Gajah yang dilaporkan memasuki kedai makan di R&R Banjaran Titiwangsa dekat Gerik, petang kelmarin. - Foto Ihsan Pembaca
GERIK: "Saya tengah solat Maghrib dengar bunyi bising di luar, orang kedai saya beritahu ada gajah masuk ke dalam kedai.
"Sebaik selesai solat saya terus keluar dan tengok pelanggan bertempiaran lari," kata Azizan Aziz, 50-an, menceritakan kejadian seekor gajah jantan masuk ke gerai makannya di kawasan rehat dan rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa Jalan Raya Timur Barat, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, gajah jantan bergading hampir sepanjang lengan itu dilihat jinak dan cuba mengambil makanan yang diletakkan di atas barangan runcit.
Namun ia terhalang disebabkan beliau memasang jaring.
Azizan berkata, gajah itu tidak merosakkan barangan dalam kedainya serta tidak bertindak ganas.
Selepas beberapa minit, beberapa renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tiba namun gajah itu sudah beredar ke kawasan kem tentera yang terletak kira-kira 200 meter dari kedai.
"Memang takut walaupun ia tidak bertindak ganas. Mungkin dia mahu ubah selera tapi saya bimbang sekiranya ia datang lagi," katanya.
Azizan yang berniaga di situ sejak 20 tahun lalu berkata, sudah beberapa kali kawasan R&R itu dihampiri gajah liar namun kejadian mamalia itu masuk ke kedainya adalah pertama kali.
Katanya, kedatangan seekor atau sekumpulan gajah di kawasan berhampiran menjadi perkara biasa, namun tidak pernah mengganggu dia, keluarga, pekerja dan pelanggan.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, sepasukan anggota membuat pemantauan dan menghalau gajah terbabit ke dalam hutan semula.
Katanya, walaupun dihalau tidak mustahil gajah itu datang semula dan Perhilitan berharap orang ramai tidak membuat sebarang provokasi serta jangan menyangka gajah itu jinak.
Beliau meminta supaya orang ramai segera menjauhkan diri sekiranya gajah itu muncul dan segera menghubungi Perhilitan.(BH)
No comments:
Post a Comment