Kerjasama antara agensi elak banjir kilat berulang
BANJIR antara lima bencana alam yang sering melanda negara, selain tanah runtuh, kebakaran hutan dan tumpahan minyak.
Banjir boleh menyebabkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa yang sebanyak 90 peratus kerosakan dan kemusnahan disebabkan banjir dan timbunan sampah hanyut. Ia juga dapat melumpuhkan rangkaian pengangkutan, merosakkan serta menghilangkan harta benda, peralatan, bahkan jiwa manusia.
Banjir kilat sebenarnya turut berpunca perbuatan manusia tidak mesra alam. Selain taburan hujan melebihi kebiasaan dan tidak berpadanan dengan sistem saliran sedia ada, terdapat beberapa faktor lain menyebabkan banjir, seperti sampah sarap serta sisa projek pembangunan mega.
Lembah Klang kerap mengalami kejadian banjir kilat. Pada 22 Oktober tahun lalu, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa jalan utama di ibu negara dilanda banjir kilat hingga ada kenderaan terperangkap.
Pada 22 Jun 2018 pula, banjir kilat teruk melanda sekitar Lembah Klang antaranya Lembah Jaya Utara, Ampang dan Kampung Batu 16, Dusun Tua, Hulu Langat. Pada 13 Januari 2017, beberapa tempat sekitar Jalan Bukit Belacan, Lembah Jaya Utara dilanda banjir kilat, susulan hujan lebat kira-kira 90 minit hingga menyebabkan beberapa rumah dilanda banjir lumpur.
Selepas kerap kali dilanda banjir kilat, bagaimanakah keupayaan sistem pengairan dan mitigasi sedia ada dalam menanganinya? Sudah wujudkah perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengekang bencana itu?
Walaupun sistem perparitan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dinaik taraf bagi mengatasi masalah banjir ditambah lima projek tebatan banjir membabitkan beberapa kawasan di ibu negara, masalah banjir kilat tidak menemui jalan penyelesaian.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, menjelaskan keperluan mengkaji semula wang berbilion dibelanjakan untuk sistem mitigasi dan Terowong Smart berfungsi dengan baik atau ia belum mencukupi dan sama ada kawalan pembangunan lebih teliti diperlukan.
Kuala Lumpur memerlukan lebih banyak sistem takungan banjir, terutama di kawasan berhampiran hilir Sungai Klang seperti Sungai Buloh, Shah Alam dan Petaling Jaya sebelum air berlebihan disalurkan ke sungai.
Umumnya, sebahagian besar Lembangan Sungai Klang pesat membangun dan mempunyai kepadatan penduduk tinggi. Oleh itu, ia mengalami pelbagai cabaran berkaitan pengurusan dan pembangunan sumber air, kemerosotan alam sekitar dan bencana banjir yang sering melanda di kawasan tidak mempunyai pembangunan terancang.
Cabaran ini diburukkan ancaman perubahan iklim dan pendekatan pelbagai sektor dalam pengurusan sumber air di lembangan. Kepelbagaian pihak berkuasa tempatan (PBT) di lembangan juga menyukarkan pelaksanaan pengurusan lembangan sungai bersepadu (IRBM).
Keadaan banjir juga semakin meruncing disebabkan arus pembangunan pesat dan tanpa kawalan. Kontraktor misalnya melalui kerja pembinaan, kadangkala menghalang atau menyekat saliran air. Terdapat juga kontraktor lepas tangan melakukan projek pembinaan hingga tidak menyedari kegiatan mereka boleh mengundang banjir.
Kesannya, pada 2018, Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang membuat ketetapan kepada kontraktor yang perlu menguruskan sendiri sebarang masalah menjadi punca kepada sistem perparitan tersumbat. Malah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika itu berkata, pihaknya juga akan mengawasi tapak projek lebih teliti dan memikirkan cara mendenda kontraktor, sekiranya terbukti kerja mereka menyekat saluran air.
Perubahan corak guna tanah drastik hasil pembangunan setempat yang pesat menyebabkan banyak kawasan tidak telap air yang meningkatkan kadar aliran puncak dan tidak menggalakkan penyerapan air larian ke dalam tanah secara semula jadi.
Sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung air larian permukaan kerana tersumbat dengan sampah sarap dan kelodak hasil pembinaan atau kerja tanah di kawasan sekitar, selain ketidakupayaan menampung peningkatan air larian permukaan mendadak, akibat hujan lebat berkeamatan tinggi dalam masa singkat.
Kesannya, air dari sistem saliran sama ada sungai semula jadi atau saliran perparitan mengambil masa lama untuk mengalirkan air hingga mengakibatkan mudah terjadi banjir kilat. Ini menjadi lebih buruk apabila berlaku kelemahan dalam penyelenggaraan sistem perparitan yang tidak sempurna.
Aktiviti pembangunan dalam kawasan rizab sungai turut menyebabkannya menjadi cetek dan sempit akibat pemendapan di dasar sementara perubahan guna tanah, terutama berhampiran koridor sungai.
Ini menyebabkan perubahan struktur sungai serius khususnya hakisan tebing, selain sikap masyarakat tidak prihatin dan membuang sampah di merata-rata dan kewujudan penempatan setinggan di tebing sungai yang membuang sisa domestik.
Pembangunan berterusan memerlukan kawal selia bagi mengelak setiap pembangunan itu mendatangkan masalah kepada warga kota. Ini disebabkan kesan pembangunan tidak terancang menyebabkan kegagalan sistem sungai menampung jumlah discaj yang menyebabkan banjir kilat, terutama di kawasan perbandaran.
Kesan negatif ini sangat kritikal bagi Sungai Klang kerana sungai ini mengalir melalui kawasan perbandaran padat dengan perindustrian dan penempatan penduduk. Sungai Klang mengalir melalui lima kawasan pentadbiran diuruskan lima PBT berlainan di Selangor yang tidak termasuk 40 kilometer jajaran Sungai Klang dalam kawasan DBKL.
Lima PBT itu ialah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), DBKL, Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Laluan sungai merentasi PBT berbeza biasanya menimbulkan kesulitan dalam penyelarasan pengurusan sungai. Ini disebabkan pihak tertentu mempunyai sasaran, teknik pengurusan dan kos pengurusan beza.
Antara cabarannya, perlu menyelaraskan pengurusan lembangan sungai secara berintegrasi dan bersepadu dengan kerjasama, sokongan serta komitmen semua PBT dan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Justeru, sangat perlu mengukuhkan mekanisme menggabungkan pelbagai sektor dan pentadbiran secara menyeluruh, selain mempertingkat keberkesanan perkongsian maklumat di antara agensi dalam usaha mengekang banjir kilat. Dengan ini, kawasan banjir boleh ditentukan dengan mengenal pasti kawasan lembah atau tanah rendah melalui penggunaan data topografi.
Punca banjir boleh dikenal pasti melalui kajian guna tanah dan perubahan guna tanah. Data banjir terdahulu daripada laporan banjir JPS boleh diguna pakai. Analisis data terbabit dapat mengenal pasti kawasan berisiko tinggi banjir termasuk kekerapan.
JPS dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan juga perlu menjalankan kajian bagi mengatasi banjir kilat di Lembah Klang sebagai persediaan masa hadapan.
Kajian perlu dibuat untuk membolehkan DBKL melihat pelaksanaan pelan jangka panjang kejadian banjir boleh dicegah melalui pembangunan seimbang dan menyeluruh melalui satu pelan tindakan tebatan banjir bagi sesuatu lembangan.
Pembangunan tanah di sesuatu kawasan harus dipastikan berjalan mengikut garis panduan dan pemantauan kaedah pelaksanaannya perlu diadakan dengan lebih giat. Gabungan semua tindakan ini mampu mengekang atau setidak-tidaknya meminimumkan bencana banjir kilat yang sering menghantui warga kota.
Penulis adalah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM)
No comments:
Post a Comment