Sunday, July 26, 2020

Turki bakal jadi kuasa besar dunia -Muhamad Khalil Abd Hadi.

Ribuan tunaikan solat Subuh di Hagia Sophia
Anadolu Agency melaporkan kebanyakan orang yang menunaikan solat di masjid itu bermalam di sekitar Hagia Sofia bagi memastikan mereka tidak terlepas untuk menunaikan solat Subuh di sana. - Gambar AP

Aya Sofia: Kesan buat Turki, dunia Islam

TANGGAL 24 Julai 2020, telah tercatat dalam sejarah apabila solat Jumaat pertama didirikan di Masjid Aya Sofia sejak 86 tahun lalu setelah ianya ditukarkan kepada muzium oleh pengasas republik Turki, Mustafa Kamal Ataturk melalui usul yang dibawa ke parlimen Turki pada tahun 1934. 


Ramai yang telah mengulas mengenai isu ini setelah pengisytiharan Presiden Turki, Recep Toyyib Erdogan bahawa kembalinya Aya Sofia menjadi sebuah masjid pada tanggal 12 Julai 2020 yang lalu. Dari sudut fakta sejarah, jelas ianya menunjukkan bahawa Aya Sofia adalah milik negara Turki setelah ianya dibeli oleh Sultan Muhammad Al-Fateh sejurus pembukaan kota Constantinople. 
Kembalinya Aya Sofia menjadi masjid telah menggongcangkan politik dunia kerana kepentingannya kepada Dunia Islam dan Dunia Barat. Setelah diisytiharkan oleh Recep Toyyib Edrogan, beliau dikecam hebat oleh media barat dan tidak kurang juga merayu supaya mempertimbangkan keputusan tersebut demi menjaga keharmonian dan kepelbagaian agama terutamanya di Turki.
Satu ketika dahulu, Aya Sofia menjadi simbol kemegahan empayar Rom Timur dan juga menjadi kebanggaan Dunia Barat. Ia bukan sahaja menjadi rumah ibadat utama kepada gereja Kristian Orthodox Byzantine, bahkan ianya juga menjadi pusat pentadbiran empayar Byzantine atau Rom Timur yang menjadi salah satu kuasa besar dunia pada ketika itu. 
Pengisytiharan Aya Sofia sebagai masjid oleh Recep Toyyib Erdogan boleh dilihat kepentingannya dari sudut politik dan kemudiannya dinilai kepentingan tersebut dalam beberapa aspek samada dari sudut politik dalaman Turki, keadaan semasa geopolitik Turki dengan negara–negara Eropah dan begitu juga hubungan Turki dengan Dunia Barat. 
Turki menjauhkan diri dari sekularisme
Ucapan selama 35 minit oleh Presiden Turki, Recep Toyyib Erdogan ketika mengumumkan detik bersejarah tersebut pada tanggal 12 Julai lalu setelah mendapat mandat daripada mahkamah langsung tidak menyebut walaupun sekalipun nama Kamal Ataturk sebagai pengasas Turki moden dan simbol kepada sekularisma Turki. 
Bahkan ianya adalah dari luar kebiasaan kerana ketika ucapan Erdogan, ianya tidak berlatarbelakangkan potret Kamal Ataturk yang sudah menjadi amalan kebiasaan. Sebaliknya Erdogan menceritakan latar belakang Aya Sofia iaitu daripada gereja kepada masjid, kemudiannya dijadikan muzium sebelum dikembalikan semula statusnya sebagai sebuah masjid.
Dalam ucapan tersebut juga, Edrogan turut juga menceritakan kisah bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh setelah berjaya menawan Constantinople berjaya mengubah status Aya Sofia daripada sebuah gereja menjadi sebuah masjid yang menjadi kebanggaan umat dan dunia Islam ketika itu dan dalam masa yang sama menceritakan keadilan Islam sejak zaman awal Islam khususnya dari sudut kebebasan berugama. 
Kembalinya Aya Sofia menjadi sebuah masjid sebenarnya menjadi titik tolak perubahan Turki dalam era peradaban moden ini untuk menjadi sebuah kuasa ulung yang disegani sebagaimana ketika zaman Khalifah Uthmaniyyah dahulu. 
Jika diamati dengan teliti keadaan Turki dan geopolitik di sekelilingnya, Turki sebenarnya sudah mula keluar dari dari cengkaman pengaruh Kamal Ataturk dan sekularisme peninggalannya serta mula berdiri sendiri tanpa dipengaruhi oleh dunia barat.
Langkah dan polisi yang diambil Turki mahupun Edrogan sekarang adalah selari dengan nasihat Dr. Najmuddin Erbakan yang mahu Turki mempunyai jatidiri Islam tersendiri dan kebangsaan Turki. Ini terbukti apabila Edrogan satu ketika dahulu dilihat rapat dengan kuasa barat dan ditegur oleh Dr. Najmuddin Erbakan.
Tindakan Erdogan dan AKP ini dilihat sebagai satu langkah politik yang bijaksana kerana berjaya menarik sokongan golongan Islamis dan Nasionalis Turki sekaligus, dan dalam masa yang sama berjaya mengkesampingkan golongan kiri dan sekularis yang dilihat semakin lemah dan tersingkir. 
Ini boleh dilihat daripada kenyataan sokongan parti nasionalis Turki MHP yang berdiri teguh bersama Erdogan di atas tindakannya ini. Begitu juga ucapan tahniah daripada ketua parti Saadat, Temil Karamullahuglu di atas pengisytiharan ini. 
Gerakan ini dilihat bakal merubah sokongan kepada Erdogan dan partinya untuk menawan kembali bandaraya Istanbul yang kecundang di tangan Ekrem Imamuglo dari parti CHP dalam pilihanraya majlis tempatan yang lepas. 
Bahkan juga masa pengisytiharan ini dilihat sangat signifikan dari sudut psikologi politik, iaitu empat hari sebelum Turki memperingati tahun keempat peristiwa berdarah kegagalan rampasan kuasa oleh pihak tentera yang didalangi oleh golongan pro Barat yang menyaksikan perubahan politik yang sangat besar dalam sejarah moden politik Turki. 
Turki membebaskan diri dari barat
Ketika mula menjadi Presiden Turki pada 2014 mahupun ketika memimpin parti AKP ketika mula memenangi pilihanraya Turki pada tahun 2002, Recep Toyyib Edrogan mula dilihat sebagai seorang tokoh yang mampu membawa Turki ke era yang lebih baik dari sebelumnya.
Di saat itu terutamanya selepas 2001 ketika dunia baru sahaja dilanda kemelesetan ekonomi, Turki dilihat bergantung kepada Kesatuan Eropah dan dunia barat untuk kelangsungan ekonomi mahupun kemakmurannya. Ketika itu Turki amat terkesan dari sudut ekonomi akibat daripada kemelesetan ekonomi dunia.
Turki walaupun menjadi sebahagian daripada Eropah dari sudut geografinya namun tidak menjadi sebahagian dari negara–negara dalam Kesatuan Eropah. Ketika Edrogan mula menjadi Perdana Menteri Turki pada tahun 2003, Edrogan memulakan rundingan secara berterusan dengan Kesatuan Eropah untuk menjadi sebahagian daripadanya.
Rundingan yang berlangsung sekian lama tidak membuahkan hasil yang diinginkan oleh Edrogan. Permohonan Turki untuk menjadi negara anggota dalam Kesatuan Eropah dipenuhi dengan pelbagai syarat dan halangan oleh negara–negara utama di dalamnya seperti Britain, Perancis, Jerman dan Itali.
Negara–negara tersebut sedar jika Turki diberi peluang menyertai Kesatuan Eropah, pengaruh mereka dalam kesatuan akan mula pudar dan terhakis serta percaya Turki mampu menjadi kuasa dominan dalam kesatuan tersebut.
Maka tidak hairanlah mengapa begitu banyak syarat dan kekangan dikenakan ke atas Turki, semuanya bertujuan untuk mengekang pengaruh dan kekuasaan Turki jika Turki diterima menjadi negara anggota Kesatuan Eropah.
Turki yang sedar akan permainan negara–negara utama Kesatuan Eropah telah menghentikan rundingan pada tahun 2016. Sejak daripada itu, Turki di bawah Edrogan mula membina kekuatan sendiri baik dari segi ekonomi, geopolitik mahupun ketenteraan.
Begitu juga hubungan Turki dengan Nato yang saat ini dilihat amat rapuh dan seolah–olah meminggirkan Turki. Turki menyertai Nato pada Februari 1952 bersama–sama dengan Greece. Tujuan Nato menerima keanggotaan Turki ketika itu adalah untuk menguatkan lagi fraksi dunia barat dalam mengekang pengaruh Soviet Union ketika era perang dingin.
Namun hubungan baik Turki dan Nato mula berubah apabila AKP dan Edrogan mula menerajui tampuk pemerintahan Turki. Nato menuduh Turki memusnahkan legasi demokrasi peninggalan Kamal Ataturk, memecat pegawai tentera pro barat dan berfahaman sekular serta Edrogan dituduh menyokong Ikwanul Muslimin yang dilabel sebagai pengganas oleh negara-negara proksi barat.
Ketika ini hubungan Turki dengan Nato bertambah tegang akibat polisi Turki di Syria dan Libya. Ketegangan tersebut agak memuncak sebelum ini akibat daripada tindakan Turki membeli sistem peluru berpandu S400 daripada Rusia yang mengakibat Amerika Syarikat mengugurkan Turki daripada program jet pejuang supersonik F–35.
Kesemua senario di atas membuatkan Turki sedar bahawa ia tidak perlu bergantung kepada mana–mana negara untuk kelangsungannya. Maka jika dilihat saat ini, Turki seolah–olah bertindak bersendirian dalam tindakannya terutamanya dari sudut ketenteraan seperti di Libya, Syria dan juga pergolakan geopolitik Asia Barat.
Dari sudut ekonomi pula, Turki mula dilihat sebagai kuasa baru yang mula bangkit dari kegagalan lalu. Pelbagai infrastruktur moden dan industri berteknologi tinggi mula dibangun di Turki tanpa mengharapkan bantuan daripada Kesatuan Eropah mahupun dunia barat.
Saat ini Turki mula dilihat sebagai sebuah kuasa baru yang mungkin menjadi ancaman kepada kuasa–kuasa besar dunia samada dari sudut ketenteraan, ekonomi mahupun penguasaan geopolitik. Turki sekarang bukan lagi di bawah bayang Kamal Ataturk yang mengharapkan ehsan dunia barat, tetapi Turki baru yang mampu menggoncang dunia dan geopolitiknya.
Turki bakal menjadi kuasa besar dunia
Turki saat ini dilihat sudah mampu berdiri tanpa bantuan serta menjauhkan diri dari dunia barat. Kejayaan Turki dalam ‘membersihkan’ sempadannya dengan Syria dalam usaha untuk mengekang puak pemberontak Kurdis yang disokong oleh Amerika Syarikat adalah petanda awal kekuatan Turki.
Bukan sahaja Turki berjaya menghalau serta menghalang puak pemberontak Kurdis tetapi berjaya menyekat pengaruh Amerika Syarikat yang menyokong puak pemberontak Kurdis serta menghalang campurtangan Amerika Syarikat dalam skala yang lebih besar dalam konflik di Syria.
Terbaru, krisis di Libya adalah petanda jelas kekuatan Turki samada dari sudut ketenteraan mahupun pengaruh geopolitik. Sokongan politik dan ketenteraan Turki kepada Kerajaan GNA Libya adalah bukti keupayaan Turki dalam menonjolkan diri sebagai kuasa baru dunia dalam masa terdekat.
Khalifa Haftar yang mendapat sokongan padu kuasa besar dunia seperti Perancis, Rusia, UAE, Mesir, Amerika Syarikat dan beberapa negara lagi samada dari sudut ketenteraan dan kewangan dilihat tidak mampu menandingi keupayaan Turki.
Malah negara–negara kuasa besar tersebut mengkritik tindakan Turki membantu Kerajaan GNA Libya kerana tidak mampu berhadapan dengan kekuatan Turki. Saat ini, Turki sudah mampu menyaingi dan berdiri sama tinggi dengan kuasa–kuasa besar dunia, malah tidak lama lagi mampu menjadi kuasa besar dunia.
Simboliknya pembebasan Aya Sofia daripada menjadi sebuah muzium kepada sebuah masjid adalah ‘signal’ awal Turki kepada dunia barat. Ia adalah petunjuk jelas bahawa Turki tidak lagi takut kepada dunia barat dan ancamannya kerana Edrogan tahu risiko yang bakal dihadapinya jika menjadikan Aya Sofia sebagai masjid.
Jelas, Turki mampu menerima tekanan dan kritikan akibat tindakannya tanpa menghadapi sebarang masalah sepertimana masa–masa lalu. Saya percaya Turki akan terus mengalami perubahan yang besar tanpa tunduk kepada tekanan mahupun ancaman mana–mana kuasa besar.
Syabas saya ucapkan kepada Turki dan rakyatnya terutamanya Presiden Turki Recep Toyyib Edrogan. Semoga Turki menjadi pemangkin kepada kebangkitan umat mahupun Dunia Islam serta menjadi pencetus kepada penyatuan umat dan Dunia Islam.
Moga Allah SWT merahmati seluruh umat dan Dunia Islam.
USTAZ MUHAMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat. ADUN Batu Buruk- HARAKAHDAILY 24/7/2020
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apa pengajaran yang boleh diambil dari kisah Turki di atas, terutama bagi sesebuah kerajaan yang ingin bebas dari penjajahan manusia atas manusia..
  • Awalnya, jauhkan diri dari fahaman sekularisme. Bahkan Perlembagaan Persekutuan (Malaysia) pun tidak boleh ditafsir 'secara sekular'.
  • bebaskan diri dari pengaruh-pengaruh barat yang buruk dan tidak menguntungkan negara ini.
  • bina kekuatan sendiri, ingat kita ada 'Islam' yang menjanjikan kemenangan di dunia hingga akhirat.
Insya Allah!



Ini, Erdogan lantunkan Al Fatihah dan Al Baqarah di Masjid Hagia Sophia


Hibur Hibur Sikit

No comments:

Post a Comment