Monday, June 22, 2020

Sepasang kekasih ditangkap ketika sedang khayal

Sepasang kekasih ditangkap ketika sedang khayal
Pasangan suspek yang masing-masing berusia 19 dan 32 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk siasatan lanjut.

LANGKAWI: Sepasang kekasih ditangkap di sebuah rumah di Taman Dahlia, Kuah, di sini ketika sedang khayal dipercayai baru melampiaskan gian dadah.

Ketika serbuan kira-kira pukul 1 pagi Ahad itu dilakukan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi terpaksa memecahkan pintu besi selepas pasangan itu enggan membuka pintu.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, sebaik memasuki rumah, suspek lelaki bertindak agresif dengan cuma melawan anggota yang ingin menangkapnya.

Katanya, pemeriksaan di atas katil menjumpai satu beg plastik bewarna biru yang mengandungi tiga paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 20.40 gram serta satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 5.35 gram.

Kedua-dua suspek berusia 19 dan 32 tahun itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk siasatan lanjut.

Ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.(Mac2020)

Komen Weblog Ibnu Hasyim:Dari segi biologi, dadah termasuk dalam perkataan sesuatu yang memabukkan (al-Khamr). Terdapat tiga rujukan khusus mengenai al-Khamr dalam al-Quran dan perkataan al-Khamr pertama kali diturunkan di Madinah pada tahun pertama dan kedua Hijrah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka bertanya kepada-Mu (Wahai Muhammad) mengenai ‘al-Khamr’ dan ‘judi’. Katakanlah, pada kedua-duanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, akan tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Dalam Surah al-Nisa’, ayat 43, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menunaikan sembahyang, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehinggalah kamu mengerti apa-apa yang kamu ucapkan.”
Dalam hadis diriwayatkan Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, ‘Setiap bahan yang memabukkan ialah khamr dan segala yang memabukkan adalah haram. Sesiapa meminum arak di dunia ini dan mati dalam meminumnya dan tidak memohon keampunan, tidak akan dapat meminumnya di akhirat.’

Tanpa merujuk kepada jenis atau bentuknya, apa jua bahan mengakibatkan seseorang itu hilang kewarasan akal adalah haram. Pengecualian dari peraturan itu hanya jika dadah dimakan sebagai ubat atau penawar sekiranya tiada pilihan lain.
Meskipun dadah tidak disebut secara jelas dalam al-Quran, namun pengharamannya diqiaskan kepada pengharaman arak kerana kedua-dua mempunyai unsur memabukkan,” katanya. Akibat mabuk dan khayal seseorang itu boleh melakukan perkara di luar pertimbangan kewarasan akalnya. Sebab itulah Islam melarang keras pengambilan bahan yang memabukkan itu. 

Penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia disebabkan perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru. Pada mulanya mungkin ia diambil bagi menghilangkan tekanan perasaan atau sekadar suka-suka, namun akhirnya menyebabkan ketagihan melampau. Pelbagai cara dilaksanakan untuk membendungnya, namun belum ditemui kaedah penyelesaian yang benar-benar berkesan.

Kesimpulan:

Menurut statistik PDRM pada 2011 menunjukkan, kira-kira 60 hingga 70 peratus kejadian jenayah ada kaitan dengan masalah dadah. Sementara itu, 45 peratus banduan yang terdapat di Malaysia disebabkan terbabit dengan dadah.
Masalah itu dikatakan berpunca dari sikap agresif dalaman yang tidak dikawal, kurangnya penghayatan agama, pemberontakan emosi dan jiwa serta desakan mencari ketenangan. Justeru, kepincangan itu perlu ditangani segera dengan mengembalikan jiwa kepada keadaan fitrah manusia yang suci. 

Jiwa yang suci akan sentiasa berdamping dengan pencipta-Nya serta merasai ketenangan dan pembebasan daripada segala sifat mazmumah. Penyalahgunaan dadah juga membawa implikasi lain seperti menghidap HIV dan AIDS, jenayah ragut, pecah rumah serta ancaman terhadap kaum keluarga dan masyarakat. 

Sebab itu, dadah menyalahi maqasid syariah yang termaktub dalam syariah Islam. Hal itu diqiaskan dengan pengharaman arak yang juga memudaratkan akal. Manusia yang siuman tidak mahu akalnya tidak siuman.

Wallahu 'aklam.

Siri Cinta  Remaja:

No comments:

Post a Comment