Saturday, July 04, 2020

Adun Sungai Acheh kecam dipecat tanpa alasan, nekad sertai PN

Adun Sungai Acheh kecam dipecat tanpa alasan, nekad sertai PN
Zulkifli berkata, beliau bertegas tidak akan membuat rayuan dalam tempoh yang diberikan kerana hilang kepercayaan terhadap Anwar. -Astro AWANI

NIBONG TEBAL: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, yang dilucut keahliannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kecewa kerana mendakwa dipecat tanpa alasan kukuh.

Menurut Zulkifli, beliau menerima surat pemecatannya pada Khamis dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak adil selepas sekian lama setia kepada pimpinan dan parti PKR.


Zulkifli berkata, beliau telah bersama PKR sejak 2 September 1998 namun kini dipecat tanpa mengetahui punca sebenar malah langsung tidak diberi peluang untuk membela diri.

Beliau juga mendakwa terkilan apabila beberapa maklumat tidak benar disebarkan selepas pertemuannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Jun lalu di kediaman Anwar di Bukit Gasing.


"Apakah alasan PKR memecat saya? Sehingga kini saya tidak diberikan alasan kukuh dan langsung tidak diberikan peluang untuk membela diri atau mempertahankan diri.

"Mengapa Jawatankuasa Disiplin Parti tidak memanggil saya untuk mengadakan siasatan dalaman sebelum memecat saya?

"Adakah ini tunjang prinsip PKR yang diagungkan selama ini? Adakah demokrasi dalam parti sudah mati angkara tangan tangan ghaib berpaksikan diktator tersebut? Apakah kerana saya tegas maka saya dipecat?,"dakwanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung pemecatannya di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Adun Penaga, Mohd Yusni Mat Piah; Adun Sungai Dua, Datuk Mohamad Yusoff Mohd Noor dan Adun Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanannya baru baru ini, bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk Zulkifli.

Zulkifli berkata, beliau bertegas tidak akan membuat rayuan dalam tempoh yang diberikan kerana hilang kepercayaan terhadap Anwar.

Dakwanya, selepas membuat pertimbangan beliau memutuskan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) demi tangungjawab dan amanahnya kepada pengundi di Sungai Acheh.

Ditanya parti mana yang akan menjadi pilihannya Zulkifli berkata beliau akan memutuskannya kemudian namun menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN. (AA)

No comments:

Post a Comment