rezeki. Rezeki itu Allah akan bagi macam-macam cara:
وَمَن یَتَّقِ ٱللَّهَ یَجۡعَل لَّهُۥ مَخۡرَجࣰ
وَیَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَیۡثُ لَا یَحۡتَسِبُ
(At-Talaq: 2-3)

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan bagi rezeki yang tidak terduga.”
Inilah bagaimana kehebatan Allah, Allah jamin rezeki bagi orang yang bertakwa kepada Allah. Jadi bagi saya dalam berdepan dengan cabaran ini, saya mengharapkan kita insyaAllah hadapilah segala cabaran dengan keimanan dan ketakwaan, dengan penuh kesabaran.
Apabila kita berdepan dengan cabaran yang ada, mungkin kalau kita di pejabat, kalau bagi wanita yang rasa tertekan dengan suasana pejabat, cuba atur. Mungkin ada kita buat perbincangan dengan pihak pengurusan, ataupun kita berbincang dengan bos kita, macam mana kita nak susun atur supaya kerja kita jadi ibadah, supaya kita happy, kita riang dalam bekerja.
Maknanya kita mesti kena positif dalam apa  jua cabaran. Kalau kita berdepan dengan tekanan. Contoh kita berdepan dengan mungkin ujian, ada orang yang dengkikan kita, dalam berdepan dengan melaksanakan tugas kita ataupun ada seseorang yang mungkin tak puas hati dengan kita, kita banyakkan doa kepada Allah.
Pengalaman saya, kalau berdepan dengan cabaran, apa yang saya buat ialah saya banyakkan doa, saya banyakkan solat hajat, insyaAllah apabila kita banyakkan doa, solat hajat, Allah permudahkan urusan. Urusan yang kita tak terfikir pun dia jadi  mudah. Allah akan bantu kita. insyaAllah.
Jadi sebab itulah apabila kita dalam mengurus hidup kita ini, apabila kita gantungkan kepada Allah, Allah akan bantu kita bagaimana untuk menghadapi cabaran kita insyaAllah.

Tips mengurus masa
Satu lagi saya akan bagi panduan kepada muslimat, muslimin muslimat sekalian, bagaimana untuk kita terutama anak-anak muda kita di luar sana, macam mana tips mengurus masa.
Sebenarnya setiap kita manusia diberi masa 24 jam, semua kita 24 jam setiap orang. Tak ada yang dapat 30 jam sehari, semua 24 jam sehari. Cuma masa itu macam mana kita nak urus, macam mana kita nak atur masa yang Allah bagi kepada kita supaya masa itu semua kita bermanfaat dan dapat pahala.
Dan sebagaimana kita nak atur supaya hidup kita ini dapat kita memenuhi hak yang banyak. Pertama sekali ialah kita kena disiplinkan masa, kalau pengalaman saya, saya ikut waktu solat, waktu sembahyang. Mulakan masa hidup kita terutama di waktu pagi dengan tahajud.
Kita mulakan dengan awal pagi, jangan mulakan dengan Subuh. Mulakan dengan tahajud. Sebagaimana sebulan kita ditarbiyah bulan Ramadan, kita bangun sahur pukul 4 pagi, kita baca Quran, kita solat, kita sahur, maka amalan itu diteruskan. Mulakan dengan tahajud.
Kalau bagi suri-suri rumah, yang mereka berkerjaya, mereka juga ada anak-anak, waktu awal pagi sangat penting, kita bangun awal, itulah masa sebenarnya untuk kita munajat kepada Allah, sebagai seorang ibu, seorang pekerja, seorang wanita, yang kita juga isteri, yang kita juga ibu, yang kita juga pekerja, yang kita juga pejuang, yang kita juga daie dalam masyarakat, kita perlu kepada ketenangan.
Macam mana kita nak dapat ketenangan? Kena banyak hubungan dengan Allah. Bangun solat, munajat. Kalau kita ada masalah, menangis depan Allah, biar basah sejadah. Serahkan seluruh masalah kita kepada Allah, transfer masalah kita, memberitahu kepada Allah;

“Ya Allah, aku berdepan dengan masalah, Engkau sahaja mampu, yang mampu menolongku.”
Serahkan diri kita kepada Allah. Tawakal kepada Allah. InsyaAllah Allah akan membantu kita. Allah menyuruh kita:
وَٱسۡتَعِینُوا۟ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ
(Al-Baqarah: 45)
“Pohonlah pertolongan kepada tuhanmu dengan sabar dengan sembahyang.”
Jadi kita kena banyak hubungan dengan Allah, insyaAllah. Apabila di sana, apabila kita kalau dalam keluarga kalau kita ada anak-anak kecil, mungkin ibu-ibu yang ada anak-anak kecil. Pergi pejabat, ada juga yang rasa tekan sebab tak ada orang gaji, sabar, ya. Sabar, sebab saya pengalaman saya sampai sekarang ini saya dah lebih 30 tahun berada dalam bidang politik dan lepas 18 tahun lebih berada sebagai Ahli Parlimen, sampai sekarang Timbalan Menteri, sampai hari ini saya tidak ada orang gaji di rumah. Saya tak pernah pakai orang gaji.
Mengurus masa sebenarnya mudah, kalau kita atur dengan baik. Jadi macam mana nak mengurus masa, awal pagi selepas kita bangun awal, di situlah kita mula buat kerja rumah, kita basuh kain, sambil itu kita masak nasi, sambil itu kita kemas rumah, sambil itu kita berdoa berzikir, sebab tidak ada gangguan telefon, tak ada gangguan jiran, anak-anak semua tidur, masyaAllah seronok.
Kita berasa puas hati apabila kita sembahyang. Bila Azan Subuh, lauk pun dah siap, pakaian pun dah sidai, rumah pun dah kemas, sampah pun kita dah bungkus dah siap, sembahyang pun kita dah buat, baca Quran pun kita dah buat, kita puas hati.
Cuma kita kejutkan anak-anak kita bangun solat Subuh jamaah dengan kita saja. Maknanya kita boleh pergi awal ke pejabat sebab makanan, sarapan dah siap. Maknanya kita kena atur.
Sebab itulah Kak Lah selalu bagi tips kepada orang-orang muda, simpan lauk dalam peti itu simpan lauk yang sudah masak, jangan simpan lauk mentah, sebab dia akan menjimatkan masa kita sangat banyak
Apabila kita nak masak makanan itu, kita simpan itu lauk yang kita buat, contoh gulai ke, kita nak buat sup ke, nak buat sambal, kita buat banyak, kita letak dalam bekas sekali makan, sekali makan, sekali makan, kita letak dalam peti. Kemudian apabila kita nak masak nak cepat, kita ambil, panaskan, ataupun lembutkan saja. Dia sangat menjimatkan masa kita.
Kalau bayangkan kalau kita letak lauk yang mentah, nak cairkan dia itu makan masa. Dah lepas itu nak masak lagi, letih lagi, penat lagi, akhirnya berlakulah.
Biasanya orang perempuan ini selalu apabila dia dalam keadaan letih, di situlah dia mula nak marah-marah, mula dia nak bergaduh dengan orang, sebab dia penat sebenarnya. Jadi nak hilangkan penat, kena atur masa kita insyaAllah, supaya kita dapat menjimatkan tenaga kita.
Satu lagi ialah, kerjasama ahli keluarga. Ini sangat penting untuk mengurus masa kita. Kita kena bahagikan tugas antara keluarga. Dalam keluarga kita, kita ada ahli-ahli keluarga, suami kita, anak kita, adik-adik kita, kita kena bantu supaya mereka juga boleh membantu kita. Di masa yang sama, kita buat kerja ini, anak kita buat tugas ini. Jadi kena susun atur jadual di rumah.
Kalau saya, saya atur jadual, kita buat timetable jadual. Anak yang pertama bantu ummi apa. Anak yang kedua bantu ummi apa. Jadi semua kita kena letakkan dalam jadual. Esok tukar lain pula.
Jadi dia akan sangat memudahkan urusan. Sampai sekarang pun macam itu lagi. Kalau saya dengan anak dengan suami, walaupun anak dah besar-besar, saya akan atur bagi tugas, dua tiga empat program pun kita akan bahagi-bahagi tugas untuk memudahkan urusan insyaAllah. Jadi makna itu dari sudut tips pengurusan masa.
Dan kita cubalah amalkan doa-doa dan zikir insyaAllah. Doa-doa dan zikir ini yang akan memberi kekuatan kepada kita. Jangan tinggal zikir dan doa al-Mathurat, baca, sebab ini adalah benteng diri kita daripada segala anasir-anasir yang tak baik. insyaAllah. Ini doa Nabi S.A.W.


Petua dan amalan peribadi
Dan satu lagi ialah kita kena amalkan al-Quran, menjadi sentiasa menjadi bacaan setiap hari, barakah daripada al-Quran itu menyebabkan hati kita sentiasa tenang.
Dan satu lagi ialah suka memaafkan orang, jangan dendam. Sifat dendam, sifat dengki, sifat mazmumah ini menyebabkan hati kita berpenyakit. Kalau kita nak jadi orang yang sihat, orang yang kuat, muslimah yang kuat, mesti buang penyakit. Kes kalau kita nak lawan Corona Virus ini pun kita berpadu tenaga di seluruh, kerajaan berpadu tenaga dengan semua agensi Kerajaan, apa lagi kita nak lawan penyakit-penyakit yang boleh membahaya, sifat-sifat mazmumah dalam diri mesti kita gabung jalin dalam keluarga kita.
Kita buang segala sifat dengki, sifat sombong, sifat bermegah-megah, apa jua sifat itu kena buang dalam diri kita, apalagi sifat dendam, buang. insyaAllah apabila kita menjadi orang yang suka memaafkan orang, hati kita tenang. Hati kita tenang.
Dan satu lagi petua saya ialah, iaitu kita memadai dengan apa yang ada. Jangan menjadi orang yang tamak, jangan jadi orang yang terlalu cinta kepada dunia, tetapi kita meletakkan cinta dan kasih kita kepada Allah adalah tempat kita.
InsyaAllah jika semua ini kita buat dengan baik, kita akan jadi orang yang insyaAllah bijak dalam mengurus masa. Dan sebelum saya mengakhiri, ada tiga magic word yang saya nak kongsikan bersama pada tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini iaitu dalam hidup keluarga ini, sudah tentulah kita kena ada komunikasi yang baik dalam keluarga.
Di antara komunikasi yang baik dalam keluarga ialah sentiasa minta tolong. Kalau kita ada sesuatu yang kita perlu dibantu, kita minta tolong adik, boleh tak tolong mak ataupun tolong ummi? Minta tolong dengan cara yang baik.
Dan apabila mereka tolong kita, kena sentiasa ucapkan terima kasih. Jangan lupa, suami kena ucap terima kasih kepada isteri. Isteri kena ucap terima kasih kepada suami. Anak ucap terima kasih kepada mak. Mak ucap terima kasih kepada anak. Dan begitu juga kita kena terima kasih kepada kaum kerabat kita, jiran kita, keluarga kita, menantu kita, kena sentiasa ucap terima kasih.
Saya kalau menantu saya tolong gosokkan bajukan, saya nak cepat, saya tak pernah tak ucap terima kasih. Setiap hari. Dengan siapa sahaja yang bantu kita, kita ucap terima kasih.
Dan kena sentiasa meminta maaf dengan suami terutama. Jangan nanti tunggu raya baru nak minta maaf. Nanti kalau nak tunggu raya tahun depan, lagi setahun lagi lah baru minta maaf pula. Jadi kalau boleh setiap hari kita sentiasa minta maaf dengan suami kita, suami minta maaf dengan isteri, hidupkan budaya saling maaf memaafi.
Dan dengan sahabat-sahabat kita, rakan taulan kita di pejabat, ataupun jiran-jiran kita, kita sentiasa lah meminta maaf. Jika sekiranya ada sesuatu perkataan yang mungkin kita nampak dia macam terasa hati. insyaAllah kalau kita hidupkan budaya saling tolong menolong, saling meminta maaf, saling ucap terima kasih antara satu sama lain, insyaAllah kita akan lahir dalam keluarga kita suasana yang sangat tenang, suasana yang sangat damai.
Malah kehidupan ini, kita bina dengan suasana yang kasih sayang kerana Allah, dengan suasana kemesraan kerana Allah. Kita akan terasa bertuah menjadi seorang wanita yang solehah.
Yang mana dalam Islam, wanita yang solehah itu lebih baik daripada seribu lelaki. Ya Allah, yang jadi begitulah tingginya darjat sebagai seorang wanita.
Jadi insyaAllah, kita sebagai seorang wanita, bersyukur kepada Allah, Allah memilih kita menjadi wanita, dan jadilah diri kita wanita yang solehah, wanita yang dicintai oleh Allah, wanita yang dicintai oleh Rasulullah, dan kita juga menjadi wanita yang sentiasa meletakkan cinta tertinggi kita kepada Allah dan Rasul.
Dan insyaAllah sama-sama kita membina keluarga yang sejahtera, insyaAllah.
DATO’ SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Timbalan Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ketua Muslimat PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 8/6/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails