Selesai kemelut politik serlah peranan Institusi Istana
KL: Keterlibatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam isu politik negara yang berlaku sepanjang minggu lalu telah menyerlahkan fungsi Institusi Diraja.
Malah, proses serta langkah penyelesaian yang dimuktamadkan Baginda dalam memperkenankan pelantikan Perdana Menteri telah menzahirkan terjemahan dan hakikat berkenaan peranan sangat penting sistem Raja Berpelembagaan.
Timbalan Presiden PAS
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man selaku juga Ahli Parlimen Kubang Kerian ketika mengulas hal tersebut berkata, Baginda Tuanku telah mengambil inisiatif yang tidak mudah untuk menyelesaikan kemelut itu.
“Yang inilah sistem Raja Berperlembagaan. Saya fikir hari ini baru rakyat memahami bagaimana peranan Institusi Diraja, yang mana Raja-raja turut terlibat, bincang, cari jalan penyelesaian kepada kemelut yang berlaku ini,” ujarnya.
Presiden PAS.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut menyifatkan bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong telah memecahkan segala keraguan yang ditimbulkan sepanjang tempoh kemelut politik itu berlangsung.
“Baginda telah mendapat pandangan Wakil-wakil Rakyat yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi berparlimen dan mengambil kira jumlah parti politik yang mendukung Perdana Menteri di mana itu sudah cukup menghilangkan keraguan (berkaitan).
“Cukup dengan kenyataan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Dipertuan Agong. Merupakan kuasa yang ada mengikut Perlembagaan. Dalam demokrasi, biasalah ada yang tak puas hati. Tak ada yang dapat sokongan 100 peratus seluruh dunia.
“Yang penting ialah, setelah mendapat pandangan yang dilihat oleh Baginda, merupakan pandangan yang terbanyak, yang terbaik, untuk negara dan rakyat. Itu yang dipilih,” ujarnya.
Dr Muhammad Fathi Yusof
Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof dari Universiti Teknologi Malaysia juga ketika mengulas peranan dan fungsi tersebut telah memperincikannya berdasarkan peruntukan sedia ada.
Katanya, ketetapan Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri melegakan politik negara dan ibarat penutup tirai kepada polemik yang menggemparkan hampir seminggu.
Nasihatnya, seluruh rakyat terutamanya pemimpin politik dan para penyokong wajar menghormati keputusan berkenaan, serta menerimanya dengan hati yang terbuka kerana ketetapan YDPA tentunya tidak boleh dipersoal dan dirayu.
Jelas beliau, pelantikan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang tertentu termasuklah melantik seorang Perdana Menteri.
“Budibicara Baginda adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana tribunal atau mahkamah. Bahkan dalam melaksanakan budibicara ini, YDPA mempunyai kuasa yang amat luas. Hal ini boleh difahami dari perkataan yang digunakan dalam Perkara 43(2)(a).
“Peruntukan Perlembagaan itu menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang ‘pada hematnya mungkin’ mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.
“Perkataan ‘pada hematnya’ dan perkataan ‘mungkin’ menggambarkan betapa luasnya budibicara YDPA. Baginda sebenarnya boleh membuat keputusan berdasarkan pertimbangan umum atau secara subjektif. Jika Baginda berbuat demikian ia tetap tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.
“Namun, kita semua tahu, walaupun Perlembagaan memberikan banyak kelonggaran, Baginda tetap memilih cara yang amat teliti dan objektif termasuklah melalui pertemuan bersemuka dengan hampir semua 222 orang Ahli Parlimen.
“Amat mendukacitakan, jika ketelitian dan keprihatinan Baginda ini dibalas dengan pertikaian dan usaha untuk membuat rayuan atau cadangan balas. Jika ingin mencabar sekali pun, pentas yang disediakan adalah persidangan Dewan Rakyat, melalui usul tidak percaya. Itupun jika ahli politik masih mahu meneruskan episod percakaran politik seperti yang disaksikan dalam tempoh seminggu ini,” ujarnya.
Menurut Dr Fathi, rakyat sebenarnya sudah bosan dengan polemik dan pergolakan politik di mana penuh episod-episod bolak-balik, perundingan sokongan dan perebutan pengaruh antara ahli politik yang hampir-hampir menghilangkan keyakinan rakyat.
Jika berlaku usul tidak percaya di Dewan Rakyat katanya, dipercayai pilihan terbaik ialah pembubaran Parlimen bagi memberikan hak kepada rakyat untuk memperbaharui mandat bagi membentuk kerajaan baharu.
“Ringkasnya, rakyat mahukan pentadbiran yang lancar bagi memacu pembangunan negara. YDPA telah membuat keputusan yang jelas. Oleh itu, dinasihatkan agar semua pihak menerima dengan hati yang lapang dan tidak mempersoal ketetapan YDPA.
“Rakyat dan pemimpin perlu sama-sama melihat ke hadapan dan memadamkan sengkata silam bagi memberikan fokus kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 2/3/2020
Kedudukan YDPA di hierarchy tertinggi dalam pemerintahan negara!
ReplyDeleteHarap maklum!