Thursday, July 16, 2020

Bongkar Sindiket Rasuah K/Kewangn, 5 Diberkas..

SPRM menahan lapan individu membabitkan sindiket rasuah berhubung urusan permohonan pendaftaran akaun baru.
Lima kakitangan Kementerian Kewangan diberkas SPRM, atur sindiket kutip rasuah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar sindiket rasuah berhubung urusan permohonan pendaftaran akaun baru Kementerian Kewangan dan permohonan status Bumiputera syarikat-syarikat di sekitar Lembah Kelang.
Menurut sumber, bagi mempercepatkan proses pendaftaran baru akaun Kementerian Kewangan dan mendapatkan status Bumiputera, sindiket ini mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM3,500.
"Permohonan pendaftaran akaun baru Kementerian Kewangan dan status Bumiputera akan diluluskan dalam tempoh 24 jam dan dibuat tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
"Dalam operasi bermula petang ini, seramai lapan individu diberkas di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur," katanya.
Menurutnya, kesemua mereka ditahan berusia antara 30 tahun hingga 47 tahun ditahan.
"Daripada lapan individu diberkas, lima individu dikenal pasti sebagai kakitangan di Unit Pendaftaran Syarikat, Kementerian Kewangan manakala tiga lagi adalah orang awam.
"Risikan dijalankan SPRM selama enam bulan mendedahkan bahawa kegiatan sindiket ini sudah bermula sejak tahun 2017 dan ratusan ribu ringgit wang rasuah dikutip sindiket ini daripada syarikat-syarikat di sekitar Lembah Klang," katanya.
Menurutnya, kelapan-lapan individu yang ditahan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya yang dihubungi mengesahkan tangkapan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Khamis, 16 Julai 2020 @ 5:38 PM

No comments:

Post a Comment