Seorang lelaki memeriksa kerosakan di bahagian bumbung rumahnya akibat serangan udara Israel di timur kem pelarian al-Bureij, Semenanjung Gaza. - Foto AFP
GAZA CITY: Tentera Israel pada Ahad berkata, pihaknya melakukan serangan udara baharu ke atas kedudukan Hamas di Semenanjung Gaza, sebagai tindak balas ke atas serangan roket dan bom api yang dihantar ke wilayah Israel, dengan diikat pada belon.
Serangan itu dibuat selepas pertempuran pada malam Sabtu di sepanjang sempadan Gaza-Israel, kata tentera.
Puluhan rakyat Palestin 'merusuh membakar tayar, melempar alat letupan dan bom tangan ke arah pagar keselamatan dan cuba mendekatinya," kata Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan.
Sejak minggu lalu, pasukan Israel melakukan serangan berulang kali pada waktu malam terhadap sasaran yang ada kaitan dengan kumpulan Islam Hamas, yang menguasai Semenanjung Gaza.
Tentera berkata, mereka bertindak balas terhadap penggunaan bom api yang diikat pada belon dan layang-layang, yang dihantar ke bahagian selatan Israel, dan menyebabkan ribuan kebakaran berlaku di ladang serta dalam komuniti Israel.
Terdapat 19 serangan oleh rakyat Israel hanya pada Sabtu, demikian menurut perkhidmatan menyelamat Israel.
Sebagai tindak balas, "jet tempur IDF dan pesawat menyerang sejumlah sasaran ketenteraan Hamas di Semenanjung Gaza," kata tentera dalam satu kenyataan, sambil menambah antara sasaran yang terbabit adalah 'markas tentera dan infrastruktur bawah tanah' milik Hamas.
Pada awal pagi Ahad, IDF turut memaklumkan, dua roket dilancarkan ke Israel dari Gaza dan dipintas oleh sistem pertahanan Iron Domenya.
"Sebagai tindak balas, Angkatan Udara kami baharu saja menyerang sasaran keganasan Hamas di Gaza, termasuk sebuah markas tentera yang digunakan untuk menyimpan peluru roket," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment