Sunday, July 19, 2020

'Mabok doh wey' Lagu Dalam 2 Versi, Bantu PKP.

Komposer, Eddie Hamid (tengah) beramah mesra bersama seorang daripada peminatnya, Rajiah Harun,39 (dua kiri) dan beberapa artis dalam majlis BBQ Kelab Peminat Eddie Hamid (EHFC) di Seaview Restoran Pantai Cahaya Bulan (PCB) Resort, Kota Bharu. - Foto Nor Amalina Alias
Komposer, Eddie Hamid (tengah) beramah mesra bersama seorang daripada peminatnya, Rajiah Harun,39 (dua kiri) dan beberapa artis dalam majlis BBQ Kelab Peminat Eddie Hamid (EHFC) di Seaview Restoran Pantai Cahaya Bulan (PCB) Resort, Kota Bharu. - Foto Nor Amalina Alias
HALAMAN HIBURAN
Eddie Hamid cipta lagu Mabuk


KOTA BHARU: Komposer, Eddie Hamid sedang mempersiapkan lagu terbaru Mabuk, mengenai bahaya memandu kenderaan ketika mabuk kerana boleh membahayakan orang ramai.
Menariknya, Eddie yang juga anak jati negeri ini mahu mengeluarkan lagu berkenaan dalam dua versi iaitu berbahasa Melayu dan satu lagi menggunakan dialek Kelantan.
"Ini adalah kesinambungan tuah lagu kami sebelum ini 'Jange Kelik Laa Weii' yang menjadi tular selepas disebut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
"Lagu mabuk ini akan dinyanyikan saya bersama Man Khan dan Aris Kapilla di mana yang dinyanyi dalam bahasa melayu biasa liriknya lebih ke arah bahasa undang-undang berbentuk kempen nasihat.
"Lagu berdialek Kelantan pula, liriknya lebih kepada nasihat sinis dan humor satira kepada masyarakat supaya berhati-hati di jalan raya dan tidak memandu dalam keadaan mabuk yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya," katanya ketika ditemui dalam Majlis BBQ Kelab Peminat Eddie Hamid (EHFC) di Seaview Restoran Pantai Cahaya Bulan (PCB) Resort, di sini, malam tadi.
Eddie Hamid berkata, lagu itu turut mendapat kerjasama dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, pihaknya kini sudah menyiapkan lagu berkenaan sejak dua bulan lalu dan kini menunggu perubahan lirik di peringkat akhir sebelum diluluskan pihak JPJ khususnya berkaitan akta dan undang-undang yang perlu tepat.
"Sebaik lirik diluluskan, kita akan jalankan pengambaran klip video di sekitar Kelantan dan Putrajaya malah mungkin ada kejutan penampilan menteri dan pemimpin tertinggi JPJ dan PDRM, selain turut memasukkan beberapa sedutan kejadian atau 'footage' kejadian sebenar berkaitan kes pemandu mabuk," katanya.
Beliau berkata, lagu Mabuk dinyanyikan dalam versi Bahasa Melayu ditulis liriknya oleh Arisz Ab Rahman manakala lagu versi dialek Kelantan diberi judul Mabok doh wey!, liriknya ditulis Aris Kapilla dan Man Khan dijangka siap September ini.
"Sebenarnya idea penghasilan lagu ini dibuat apabila kita meletup dengan lagu Jange Kelik La Weyy, apabila disebut PM (Muhyiddin), saya dapat banyak permintaan daripada stesen radio untuk mengolah lagu itu dalam bahasa baku, namun bila kita cuba ternyata, sukar untuk mengubah liriknya yang menyebabkan lagu itu hilang identiti asalnya.
"Jadi, saya lahirkan idea buat lagu bahasa baku lain tapi mengangkat perihal isu semasa negara dan ketika ini isunya berkaitan kes pemandu mabuk sehingga ada yang kehilangan nyawa," katanya yang kini meletup dengan lagu 'berebut tino', nyanyian dialek Kelantan bersama Aris Kapilla dan Akma Richi.
Eddie berkata, selain itu dia juga merancang pembikinan lagu untuk majlis kenduri bertajuk Bekwoh yang turut memasukkan istilah klasik dalam majlis perkahwinan di Kelantan seperti bekwoh (kenduri), ngele (saguhati kepada pengantin), siso (cenderahati tetamu), belarok (perarakan rombongan pengantin).
Sementara itu, Man Khan berkata, lagu Mabuk memberi cabaran buat beliau yang pertama kali menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu yang sebelum ini hanya membawakan lagu-lagu daerah dan dialek Kelantan.
"Saya membuat persiapan khususnya dalam bunyi dan sebutan supaya tidak kedengaran terlalu dialek negeri berkenaan, bagaimanapun saya teruja bekerjasama dengan Eddie memberi kesedaran tentang peraturan jalan raya kepada masyarakat, dalam berhibur kita juga mendidik," katanya.
Bagi Ariss Kapilla pula, dia berterima kasih kepada Perdana Menteri yang memetik lagu itu dalam ucapannya sehingga mendapat banyak tawaran persembahan termasuk di Sabah, Perlis dan Johor selain meraih ramai peminat di laman sosial Facebook dan Instagram.
"Sejak berkecimpung dalam industri hiburan pada tahun 1997 sebagai pemain basst Kapilla dan menjadi mula jadi penyanyi pada tahun 2001, inilah pengiktirafan paling tinggi saya terima sebagai anak seni," katanya. (BH)


Jange Kelik La Wei



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails