KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), disyorkan supaya turut menghantar peserta Kelas Pengajian Mualaf yang berkelayakan, ke universiti-universiti Islam di Timur Tengah terutama Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sebagai contoh, jika peserta ini layak dan cukup syarat, beliau sendiri akan mencalonkan nama peserta berkenaan.
“Jika layak dan cukup syarat, saya sendiri tidak teragak-agak untuk mencalonkan nama mereka, untuk dihantar ke Universiti (Islam) Madinah,” katanya merasmikan Majlis Apresiasi Kelas Pengajian Mualaf Sesi 2019/2020 di Dewan Seminar Saidina Abu Bakar, Kompleks Darul Hidayah di sini semalam.
Beliau berkata, golongan mualaf juga terbukti boleh menjadi pendakwah berkaliber dan boleh memahami ajaran Islam dengan baik, jika komited mempelajari Islam.
Seramai 61 pelajar mualaf cemerlang Tahap Lanjutan daripada keseluruhan 200 orang yang berjaya menamatkan pengajian bertaraf sijil bagi sesi kali ini, dirai dalam majlis tahunan anjuran JAWI dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada sidang media Zulkifli yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah berkata, walaupun hanya memiliki sijil, pelajar mualaf kalangan awam ini boleh diserapkan ke institusi-institusi pendidikan di bawah JAWI dan MAIWP, sebelum dihantar ke Timur Tengah untuk mendalami Islam.
Pada sidang media Zulkifli yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah berkata, walaupun hanya memiliki sijil, pelajar mualaf kalangan awam ini boleh diserapkan ke institusi-institusi pendidikan di bawah JAWI dan MAIWP, sebelum dihantar ke Timur Tengah untuk mendalami Islam.
“Kita sudah ada Pondok Modern al-Abaqirah MAIWP, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) dan beberapa sekolah lain yang hanya mensyaratkan sekurang-kurangnya memiliki SPM dan tahu asas bahasa Arab,” jelasnya lagi.
Zulkifli menyifatkan program ini merupakan satu usaha yang amat baik untuk memantapkan pengetahuan mereka yang baru memeluk agama Islam.
“Usaha sebegini perlu diteruskan oleh JAWI dan MAIWP agar golongan mualaf ini tidak ketinggalan dari segi kefahaman mereka terhadap ajaran Islam, seperti mana mereka yang asalnya muslim,” tambahnya.
Kompleks Darul Hidayah terletak di Sentul, Kuala Lumpur dibina atas tanah seluas 0.8 hektar dengan dilengkapi asrama, dewan dan bilik kuliah, yang boleh memuatkan 200 pelajar dalam satu-satu masa.
Bagi tahun 2020, MAIWP melalui JAWI telah memperuntukkan sejumlah RM2.9 juta bagi pengurusan program kebajikan dan pendidikan mualaf di kompleks berkenaan. – BERNAMA
2 comments:
Banyak idea2 baru yang dilontarkan TIDAK SEPERTI KHADAM DAP yang terdahulu!
Pas khadam Mca!
Post a Comment