KEADAAN Sungai Klang dan Sungai Gombak berhampiran Masjid Jamek, Kuala Lumpur melimpah dan menggelamkan beberapa kawasan Di sekitar ibukota susulan hujan lebat petang tadi. NSTP/Hazreen Mohamad
Banjir di ibu kota selepas hujan lebat 2 jam
KUALA LUMPUR: Hujan lebat lebih dua jam di ibu negara, petang tadi menyebabkan kawasan dan laluan di sekeliling Masjid Jamek, di sini dan kawasan sekitarnya ditenggelami air selepas air daripada Sungai Klang dan Sungai Gombak melimpah.
Hujan lebat bermula kira-kira jam 2 petang itu turut menyebabkan beberapa lokasi lain di ibu negara turut dinaiki air antara satu hingga tiga meter sehingga ada mangsa yang terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka ditenggelami air.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi, berkata setakat ini lima mangsa dipindahkan dan ditempatkan sementara di pusat pemindahan banjir yang dibuka di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.
"Bomba menerima laporan berlaku kejadian banjir kilat di Kampung Periuk, Jalan Raja Alang, Kampung Baru pada jam 4.53 petang tadi.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dan BBP Titiwangsa ke lokasi untuk membuat pemantauan dan mendapati terdapat lima mangsa terperangkap dalam kediaman di situ," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Peniaga di Jalan Hang Lekir menimba air dari dalam kedai mereka selepas dilanda banjir kilat. - Foto NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN
Keadaan banjir kilat yang melanda di sekitar Jalan Tun Perak. - Foto NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN
Keadaan banjir kilat yang melanda di sekitar Jalan Tun Perak akibat hujan lebat di ibu kota. - Foto NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN
Keadaan banjir kilat yang melanda di sekitar Jalan Tun Perak. - Foto NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN
Katanya, anggota bomba bersama petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan bot aluminium untuk memindahkan kesemua mangsa yang terjejas.
Selain itu, katanya anggota bomba turut menyelamat 10 mangsa yang terperangkap selepas beberapa kediaman di Jalan Gurney ditenggelami banjir kilat.
"Di Jalan Gurney, kita mendapati kawasan itu dilimpahi air setinggi antara satu hingga tiga meter dan terdapat 10 mangsa terperangkap dalam kediaman mereka yang dinaiki air.
"Kesemua mangsa diselamatkan dan dibawa ke tempat yang selamat sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas banjir surut," katanya.
Katanya, pihak bomba turut menghantar pasukannya ke beberapa lokasi lain yang turut terjejas akibat kejadian banjir kilat, petang tadi.
Pihaknya menerima aduan banjir kilat di Lebuh Ampang pada jam 4.25 petang dan dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Titiwangsa digerakkan ke lokasi untuk membuat pemantauan.
"Beberapa motosikal yang diparkir berhampiran Bank Muamalat di belakang Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek ditenggelami banjir setinggi kira-kira 1.5 meter.
"Anggota bomba yang berada di lokasi kemudian membantu memindahkan motosikal-motosikal yang terjejas ke lokasi yang selamat," katanya.
Keadaan sekitar Stesen Masjid Jamek, Kuala Lumpur dinaiki air akibat hujan lebat di ibu kota. NSTP/Hazreen Mohamad
KEADAAN sekitar Stesen Masjid Jamek, Kuala Lumpur dinaiki air akibat hujan lebat di ibu kota. NSTP/Hazreen Mohamad
Turut terjejas adalah beberapa kereta yang diparkir di situ namun keadaannya tidak serius.
Katanya, banjir kilat turut dilaporkan berlaku di Lorong Ayer Leleh 5, di sini yang mana kawasan itu dilimpahi air yang melimpah dari longkang berhampiran.
Sepasukan anggota bomba dari BBP Setapak dikejarkan ke lokasi selepas menerima laporan kejadian pada jam 5.36 petang.
Kejadian sama turut dilaporkan berlaku di Jalan San Ah Wing, Jalan Semarak dan kejadian dipantau anggota dari BBP Keramat.
"Anggota bomba membuat pemantauan keadaan banjir di lokasi dan memastikan keselamatan di situ.
"Kesemua kejadian banjir kilat di semua kawasan terjejas sudah pun beransur pulih," katanya.
Dalam pada itu, JBPM Selangor menerima satu laporan kejadian banjir kilat yang berlaku di Jalan Gombak Setia - Batu Caves dekat sini, pada jam 4.57 petang.
Sepasukan anggota bomba dari BBP Selayang digerakkan ke lokasi dan mendapati banjir kilat sudah pun surut.
Sementara itu, pihak DBKL turut menerima sembilan laporan kejadian pokok tumbang yang berlaku di sekitar ibu negara susulan hujan lebat petang tadi.
Antara lokasi yang terjejas adalah di Jalan Lengkok Berilmu, Bukit Petaling; Blok H PPR Kampung Air Panas; Ja;an 7/48A Sebutir Perdana, Bandar Baru Sentul; Lorong Permai, Off Jalan Syed Putra Height dan Persiaran Tunku Jaafar, Tasik Perdana.
Kerja-kerja pembersihan dijalankan anggota Skuad Kecemasan, Unit Kecemasan, Kemudahan dan Perkuburan, Bahagian Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL.
Sementara itu, menerusi beberapa rakaman video yang tular di media sosial sejak petang tadi, banjir kilat turut menyebabkan Balai Polis Gombak dilimpahi air setinggi setengah meter.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kejadian banjir itu turut mengakibatkan kawasan tingkat bawah dalam balai polis dinaiki air namun keadaan terkawal.
''Air turut masuk ke dalam balai setinggi paras buku lali namun tiada sebarang kerosakan atau kecederaan dilaporkan berlaku.
"Akibat banjir dan bekalan elektrik terputus, balai terpaksa ditutup selama hampir dua jam sehingga air surut dan kembali beroperasi semula jam 5.30 petang tadi," katanya ketika dihubungi BH hari ini. (BH)
No comments:
Post a Comment