MUHAMMAD Nabil ketika menghantar kerja sekolah kepada muridnya. FOTO ihsan Muhammad Nabil Fikri
PRIHATIN dengan keperluan muridnya, Muhammad Nabil Fikri iaitu guru Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Encheremin, Kapit, Sarawak, sanggup berperahu menghantar kerja sekolah kepada muridnya.
Muhammad Nabil, 29, yang mengajar subjek Bahasa Melayu mengambil masa lebih tiga jam untuk melakukan penghantaran itu kepada murid prasekolah hingga tahun enam yang menetap di 12 rumah panjang sekitar kawasan sekolah.
Menurutnya, tujuannya melakukan penghantaran berkenaan adalah untuk membantu murid yang berdepan kesulitan untuk mendapatkan bahan pelajaran berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sejak PKP, saya terputus hubungan dengan murid dan hanya dapat menghubungi mereka yang ada akses internet, itu pun tiga ke empat murid saja.
"Namun, saya sudah melapor diri semula ke sekolah pada 8 Jun lalu, jadi kesempatan dan kelonggaran sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) digunakan untuk menghantar kerja sekolah di penempatan murid.
"Penghantaran khas itu dilakukan pada Jumaat lalu dan selesai dalam tempoh tiga jam 30 minit," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Muhammad Nabil berkata, dia tidak rasa terbeban sebaliknya puas dengan usahanya itu.
"Lega kerana dapat menjadi 'orang tengah' dan pastikan murid tidak terus ketinggalan.
"Ikutkan memang agak terlambat tetapi sekurang-kurangnya mereka masih ada masa menyiapkan kerja sekolah seterusnya mengulangkaji pelajaran sebelum sekolah kembali dibuka kelak.
"Sebagai guru, saya enggan melihat mereka ketinggalan walaupun tinggal di kawasan pedalaman," katanya yang berasal dari Kampung Kuala Tengah Oya, Mukah, Sarawak.
Muhammad Nabil berkongsi pengalamannya itu dengan memuat naik gambar di Twitter dan sehingga artikel ini ditulis, ciapannya mendapat 4,176 tanda suka dan 2,312 ulang ciap. (Mymetro)
No comments:
Post a Comment