Tuesday, June 02, 2020

Rusuhan Kaum AS Besar-besaran Beberapa Negeri, Resahkan Pelajar M'sia.

Rusuhan di Detroit, Michigan pada 31 Mei yang menyaksikan beberapa penunjuk perasaan ditahan dan polis menggunakan gas pemedih mata berikutan kematian George Floyd dalam tahanan polis Minneapolis. - Foto AFP
Rusuhan di Detroit, Michigan pada 31 Mei yang menyaksikan beberapa penunjuk perasaan ditahan dan polis menggunakan gas pemedih mata berikutan kematian George Floyd dalam tahanan polis Minneapolis. - Foto AFP
Berkurung di rumah elak bertembung perusuh


KUALA LUMPUR: Insiden kematian lelaki kulit hitam, George Floyd sehingga mencetuskan rusuhan besar-besaran di beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) turut meresahkan pelajar Malaysia di negara itu.
Yassier Mohammed, 23, pelajar Universiti of Wisconsin-Madison, berkata komuniti Malaysia di situ terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.


Pelajar yang berasal dari Ipoh, Perak itu berkata, mereka melarang rakan pelajar keluar berseorangan seperti ke kedai, sebaliknya perlu ditemani terutama membabitkan pelajar wanita yang bertudung.
Selain rusuhan, katanya, mereka juga bimbang ia memburukkan lagi kes jangkitan COVID-19 di negara itu yang kini berada di kedudukan teratas dunia dari segi jumlah kes.
"Berkenaan dengan rasisme di sini, ia mungkin menyebabkan kerisauan pelajar Malaysia di Wisconsin. Setelah curfew (perintah berkurung) sebentar tadi, pelajar Malaysia mengambil inisiatif untuk saling membantu antara satu sama lain.
"Pelajar perempuan yang bertudung misalnya, kami pastikan jika mereka nak beli barang dan pulang, kami akan teman dan hantar balik guna kereta.
"Selain itu, kami di sini juga risaukan perkembangan COVID-19 kerana susulan berlaku perhimpunan awam, demonstrasi aman atau rusuhan mungkin sebabkan peningkatan kes COVID-19 di Amerika Syarikat, negara paling tinggi kes COVID-19 buat masa sekarang," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Menceritakan situasi di kawasan yang terletak berdekatan tempat tinggalnya iaitu State Street, beliau berkata pada awalnya ia hanya membabitkan perhimpunan aman sebelum bertukar menjadi rusuhan pada Sabtu lalu.
Menurut beliau, keadaan bertukar buruk apabila ada sekumpulan individu bertindak ganas sehingga mencetuskan ketegangan.
"Kawasan di State Street masih dikawal oleh polis dan terdapat beberapa kedai yang rosak teruk seperti pintu kaca dipecahkan dan kereta polis terbakar," katanya yang sudah tiga tahun menetap di AS.
Seorang lagi rakyat Malaysia yang menetap di New Jersey, Zainap Asma Abdullah, 34, berkata beliau dan keluarga terpaksa duduk di rumah bagi mengelakkan bertembung dengan perusuh kerana terdapat protes yang berlangsung tidak jauh dari tempat tinggalnya.
Katanya, pihak berkuasa juga menasihatkan orang ramai tidak pergi ke New York terutama di kawasan berlaku protes kerana bimbang boleh menimbulkan insiden tidak diingini.
Katanya, terdapat risiko akan dicederakan jika berada di luar khususnya di jalanan kerana ada pihak yang mengambil kesempatan susulan insiden berkenaan.
"Sekarang ada pihak yang sasarkan orang ramai terutama anggota polis. Tetapi kalau berada di jalan, ada risiko untuk dicederakan sebab berada di tempat salah pada masa yang salah.
"Kalau nak keluar pergi ke mana-mana yang berpotensi berbahaya, saya akan kongsi secara langsung kepada keluarga. Risau apa-apa terjadi," katanya.(BH)

No comments:

Post a Comment