Kebebasan mengamalkan agama masing-masing perlu terus dihormati, serta cacian terhadap agama lain perlu disekat agar ia tidak mencetuskan suasana yang tidak senang sesama rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Dalam hal ini, saya ingin menyatakan sokongan penuh saya terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyatakan komitmen kerajaan dalam mempromosi konsep Fiqh Al-Ta’ayush, iaitu satu konsep fiqh yang boleh diguna pakai dalam mengurus hubungan antara golongan Islam dan bukan-Islam supaya kekal dalam keadaan harmoni dan aman, sesuai dengan peredaran zaman.
Fiqh At-Ta’ayush ini perlu difahami oleh semua anggota masyarakat yang beragama Islam kerana pensyariatan berbuat baik kepada mereka yang tidak bermusuh dengan Islam adalah beserta dengan panduan-panduan tertentu di sisi syarak. Prinsip-prinsip seperti tidak boleh berkompromi dalam soal akidah umat Islam, bergaul dalam suatu yang ma’ruf bukan mungkar, tidak boleh terlibat dalam perkara yang memudaratkan orang Islam serta tidak melakukan suatu perbuatan yang diharamkan syarak perlu difahami oleh segenap lapisan masyarakat.
Saya juga ingin menekankan bahawa Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang dianggotai oleh ketua-ketua agama perlu terus diperkukuh terutamanya dalam memperbanyak dialog antara agama dan diskusi ilmu.
Sekian, terima kasih.
YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 18/9/2020
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Weblog ini juga menyatakan sokongan penuh terhadap Menteri Di JPM Dr Haji Zulkifli dalam mempromosi konsep Fiqh Al-Ta’ayush, seperti yang dialu-alukan oleh Dato'Hj Hussain Awang. Al-hamdulillah.
No comments:
Post a Comment