Sunday, June 14, 2020

Politik Islam: Teori Oliver Roy dan saranan al-Maududi


Abul ala al maududi


LATAR belakang
(1) Sebelum ini saya ada menulis mengenai tulisan tulisan Barat tentang kegagalan politik Islam, khususnya yang ditulis oleh Oliver Roy dan penulis penulis yang sealiran dengannya [1]. Mereka menggambarkan kegagalan itu atas acuan Islamofobia.
Tidak dinafikan penulisan mereka turut dikritik oleh penulis penulis Barat juga seperti Samuel Huntington, Shmuel Bar dan lain lain dalam membahaskan istilah fundamentalis. Oliver Roy secara peribadinya menggunakan istilah Islamism.
(2) Oliver Roy menamakan gerakan gerakan Fundamentalis Islam sebagai Islamism, seperti Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Imam Hassan al Banna dan Jamaat Islami yang diasaskan oleh Abul A’la al Maududi.
Dalam kita melihat ‘teori-teori’ Barat dalam menggambarkan kegagalan politik Islam, wajar juga diseimbangkan dengan buku yang dikarang oleh Sayyid Abul A’la al Maududi yang bertajuk Pra-Syarat Kejayaan Harakah Islamiah.
Buku ini diterbitkan oleh Dewan Pustaka Fajar pada 1985 yang telah dialih bahasa ke dalam Bahasa Melayu. Mengandungi 6 bab, Bab Pertama Muqaddimah, Bab Kedua hingga Keempat menghuraikan tentang syarat-syarat kelayakan, 2 Bab terakhir menghuraikan kesilapan-kesilapan.
(3) Di dalam muqaddimah, penulis menyatakan bahawa ramai yang bercita cita untuk melihat peraturan hidup Islam ditegakkan. Namun, terdapat dua halangan utama, iaitu kurangnya keazaman dan juga keupayaan untuk menjayakannya.
Beliau juga turut menyatakan ‘kerajaan’lah yang merupakan pihak terpenting yang boleh membentuk sesuatu peraturan masyarakat dalam masa yang sama, ia jugalah yang boleh merosakkan masyarakat.
Kerajaan itu apabila diserahkan kepada tangan yang rosak akan membawa kepada kekeliruan antara kebenaran dan kebatilan. Masyarakat akan terpinga pinga memikirkan cara bagaimanakah keadaan itu dapat diperbaiki.
Kecewa, kritikan dan angan-angan
(1) Penulis menggambarkan suasana kekeliruan ini menyebabkan timbulnya perasaan kecewa di kalangan penggerak Islam. Yang menghilangkan kekecewaan itu hanyalah satu iaitu meletakkan matlamat perjuangannya semata mata redha Allah S.W.T.
Bilangan mereka yang sedikit itu dapat di ‘cover’ dengan keredhaan Allah S.W.T dan rahmat-Nya. Mereka terus melakukan tugas mereka dengan penuh kegigihan, keilmuan dan kesabaran. Inilah ‘cahaya harapan’ di sebalik awan mendung kekecewaan.
(2) Antara yang dinyatakan oleh penulis:
“Adalah sia sia untuk mengharapkan tertegaknya ketakwaan dan kebenaran melalui ucapan ucapan doa yang mengharukan sahaja. Sebarang nasihat dan teguran (kritik) daripada kita dianggap bernas selagi kita sentiasa melakukan tanggungjawab yang telah ditetapkan Allah dan selagi kita sentiasa berdoa kepada Allah untuk memberi kejayaan atas usaha kita.”
“Oleh itu, bagi mereka yang ingin mengorak langkah, hendaklah mereka berhenti daripada berangan-angan dan mulalah memikirkan tuntutan tuntutan gerakan pengislahan itu sendiri dengan penuh kesabaran. Mereka patutlah pertimbangkan sama ada mereka benar benar ingin berjihad untuk gerakan pembaikan ini atau hanya sekadar merunguti sahaja segala kerosakan yang sedang berlaku dan seterusnya merasa memadai dengan hati mereka sahaja, berangan angan untuk menjalankan usaha pengislahan tadi.”
(3) Di dalam buku ini menghimpunkan 5 isi utama:
a-  Kelayakan peribadi orang orang yang terlibat di dalam kegiatan sesuatu rancangan gerakan Islam;
b-  Kelayakan kelayakan yang perlu ada pada sesuatu jamaah atau gerakan yang memperjuangkan Islam;
c-  Kelayakan yang perlu bagi menjamin kejayaan kejayaan dalam usaha memperkembangkan dan menegakkan cara hidup Islam;
d-  Maksiat atau kemungkaran besar yang perlu dijauhi oleh diri perseorangan dan juga jamaah yang memperjuangkan Islam;
e-  Cara cara untuk mendapat kelayakan kelayakan yang tersebut tadi dan usaha usaha untuk menghapuskan keburukan keburukan yang mengotori diri perseorangan dan masyarakat.
‘Kelayakan’
(1) Buku ini banyak menceritakan mengenai ‘kelayakan’. Penulis menyatakan:
“Untuk menegakkan peraturan Islam di atas muka bumi ini, perkara kedua terpenting untuk menjamin kejayaan selain daripada pertolongan Allah ialah kelayakan (atau mutu) yang ada pada keseluruhan orang orang yang terlibat dalam usaha ini.”
“Seseorang yang tidak berupaya memperbaiki atau membaharui dirinya sendiri tidak akan berupaya untuk memperbaiki atau membawa perubahan pada diri orang lain.”
(2) Dalam bab kedua yang bertajuk ‘Kelayakan peribadi orang orang yang terlibat di dalam kegiatan sesuatu rancangan Harakah Islamiah’, penulis menyenaraikan beberapa kelayakan tersebut:
a-  Mempunyai kefahaman Islam yang sebenar;
b-  Memiliki keimanan yang teguh terhadap Islam;
c-  Watak peribadi (Syakhsiyyah Fardiyyah);
d-  Mengambil Islam sebagai matlamat hidup
(3) Dalam bab ketiga yang bertajuk ‘Kelayakan kelayakan yang perlu ada pada sesuatu jamaah Islamiyyah’
a-  Persaudaraan (Ukhuwwah);
b-  Musyawarah (Asy Syura);
c-  Tata tertib (Disiplin);
d-  Teguran teguran yang membina (Muhasabah)
(4) Bab keempat bertajuk ‘Kelayakan-kelayakan yang sempurna’
a-  Hubungan dengan Allah dengan keikhlasan hati;
b-  Mengingati Hari Akhirat;
c-  Budi pekerti yang mulia;
d-  Ketabahan dan tetap pendirian;
e-  Bijaksana
(5) Bab kelima bertajuk ‘Kesalahan-kesalahan besar’
a-  Sombong (takabbur);
b-  Riya’ (Menunjuk nunjuk);
c-  Niat buruk
(6) Bab keenam bertajuk ‘Kelemahan kelemahan diri manusia’
a-  Mementingkan diri sendiri;
b-  Tabiat tidak seimbang;
c-  Pemikiran yang sempit (singkat akal);
d-  Membuat keputusan yang lemah
Disiplin dan muhasabah
(1) Saya tidaklah berniat nak mengulas setiap bab. Cumanya beberapa gambaran umum tentang keseimbangan dengan teori Barat tentang kegagalan politik Islam yang saya nyatakan di awal tadi. 
Secara umumnya, saya cenderung untuk mengatakan kesilapan yang mengheret kepada kegagalan politik Islam bukan disebabkan sistem Islam, akan tetapi disebabkan sikap orang Islam yang gagal menterjemahkan Islam sebagai sebuah sistem
(2) Keseimbangan yang dijernihkan oleh al-Maududi jelas menggambarkan permasalahan sikap yang mengheret kepada kegagalan politik Islam. Contohnya apabila menghuraikan mengenai ‘Disiplin’;
“Walaupun sesuatu gerakan itu memiliki banyak unsur unsur kebaikan, tetapi ia menemui kegagalan kerana tidak dapat melaksanakan segala apa yang ia rancangkan. Ini adalah kerana tiadanya tatatertib dan kerjasama di dalam pertubuhan tersebut. Pengusaha-pengusaha kemungkaran boleh mencapai tujuan mereka lantaran kekuatan yang pura pura (yakni indah khabar dari rupa)…”
“Harakah atau partai gerakan Islam yang sebegini (berdisiplin) saja yang mampu membuat sesuatu rancangan itu berjaya. Gerakan yang berbentuk lain dari yang ini tidak akan berjaya untuk menyelaraskan serta melicinkan perjalanan seluruh jentera pentadbiran dan pelaksanaannya dengan baik.”
(3) Antara lain, penulis meletakkan kelayakan yang perlu ada pada sesuatu jamaah Islamiyyah ialah terbuka terhadap teguran teguran yang membina (Muhasabah);
“Sesuatu gerakan Islam yang mempunyai pak turut-pak turut (orang yang menurut saja tanpa berfikir panjang atau meneliti, yakni membuta tuli) saja akan mendapati usahanya diresapi kesilapan-kesilapan walaupun mereka sedang melalui jalan yang benar. Ini adalah kerana tiada siapa pun yang menegur kesilapan kesilapan tadi dan juga kerana anggapan bahawa teguran teguran yang diberi itu sebagai satu perlakuan yang tidak beradab atau bersopan. Dengan demikian kesilapan kesilapan tadi terus mendapat perlindungan daripada tindakan yang sewajarnya.”
Tegur-menegur atau Pak Turut?
(1) Al Maududi menghuraikan mengenai ‘muhasabah’ perlu wujud dalam sesebuah gerakan Islam supaya tidak mengulangi kesilapan yang berulang kali dilakukan, sehingga digambarkan oleh Barat sebagai ‘Failure of political Islam’:
“Oleh kerana kurangnya perhatian yang diberi untuk mengatasi kesilapan tadi dan juga disebabkan tiadanya anggota untuk memberi teguran, kesilapan kesilapan itu pun kian membiak. Tiada perkara lain yang lebih merosakkan kesihatan sesebuah gerakan Islam melainkan tiada semangat tegur menegur (nasihat-menasihati) di dalamnya.”
“Adalah sesuatu perkara yang sangat buruk bagi sesebuah gerakan jika ia berusaha menekan dan menutupi peluang-peluang untuk menyuarakan sebarang teguran (kritik). Teguran yang membina ialah alat yang terpenting untuk mengesan segala kesilapan dengan cepat. Dengan demikian usaha untuk mengatasinya pun dapat dilaksanakan secepat mungkin (tanpa berlengah, membazir masa). Kita harus ingat bahawa syarat terpenting bagi sesuatu teguran itu ialah ianya diberi bukan dengan tujuan hendak mencungkil kesilapan semata mata. Sesuatu teguran itu hendaklah dikemukakan dengan tujuan untuk membawa pembaharuan (perubahan ke arah kebaikan).”
(2) Untuk menyeimbangkan teguran, Al Maududi menyatakan:
“Satu lagi syarat yang sama pentingnya ialah bahawa setiap orang yang ingin menegur (mengkritik) hendaklah sedar akan cara cara (adab-adab) yang sewajarnya untuk menyuarakan teguran. Seseorang itu yang bertujuan tidak baik dalam mmberi tegurannya boleh mendatangkan bahaya yang serupa dengan bahaya yang dibawa oleh anasir anasir jahat yang semata mata ingin mencungkil kesilapan-kesilapan gerakannya seolah olah gerakan itu tidak kena caranya atau tidak kena pada tempatnya, yakni tegurannya yang tidak mematuhi peraturan di dalam memberi sesuatu teguran.”
(3) Secara logiknya, sekiranya Barat ingin menjayakan misi menggagalkan politik Islam, mereka akan menyuburkan fenomena pembodohan dalam gerakan Islam. Iaitu melahirkan seramai mungkin ‘pak turut’ atas pelbagai dalil dalil agama yang ditunggangi.
Gerakan Islam yang berlonggok dengan ‘pak turut’ pasti akan mengheret kepada kegagalan politik Islam yang sudah terlalu banyak sejarah kejadiannya. Samada nak salahkan Barat itu beragenda, atau kita sendiri yang sengaja bersikap sedemikian. Fikirkan.
MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 9/6/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails