Friday, July 31, 2020

Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2020



KUALA TERENGGANU: Rakyat diingatkan agar mempunyai jati diri yang tinggi bagi mempertahankan kemerdekaan negara ini dari penjajahan bentuk baharu.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, musuh negara hari ini bukan sahaja dalam bentuk peperangan dan ketenteraan yang nampak di mata.
Namun, kata beliau, melalui tipu muslihat yang berbentuk peperangan minda seperti media massa, masalah sosial dan sebagainya.

“Maka, menjadi tanggungjawab rakyat generasi baharu hari ini untuk memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan.

“Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan negara. Kemerdekaan ini perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa.

“Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial dalam kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti sebuah kemerdekaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020, Peringkat negeri Terengganu, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, dalam mengekalkan dan mengisi kemerdekaan negara, pastinya pelbagai dugaan dan ancaman yang terpaksa ditempuhi oleh generasi awal kemerdekaan.

“Untuk meletakkan suatu pasak yang kukuh bagi sebuah negara bangsa ini, seperti terakam dalam susur galur negara.

“Ancaman ini datangnya bersifat ‘dalaman’ mahupun luaran. Umpamanya, pemberontakan komunis, konfrantasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, ekonomi meleset, ‘ekstresmisme’ agama, mahupun ‘chauvinisme’ perkauman.

“Ingatlah bahawa kemerdekaan yang dinikmati ini perlu diwariskan oleh generasi yang seterusnya, supaya mereka juga dapat menikmati rahmat kemerdekaan, kerana bangsa yang dijajah adalah bangsa yang hina dan terpinggir,” tegasnya.

Justeru, katanya melalui sambutan inilah peluang bagi setiap warganegara dan rakyat Terengganu tanpa mengira kaum, agama dan politik membuktikan perasaan sayang dan cinta kepada negara dan negeri ini.

“Walaupun kita (negara) masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelbagai SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi.

“Namun, program ini tetap dijalankan bagi menyatakan kesyukuran dan kebanggaan terhadap kemerdekaan negara ini.

“Pengalaman hidup kita semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang, telah banyak mengajar kita erti kebebasan sebenar dan nilai sebuah kemerdekaan,” jelasnya.

Menurutnya, hingga kini negara masih tidak boleh bebas seperti biasa akibat daripada virus pandemik Covid-19.

Oleh itu, katanya, kerjasama seluruh rakyat Malaysia untuk lebih berdisiplin, memiliki jati diri tinggi, semangat ‘patriotisme’ serta mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan.

Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan Terengganu, Dato’ Zainal Abidin Hussin dan Pengarah Programnya, Dr Mamad Puteh. – HARAKAHDAILY 28/7/2020
Hibur Hibur Sikit

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails