Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar: Ngau Kai Yan)
SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi 83 kerusi di Parlimen, dengan Parti Pekerja (WP) mendapat 10 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 Singapura.
WP mempertahankan GRC Aljunied dan SMC Hougang, serta menambah GRC Sengkang setelah keputusan muktamad diumumkan pada Sabtu (11 Jul) pagi.
Dalam persaingan bagi GRC West Coast yang dipantau rapi, pasukan penyandang dari PAP yang dipimpin Encik S Iswaran berjaya mengatasi cabaran dari Parti Kemajuan Singapura yang dipimpin Dr Tan Cheng Bock, dengan memperoleh 51.69 peratus undi.
Pengundian ditutup secara rasmi pada jam 10 Jumaat malam setelah ia dilanjutkan dua jam bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka, menurut Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD).
Mengumumkan keputusannya itu, ELD menyatakan meskipun keadaan di kebanyakan pusat mengundi sudah bertambah baik, barisan beratur di sejumlah pusat mengundi masih panjang.
Apabila undi ditutup, 95.63 peratus pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka membabitkan 2,535,565 orang.
''Jumlah ini kurang sedikit daripada yang dilaporkan pada 8.00 malam, yang berdasarkan anggaran diterima dari 1,100 pusat mengundi," kata ELD.
Orang ramai mula keluar mengundi pada 8 pagi dengan tempoh khas diperuntukkan bagi pengundi berusia 65 tahun dan ke atas di kebanyakan pusat mengundi.
Barisan beratur yang panjang berlaku di beberapa pusat mengundi pada sebelah pagi dengan warga emas dalam barisan diberi kerusi untuk duduk sambil menunggu.
ELD meminta maaf kepada pengundi pada petang Jumaat dan menyatakan pihaknya menghentikan keperluan memakai sarung tangan pakai buang di pusat mengundi, kerana ia menyebabkan masa menunggu yang lama.
Semasa berucap di sidang media PAP selepas keputusan diumumkan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata keputusan yang diterima PAP menunjukkan mandat yang jelas untuk parti itu.
Bagaimanapun, katanya peratusan undi popular "tidak setinggi seperti yang saya harapkan".
"Pun begitu, keputusan tersebut menunjukkan sokongan meluas bagi PAP," tambahnya.
Beliau juga menyuarakan kekecewaannya atas kehilangan GRC Sengkang, yang bererti juga kehilangan ketua NTUC, Encik Ng Chee Meng, yang memimpin pasukan di sana.
Pasukan di Sengkang juga termasuk Dr Lam Pin Min, Encik Amrin Amin, serta muka baru, Raymond Lye.
GRC dengan empat anggota itu dibentuk pada Mac selepas jawatankuasa semakan kawasan undi menetapkan sempadan kawasan undi baru bagi Pilihan Raya Umum (GE) akan datang.
GRC itu mempunyai 120,166 penduduk yang layak mengundi dan merangkumi bekas kerusi SMC Sengkang West dan SMC Punggol East serta kawasan undi Sengkang Central yang dikeluarkan daripada GRC Pasir Ris-Punggol.
Encik Lee juga berkata beliau telah menghubungi ketua Parti Pekerja Pritam Singh untuk mengucapkan tahniah atas prestasi partinya, sambil menambah bahawa beliau memberitahu Encik Singh bahawa dengan 10 AP, beliau harus dilantik sebagai ketua pembangkang dan ada kakitangan diberikan kepadanya.
Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat yang juga hadir semasa sidang media itu, berkata tugasan untuk menyelamatkan dan melindungi pekerjaan harus diteruskan dan beliau berharap untuk bekerjasama dengan pihak pembangkang untuk mencapai hasil positif bagi Singapura.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp
1 comment:
Ujar Ayob, sewaktu beliau bertugas di Bahagian Antipenganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman dan menangkap beratus-ratus orang anggota Jemaah Islamiah (JI) dulu termasuk pengikut Darul Islam dan Daesh, tidak ada pun yang ‘merungut
Tetapi kenapa bila saya tangkap ADUN DAP dalam kes kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), ia boleh menjadi isu sampai peringkat nak pinda undang-undang sebagainya, ini apa cerita?
“Adakah sebab mereka DAP saya tak boleh ‘sentuh’? Adakah mereka di atas undang-undang? Jadi kena adillah dan jangan campur tangan dalam kerja-kerja polis.
Post a Comment